Sunday, 7 May 2017

Sajak Azmi Yusoff "Rawan Seorang Kawan" - Pantulan C01/4/2017: Memberi sezarah

Pantulan C01/4/2017: Memberi sezarah
Menyeru sesama insan supaya melakukan kebaikan sudah satu kewajipan, Begitulah, menegah melakukan kemungkaran adalah maksud lain daripada aktiviti atau perbuatan yang sama mulianya. Demikianlah yang terkesan apabila melayani Azmi Yusoff lewat “Rawan Seorang Kawan”, Dewan Sastera, Disember 2012, muka surat 63. Dalam melakukan amal makruf sepanjang memanjat takah-takah usia kita tentulah tidak bersendirian – ada sedara-mara, teman sahabat beriringan sama. Pastilah semua yang dialami menjadi kenangan apabila kita telah berada di usia baki. Ada yang masih sasa dan juga sebaliknya. Mereka, teman-teman sepengalaman masih kita temui sekala-sekali dan ramai yang kita sudah tidak ketahui di mana mereka berundur diri. Ataukah mereka tidak sepanjang usianya seperti kita?
Ternyata benar masa telah banyak merobahkan. Dari seorang bayi kita bertuah menjadi siswazah dan kemudian bertaraf pesara ceria dilimpahi barakah. Kita sudah digandingi besan-besan. Kini dianugerahi gelar berpadanan – datuk dan nenek, ada menantu ada cucu. Pun, kita masih diluangi masa untuk ke sini-sana meluaskan pemandangan sebab kesihatan mengizinkan, kewangan membenarkan dan keselesaan masih tetap berterusan di kampung dan taman halaman. Kita, pada usia mutakhir masih terbuka pilihan – menyambung kegemaran, menziarahi para kenalan, beramal mengingati-Nya. Kita tetap mahu hidup lagi sungguhpun anak-anak telah bersuami-isteri, sementara rakan-rakan sebaya satu-satu pamitan, dan kita pada hakikatnya bakal menyusuli, sebentar sahaja lagi!
Aku pun sukakan anjuran Azmi, kalau kehadiranku ini “bererti”. Dengan rendah hati, pada ukuran peribadi, sudahpun “menjadi”. Syukurlah, aku lebih dikurniai rezeki, mengatasi rakan-rakan sekampung yang hampir seratus persen mewarisi kerjaya nelayan. Tetapi untuk mengabsahkan status itu apakah tanda yang harus aku wariskan? Kalau harimau dikatakan meninggalkan belang maka sebagai aku, sewajarnya, barangkali menepati, jika kutinggalkan buku merakamkan baktiku. Mengharapkan orang lain merakam pengalaman, ia bakal menjadi cita-cita tak berkesampaian.
Para pemuisi telah meninggalkan serantaian puisi masing-masing. Tentu elok kuteladani. Dan, alangkah bahagia sekurang-kurangnya adunan idea itu bakal diteliti dan kemudian tercungkil daripada karya-karya kerdil itu bukti-bukti mutiara minda yang tercanai bestari. Nanti, seseorang boleh mengisytiharkan, bahawa selama ini jerih-perih fikrah digembleng madah, tidak tersesia kerana menjana faedah kepada khalayak walaupun hanya sezarah.

No comments:

Post a Comment