(Fragmen Memoir – Tak jadi (11) sambungan)
Pada pandangan ramai pegawai BPO, akulah orang yang paling layak. Di kalangan dua orang Timbalan Pengarah Kanan, Gred Utama C yang sedia ada dalam bahagian, aku lebih kanan. Prestasiku pun tidaklah diragui lagi. Hampir tujuh tahun aku menyandang jawatan sekarang; mula-mula pada Gred M1 (atau Gred 54 di bawah Sistem Saraan Malaysia) dari 1 Oktober 1998 hingga 15 Oktober 2001 dan kemudian Gred Utama C semenjak 16 Oktober 2001 lagi. Pada suatu tempoh lebih awal akulah satu-satunya pegawai yang bertaraf JUSA di kalangan empat timbalan pengarah di bahagian itu. Yang lain-lain hanya bergred 54, segred lebih rendah.
Impak kehadiranku selama itu terpampang, diketahui umum. Walaupun kerja-kerja skim perkhidmatan yang kukendalikan dibezakan dengan perjawatan aku tidak pula asing dari urusan perjawatan. Sebagai Timbalan Pengarah semenjak tahun 1998 aku telah menjadi salah seorang ahli mesyuarat JKPO, yang bersidang setiap minggu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan). Pengalaman relatif lama dalam selok-belok penstrukturan organisasi dan pengklasifikasian jawatan tidak tersesia. Pengetahuan dan penglibatan secara langsung itu sudah lebih daripada memadai untuk memberiku asas-asas kukuh memimpin pengurusan bahagian.
No comments:
Post a Comment