(Fragmen Memoir – Melangkah pergi)
Kini usiaku mencapai 53 tahun.
Aku mengira-ngira antara 1 Julai 2004 hingga 11 Disember 2004, tempohnya 6 bulan 10 hari atau 163 hari. Keresahan selama itu, campur lagi sebulan dua sebelumnya baru terlerai dengan kenyataan dialami di depan mata. Aku benar-benar mendapat surat arahan pertukaran. Kepuasan memekar dalam hati.
Hari terakhir di Cawangan Skim Perkhidmatan ialah 10 Disember 2004. Datin Habibah, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) telah menandatangani Sijil Penghargaan merakamkan “jasa bakti berkhidmat”ku selama enam tahun 1 bulan 10 hari di situ. Tetapi jawatan Pengarah BPO masih belum diisikan.
Maka beredarlah aku. Kutinggalkan kedinamikan kerja-kerja penggubalan skim perkhidmatan seluruh sektor awam. Banyak bekas bertebaran di serata tingkat dan ruang pejabat itu. Aku percaya bekas-bekas itu bahkan terpercik ke tempat-tempat lain juga. Di serata tanah air. Barangkali kalau mahu dicatat, 1,000 halaman tidak mencukupi untuk merakamkan kenangan selama mendedikasikan perkhidmatan di situ. Lebih banyaknya, indah-indah sahaja! Penuh sejarah tentang usaha-usaha penambahbaikan dan pemudahcaraan.
Perskiman bukan kerja-kerja sambil lewa. Banyak pemikiran, kemahiran, masa dan tenaga dituntutnya. Bersama-sama pegawai-pegawai lain aku telah menyemai benih-benih, mendasarkan tapak-tapak, sambil menanam tiang-tiang bagi menopang skop bidang tugasnya yang sebenarnya anjal itu.
Aku telah juga mewariskan para pendukungnya. Aku yakin mereka berupaya mengembangkan apa yang kutinggalkan. Nota Serah Tugas kusediakan setebal 52 halaman. Lampirannya pula setebal 31 halaman. Dokumen itu unik. Tidak mengikut format biasa. Sangat tidak konvensional. Ia suatu ‘memoir’ pengalaman diri selama memikul amanah di situ. Semoga Cawangan bertambah mantap; muncul menyerlah mewajarkan kewujudannya. Semoga, perskiman perkhidmatan tidak lagi kelihatan selekeh, dianggap remeh, sedikit terabai dan terkitar-kitar di belakang tabir.
No comments:
Post a Comment