Pantulan C/02/11/2016: Keperitan
Singgah meredah luah rasa dan perah minda M. Ashikin (Mohd Mansor Abdullah) melalui sajak beliau, “Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke Dadamu Pangkor”, Dewan Sastera, Februari 2009, muka surat 62. Tidak syak lagi judulnya puitik, dan bernada romantik.
Aku sukakan pulau dan Pangkor lebih daripada pulau-pulau biasa yang lain. Ia pulau yang mencengkam alur riwayat bangsa. Tanpa unsur-unsur semega itu pun, bagiku, pulau sentiasa menggambarkan keindahan – pantai, pasir, air, desir ombak, belaian angin, labuhan nelayan, kesantaian dan lain-lain. Dan ini jelas dilukiskan oleh M. Ashikin. Ada kata-kata beliau mengenainya, “…pantaimu/putih bersih…/pasirnya lembut…//elus bayu…”. Tetapi setakat itu sahaja, keindahan yang kubayangkan itu dilarik berseni, selainnya tidak begitu, bahkan adalah cemuhan yang sekali gus memualkan kerana Pangkor, pulau yang diidam-idamkan, “..kuimpi”, menusuk jiwanya dan segera dibencinya. Tanpa mencungkil idea-idea yang lain, kata-kata “melihat peradaban bangsaku retak/kesopanan dan kesusilaan diinjak-injak” memadai untuk merumuskan bahawa Pangkor telah menjelmakan citra melawan arus warisan ketamadunan bangsa yang kita berhasrat menjaga dan membangunkannya. Beliau memilih tidak “menginjak-injakkan/adat resam budaya…” sendiri. Tentulah penyair ini membungkam ketika singkat berada di situ dalam kepiluan dan keterasingan sambil menyaksi dan mengalami keruntuhan berterusan menggegarkan keperibadian.
Sesebuah hasil seni harus seimbang dari segi isi, gaya penyampaian dan kepadatannya. Dalam karya ini, ada gemblengan ketiga-tiganya, secara yang sedar disulam oleh penyairnya berasaskan pengalaman menggubah yang beraneka ragam lagi panjang. Perhatikan, gambaran pada rangkap awal yang mencetuskan harapan, tiba-tiba menyeleweng wajah secara mendadak dan mengejutkan berupa pemerian kehodohan perlakuan para remaja dan pengunjung yang menjijikkan. Dan M. Ashikin, mengambil keputusan nekat, berlepas tangan, tidak mahu bersekongkol, tidak mahu menjadi petualang. Tetapi, siapakah yang harus bertindak dengan lebih saksama?
No comments:
Post a Comment