Pantulan C/02/13/2016: Mencerna sejarah
Mengakui beliau bukan Captain Cook, Zulkifli Salleh, lewat sajak “Pelayaran”, Dewan Sastera, Januari 2009, muka surat 63, belayar di Teluk Sydney dan larut dalam realiti kewibawaan penjajah yang berlestari di samping penderitaan penduduk asli yang terketepi. Bacalah, untuk dapat menikmati sebuah janaan minda seorang pemerhati yang menyelam ke lubuk sejarah mentafsir secara berfaedah.
Satu kebanggaan sekelompok orang ialah menjajap dunia. Dengan berbuat begitu, ‘terangkatlah’ ia di mata orang lain. Ia seronok sendiri mengingati atau bercerita tentang kembara singkat yang ‘berprestij’ itu. Zulkifli Salleh tidak begitu. Jelas melalui “Pelayaran”, kunjungan ke Sydney dan melakukan “pelayaran” di pelabuhan itu mencetuskan satu rumusan bahawa sejarah memaparkan realiti di depan mata, yang tidak menyenangkan. Sisa-sisa penjajahan (malah pengekalannya) dalam citra konflik dan perjuangan yang belum selesai anak-anak jajahan/anak-anak negeri/bumiputera melepaskan diri/memerdekakan tanah air dan berjati diri membangkitkan kesedaran yang melenyapkan sebarang perasaan ‘seronok’ melancong, berganti tuaian inti kemanusiaan yang menghadapi cabaran besar “menuntut kebebasan”, mekar terhidang untuk teladan atau iktibar.
Sebenarnya tidak ramai orang yang berkunjungan ke merata tempat suka menulis atau merakamkan pengalaman dalam bentuk dan perspektif yang mengilhamkan pembaca agar menjadi lebih sensitif dan bestari terhadap sekitaran yang didiami atau dikunjungi, sama ada sekitaran fizikal mahupun non-fizikalnya. Kalau sejarah menjadi bahan renungan, Kota A Famosa, Pulau Pangkor, Carcosa, Pedra Branca, Fraser’s Hill, Port Weld, dan banyak lagi seharusnya membangkitkan pemikiran mendalam tentang perjalanan bangsa yang terbelenggu untuk suatu tempoh yang lama. Kalau pula kita terjumpa naskhah-naskhah langka di museum, katalah tentang Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, penyewaan Pulau Pinang 1786, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dan banyak lagi dokumen lain, seseorang yang terdidik tidak akan terlepas fikir tentang latar belakang semua peristiwa berkenaan demi mencapai rumusan sendiri tentang kehadiran dan kewujudannya sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang ada tamadunnya tetapi tidak cukup besar atau bersedia menangkis pencerobohan dan pembudakan.
Kunjungan ke mana-mana tempat di negara sendiri atau ke luar negara seharusnya sentiasa ditemani satu kesedaran untuk mempelajari atau mencari makna tentang semua yang dilihat dan dialami agar memberi faedah kepada diri peribadi, masyarakat dan negara, tersalur melalui saluran yang kita mahir atau menguasainya. Begitulah sajak bagi penyajak yang peka mencerna pengalamannya akan lebih bererti berbanding sekadar curahan rasa melankolik mengulit sanubari.
No comments:
Post a Comment