Mentafsir pertarikhan
Saya telah mengkaji sajak-sajak yang termuat dalam “Puisi Bulan ini”, Dewan Sastera mulai Bil. 1 2014 hingga Bil. 9 2014. Sebanyak 96 buah telah tersiar, dengan bilangan 9 buah paling sedikit dan 13 buah paling banyak jumlahnya, setiap keluaran. Sajak-sajak tanpa tarikh adalah yang terbanyak iaitu 47 buah, dan bakinya itu terdiri daripada yang dicipta pada tahun 2014 sebanyak 8 buah; 2013 sebanyak 31 buah; 2012 sebanyak 6 buah dan bagi tahun-tahun 1991, 1996, 2000, 2009, 2010, dan 2011, masing-masing sebuah. Saya tidak bercadang melanjutkan dari segi tarikh-tarikh puisi-puisi itu dicipta misalnya dari segi haribulan dan bulannya, sungguhpun ada rumusan boleh dibuat jika dilakukan.
Sajak-sajak ciptaan lama yang tersiar saya anggap muncul kerana penyajak-penyajak sendiri memilih untuk mengemukakan pada tarikh-tarikh yang jauh terkemudian daripada ia selesai dicipta. Namun saya kurang pasti sama ada pihak Dewan Sastera masih memiliki puisi-puisi ciptaan tahun-tahun 2013 dan sebelumnya untuk diteliti bagi penerbitan pada keluaran-keluaran akan datang. Oleh kerana sudah tersiar ciptaan-ciptaan tahun 2014, besar kemungkinan tiada lagi tabung sajak yang lebih awal!
Saya juga berpendirian, lebih baik sesuatu ciptaan itu dinyatakan tarikh-tarikhnya walaupun menjangkau tempoh yang lama menyelesaikannya. Ambilah contoh 47 sajak tanpa tarikh itu berbanding , misalnya, sajak-sajak ciptaan-ciptaan, Norazimah Abu Bakar (Air Mata Perempuan Air Mata Kasih) bertarikh 1991; Swanlerd Pro Poul (Benih Tumbuh) bertarikh Mac 1996; Siti Zainon Ismail (Kepada Perempuan Laut) bertarikh 28-29 Mei 2000; A. Ghaffar Ibrahim (Adam Hawa) bertarikh 12 Disember 2012 - 5 Julai 2014. Sebagai peneliti maklumat begini ada keperluan dan kepentingannya.
No comments:
Post a Comment