Pantulan 7/15: Kepedihan
Sajak Rudi Mahmood, “Kemarau”, Dewan Budaya, Februari 1982, muka surat 35, muncul ketika kita berduka dilanda banjir seberang jangkaan kotak fikir. Pejuang kita menggigih diri, sungguhpun ternyata bahawa pengekalan sesuatu dalam milik sudah tidak pasti lagi. Sebahagian telah hancur lebur, sedang yang ada menyerlahkan keporakperandaan tanpa terlindung lagi. Maka ternyatalah, serupa banjir, dalam “kemarau” pun, penghidupan tidak jauh berbeza berantakan serta memunahkan. Buktinya, “alam kehilangan nafas/dan suara.” Tak perlu lagi peri, kerana semuanya seterang pancaran cahaya mentari. Hala yang dituju, gelap dan buntu. Tak bersempadanan dan tanpa perhentian. Aku merasakan, segala-galanya sudah tidak berdaya menghadapi malapetaka dan yang pasti waktulah memuktamadkan jalur sejarahnya.
ASKAT: Alangkah berbaktinya sajak, walaupun berupa susunan ungkapan diseliputi makna bergerhana. Gegaran kata-kata benar-benar mencalar rasa, dan menyelinap terus ke lubuk peka. Dan, urutlah setiap biji tuturnya. Demi meng‘erti’kan impak wujudnya.
No comments:
Post a Comment