Pantulan 60/14: Pengorbanan
Lama berselang baru sekarang muncul semula temanku [Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, lewat “Reaksi kepada Integrasi”, Dewan Sastera, Oktober 1993, muka surat 34. Kalau tidak kerana judulnya pemahaman terhadap ciptaan ini akan menagih perahan minda. Dari satu segi penjudulannya telah menjadikan aku teringat kembali peristiwa melibatkan diri dalam program ini ketika masih berkhidmat satu ketika dahulu.
Sayang sungguh temanku pada “Gunung Kinabalu”, “dingin Siasai”, “sejuk Kundasang” tetapi aku mengusap-usap dada lega, kerana demikian menyatanya, “demi kelangsungan hidup dan kehidupan” beliau berangkat juga “ke puncak Ledang” dengan kesebakan tanpa pilihan. Hidup adalah pertarungan. Kecuali melangkah gagah ke medan, menerima “qadak dan qadar”, selainnya adalah kebaculan yang memudaratkan . Dan aku bersyukur pada akhir dan sejajar dengan hakikatnya, beliau mengakui “Realitinya, hidup/bagai masa yang datang dan pergi terus/tiada kembali, /…” dan “Inilah realiti, sulitnya /diredai …” Inilah pendirian paling unggul, sekali gus menjelmakan keperibadian temanku. Pilihan yang bijaksana, dipandui pengalaman yang lama.
ASKAT: Menjadi penjawat yang diamanah memikul sesuatu tanggungjawab atau menjayakan azam negara bukan tidak perlu pengorbanan. Sudah tidak timbul isu tidak mematuhi perintah, kerana prinsip ‘Saya yang menurut perintah’ bermakna mengabdikan diri sepenuh jiwa raga. Ia mengatasi persoalan lebih memberati kesejahteraan diri. Bukan pula tidak ada faedah bakal dinikmati kelak, lebih-lebih lagi golongan terbesar rakyat, jika kita tidak berbelah bahagi ketika berbakti. Rakyat jelata akan mengecapi hasil jerih perih para penjawat tanpa nama ini. Bakti tercurah , di sana atau di sini, sama ertinya, bahkan di tempat baru, mungkin lebih dihargai kerana tepilihnya kita untuk memikul tanggungjawab berkenaan, adalah suatu pengiktirafan kebolehan, pembukaan kesempatan untuk lebih mengendali, dan meninggalkan warisan kewibawaan. Dengan peralihan, pendedahan , dan prestasi yang mengatasi daripada yang telah sedia ditunjukkan, barulah seseorang akan lebih gah lagi terserlah. Beliau tentulah akan sepenuh hati diakui memiliki semua ciri yang disanjungi. Kemudian tidaklah akan tercetus pertelagahan, desas-desus ekoran, lantaran dinobatkan penjawat sejati atau tokoh misali.
No comments:
Post a Comment