Pantulan D/1/23/2016: Membaca alam
Sedang mencari-cari sajak mana-mana teman-teman fbku, setelah agak lama membelek-belek tanpa menjumpainya kebelakangan ini, melintasilah aku Dewan Bahasa, November 1975 yang memfokus kepada puisi lalu termasuklah dalam muatan genre itu dua buah sajak Zurinah Hassan, salah satunya, “Kau Mengajakku Berbicara”, muka surat 785-786. Kebetulan pula masa telah sangat senja. Hujan yang turun telah sangat halus benangnya. Sungguhpun tetap membasahi usia siramannya jelas terhad. Lalu, tidak boleh kunafikan lagi bahawa, senja tetap meninggalkan kesan kepadaku. Berbagai-bagai. Ia satu fenomena kerana kepelbagaian kepada suasana alam. Alam yang cerah menjadi gelap bernama malam, langit mungkin berbintang gemerlapan kemudian, bulan yang asalnya tiada muncul menghiasi dan menerangi, patuh jadual edarannya, pantai pun didesiri ombak dan pabila awan beredar pecahan ombak yang bergulung-gulung memercikkan cahaya menyerikan suasana. Pun, ada segi lain sama menyerlah. Alam sentiasa memberikan bahan mencabar minda insan. Orang bestari, tidak menyaksikan semuanya tanpa mencari hikmah. Sudah semenjak azali, alam telah mempengaruhi kehidupan – pengaruh yang menambahbaikkan dan pengaruh yang menambahburukkan. Dengan akal manusia harus meneroka lorong-lorong yang menerbitkan faedah kepada diri, masyarakat dan sekitaran. Manusia tidak boleh berdiam dan terpegun hairan atau hilang pertimbangan.
Dato' Dr. Zurinah Hassan, tidak pun mempersembahkan formula untuk kita menjalani hidup di dunia secara paling mudah. Kita sedari beliau tidak mampu dan bukan maksud beliau pun berbuat demikian. Tetapi kita tahu Zurinah sentiasa memperhatikan kejadian alam. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dan masa depan tidak terpampang jelas bahkan membuntu. Ada persoalan, ada isu berkancahan dan walau tiada jawapan tersedia langkahan harus terus dilakukan, ke hadapan, ke arah yang lebih baik daripada yang telah sedia dicapai. Demikian aku mahu, pembicaraan “masakini” tidak dipermudah lantaran tidak diketahui status terakhir di perhentian muktamad. Sudah berkurun begitu. Kemajuan tetap dicapai tetapi kemanusiaan, jika ia suatu keutamaan, adakah kalah oleh feomena yang setiap individu masih belum menguasai sepenuhnya untuk muncul juara dan melaba?
Sebuah sajak sewajarnya teradun dan menimbulkan kesan, mencetuskan gambaran keindahan berjalinan walaupun berlumuran kekaburan memandu penyelesaian. Asalkan kita terdorong untuk mencungkil persoalan yang mendesak penciptaannya maka sudahlah tidak tersia-sia kita sejenak menghirup madu olahannya.
No comments:
Post a Comment