Friday, 4 March 2016

Pantulan C/1/12/2016: Sajak Ahmad Sarju, “Jendela yang Terbuka”

Pantulan C/1/12/2016: Demi kebaikan
Sudah banyak juga kulewati sajak-sajak yang mengutarakan pendirian seseorang penyajak tentang penglibatannya dalam arena perpuisian tanah air. Banyak juga orang bercakap tentang tujuan berkarya kreatif. Mengkhusus tentang puisi, secara rumusan, penyairan mereka menegaskan apa yang diperjuangkan masing-masing. Tetapi setiap penyair berbeza kekuatan mencipta dan secara langsung membezakan pula mutu hasil-hasil masing-masing. Dalam konteks Ahmad Sarju, perjuangannya banyak terpapar dalam sajak-sajak beliau sepanjang zaman. Hanya dalam sajak “Jendela yang Terbuka”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 11, boleh kita baca sebahagiannya, dari perspektif orang kedua. Puisi ini mengajak kepada “kesetiaan” terhadap negara dengan seruan yang “merdu dan memukau”, “merdu syahdu menusuk jantung”, “…ukirkan kebenaran/…keadilan//… perpaduan.”
Begitulah kususun sekadar menunjukkan bahawa genre kesusasteraan yang berpaksikan keindahan (seperti puisi) sewajarnya bermatlamat mendidik, menyeru, mengongsikan sesuatu yang akhirnya memberi kebaikan kepada khalayak pembaca (maksud luasnya, masyarakat dan negara). Dalam pada itu, ciri-ciri keindahan terutama dalam gaya bahasa tidak boleh sama sekali diketepikan. Ia harus sepada-padanya menyerlah secara yang tidak dipaksa-paksakan! Sungguhpun aspek ini subjektif, ada pula ukuran yang tertentu dan ketentuan ini seharusnya memandu karyawan. Adalah menjadi cabaran dan juga ujian mengetengahkan puisi-puisi yang boleh menarik pembaca yang memang mencari-cari karya-karya yang bermutu. (Lupakan pembaca yang bukan peminat puisi). Pembaca puisi tidak akan membaca semua puisi sebab apa yang dicari-cari, yang diminati, yang menguja, yang menarik mungkin tidak sama ciri-cirinya antara mereka. Untuk menggamit dan menangkap perhatian pembaca dengan mudah dan segera, sesebuah puisi harus menghidangkan tema yang memang bermakna untuk ramai orang. Puisi-puisi harus boleh difahami (tidak semestinya dengan sekali dua baca), dengan diberikan masa yang wajar mengecap, memamah, mengunyah dan menelannya dan memberi tenaga dan memercikkan cetusan berharga lain lantas memancarkan pula asas berkreatif berterusan atau memberi kepuasan menelaah kepada pembaca sendiri.
Alangkah baik kalau kita boleh mencipta puisi yang berkekalan diingati orang. Pada generasiku, puisi-puisi Amir Hamzah kukira unggul. Walaupun tidak semua puisi harus bertaraf ‘sempurna’, karya yang terhasil haruslah sentiasa menimbulkan kepuasan di kalangan kelompok pembaca atau peneliti yang setia. Puisi yang mencatu tidak akan tersemat di kalbu.

No comments:

Post a Comment