Friday, 4 March 2016

Pantulan D/2/15/2016: Sajak Ahmad Sarju, “Ketika Hujan Tidak Menitis”

Pantulan D/2/15/2016: Menjunjung amanah
Kegagalan manusia memanfaatkan anugerah Ilahi sudah sangat lumrah kita lihat, dengar dan baca. Natijah yang jelas daripada kejahilan itu ialah pembaziran, pemusnahan, penderitaan … semuanya merugikan kemanusiaan dan persekitaran. Seruan agar tindakan-tindakan sedemikian dihentikan seakan menjadi klise, sedangkan kebanyakan yang terbabit tidak menghiraukan atau hanya tersentak seketika sebelum mengulangi dengan tidak mengambil iktibar daripada keburukan yang menjelma dan terpampang di depan mata. Perutusan agar “tangan yang tidak amanah” bersikap dan bertindak “bijak dan berhemah tinggi” menjadi amanat Ahmad Sarju, lewat sajak beliau “Ketika Hujan Tidak Menitis”, (Puisi), Dewan Budaya, Ogos 2002, muka surat 62. Kukira musim El Nino mengamuk merata-riti sesuai meneliti puisi bertema alami temanku ini.
Kalau ramai orang membaca, kalau ramai orang memperhati, kalau ramai orang prihatin sungguhlah berbahagia kehidupan manusia kerana sekitaran begitu indah, selesa untuk didiami. Aku sukakan sungai yang bersih, airnya jernih, mengalir ke muara bersahaja atau bertenaga. Di sungai itu aku mahu mandi-manda bercanda seisi keluarga, berenang riang seperti pernah dilakukan ketika bertaraf budak-budak empat lima dekad silam. Masa-masa terluang di sungai-sungai, aku ingin terjun menjunam, kepala mendahului, berakit, berperahu jalur bergalah atau berdayung sampan meredah arus yang gagah! Kalau pula terbuka kesempatan ke bendang, aku mahu menaut haruan, sedang malamnya makan bekal yang di bawa, turun semula menyemak umpan, entahkan ada di makan haruan atau belut panjang, dan bila tiba larut malam, terdampar tidur di dangau. Keesokan, bangun pagi melihat lagi taut-taut yang dipasang agar tertumpah rezeki.
Aku sukakan banyak lagi. Kalau semuanya yang dialami dahulu itu masih kekal alangkah seronok pulang ke desa dalam usia yang panjang berganda-ganda sekarang. Tetapi “dari kekeringan air di halaman sendiri” ternyata hanya tinggal beberapa sahaja lagi sungai-sungai yang tetap asli, di ulu-ulu atau di ujung-ujung negeri!
Siapakah yang hendak kita senaraikan sebagai pemusnah alam semula jadi ini? PBT, Akta/Enakmen, penguatkuasaan, pemegang tampuk kuasa lain, pemantauan cerlang-cerluk, atau pemilihan dan penempatan penjawat yang silap, atau …. ???
Aku percaya sesuatu tugasan harus diserahkan kepada para ahlinya. Masing-masing harus memikul dengan penuh bertanggungjawab dan berani. Kegagalan melaksanakan amanah jawatan mewajarkan akibat setimpalnya. Sumbangan bakti/jasa harus dihargai dan pada masa yang sama pengkhianatan segera dihukumi, sepada-padanya.

No comments:

Post a Comment