Pantulan 92/14: Redha mencekali
Keprolifikan yang terbukti. Lagi tersua dengan Azmi Yusoff, melagukan “Soneta Kembara”, Mastika, Disember 1979, muka surat 50. Ya, yang kesekian kali. Mengatasi teman-teman yang lain. Aku tidak mencerakinkan ciri-ciri “soneta” tetapi lebih berminat melayan keharuan oleh calitan Azmi yang terang di lembaran. Untaian pertama, kemas sekali memaparkan hakikat kehidupan yang kita jalani. Memanglah ada perbezaan nasib sesama kita. Sebahagian manusia dari semenjak lahir sampai akhir terzahir menerima pelayanan yang sempurna. Yang lebih ramai terdiri daripada yang tidak sebahagianya. Dan di sinilah sajak ini bererti. Pada untaian kedua, diasuhi Azmi peneliti karya beliau agar gigih menghadapi semua yang datang bertubi-tubi, walaupun tidak melimpahkan rezeki. Ya, belum lagi ….
ASKAT: Kebetulan hari ini melintasi kata-kata Awang Had Salleh, “keindahan sajak terletak tidak sahaja pada keharmonian kombinasi bunyi, sanjak dan kata-kata tetapi juga pada keikhlasan erti.” (lihat, “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 1981, cetakan kesebelas; Pendahuluan, tanpa muka surat). Maka, aku hanya mencungkil setiap baris ternukil, setiap butir madah terpamer, biar semuanya tidak lagi ditimbusi pasir, menyerlah hadir agar mendesir dan amanatnya banjir di kalangan pentafsir dan juga pencari yang berfikir.
(Nota: Kuselidiki dan mendapati sajak ini tiada termuat dalam mana-mana kumpulan puisi Azmi iaitu “Dua Alam”, Mengemam Jadam”, “Abrar” dan “Sakar Mawar”).
No comments:
Post a Comment