Pantulan E/01/2/2017: Menabur bakti
Sebenarnya kalau kita sanggup menyunyikan diri lalu menghayati patah-patah perkataan dalam setiap kalimat sajak penggiat malar-segar, Ahmad Sarju seperti terlantun melalui “Jendela yang Terbuka”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 11, tahulah kita betapa kentalnya semangat perjuangan mencurah bakti kepada tanah air penyair ini.
Bukan beliau sahaja mahukan dicipta karya-karya menjunjung tujuan murni, bahkan karyawan-karyawan yang lain-lain pun demikian dihajati berpuisi. Tetapi dalam berbuat begitu, beliau tetap mendukung hakikat bahawa sesebuah sajak, sebagai hasil seni kreatif, tetap perlu dihiasi berseri dan, aku pula tumpang sama menekankan, “memukau”.
Sajak penyair ini begitu terang menjulang pengabdian dalam suatu pengkhususan, iaitu menghasilkan sajak-sajak yang tidak membentak-bentak bak pemberontak terhalang kehendak. Ini sajak yang berakar pada pengalaman. Ia adalah bertunjang kepada kesedaran hasil pengamatan fabrik kemasyarakatan pasca-kemerdekaan. Kawanku ini, sudah lama menerokai bumi dan mengetahui beraneka sisi, berbagai segi, apalagi dalam mencapai wawasan perlembagaan dari perspektif seorang seniman serentak pemikir mengiktirafi kenyataan.
Perasaan seseorang boleh dilentur dengan menimbulkan kesan positif atau negatif. Maka, sekiranya keharmonian adalah matlamat perutusan, tiada pilihan yang paling bertepatan selain mengasuh jiwa-jiwa warga agar teruntun sentiasa ke arah kemanfaatan. Kukira ini adalah pendekatan seorang yang bijaksana. Dan sajak adalah wahana mengutus kebestarian. Penyair ini telah mendekati kaedah mencapai matlamat seni dengan serasi sekali.
Memang perutusan atau idea boleh disuarakan melalui pelbagai cara dan genre tetapi tetaplah sajak terletak di puncak kerana ia “merdu”, “harum”, “syahdu”, berukir” sekali gus mengasyikkan dengan kelembutan yang merungkaikan sejagatan persoalan. Bersyukurlah kerana adanya genre ini, sehingga meluangi cetusan sanubari para pemuisi.
No comments:
Post a Comment