Rapuh 7/2019: Mendaki tangga MAIK
Waktu awal pagi meletak kereta tiadalah bermasalah. Ada petak yang kosong walaupun ketika itu orang awam sudah ramai datang berurusan.
Hari ini aku datang khusus mencari naskhah-naskhah Pengasuh yang terlepas dibeli. Semua yang diperlukan tercatat jelas dalam buku nota kenit yang sentiasa kubawa bersama-sama: siri-siri 4, 5 dan mutakhir, 6. Bilangan-bilangan terbaharu 660 dan 661 telah dibeli kelmarin di Kedai Jaafar Rawas, Jalan Dato' Pati.
Sudah agak lama tidak kukunjungi Unit Penerbitan MAIK di Kompleks Lundang. Barangkali kali terakhir lima enam tahun lepas. Kurang pasti pejabatnya, aku singgah di ruang kaunter Pungutan Zakat bertanyakan lokasinya.
Ternyata, untuk ke unit itu, perlu menaiki tangga dengan melalui pintu kayu bersebelahan. Walaupun di Tingkat 3, termengah-mengah juga ketika sudah tiba di kaunternya.
Setelah menyuarakan hasratku, seorang petugas wanita datang melayan di meja tetamu yang sedia ada di depan kaunter. Aku diminta menyenaraikan naskhah-naskhah yang diperlukan. Dia tidaklah memberikan harapan membukit menunaikan niatku. Katanya, siri 4 dan 5 sudah tiada dalam stok. Selepas menyerahkan senarai itu, petugas beredar mencarinya.
Sementara itu, aku melihat-lihat rak yang memperagakan naskhah-naskhah yang diterbitkan oleh MAIK yang ada di situ. Kebanyakannya sudah ada dalam koleksi peribadi. Ia telah dibeli semasa pesta-pesta buku yang disertai oleh MAIK sama ada di Kota Bharu, Putrajaya atau di PWTC. Bahkan aku ingat pernah juga membelinya ketika datang di MAIK sendiri dahulu.
Seketika kemudian, petugas itu datang semula. Hanya tiga naskhah Siri 6 yang diperolehi, Bilangan 625 (edisi khas 2012), Bilangan 630, September-Oktober 2013), dan Bilangan 651 (Mac-April 2017). Aku menambah perolehanku dengan membeli terbitan terbaharu MAIK, “100 Tahun Majalah Pengasuh Peranan dan Sumbangan (1918-2018). Diskaunnya tidaklah lumayan. Hanya 10% daripada harga asalnya RM70.00. Tiga buah risalah/buku kecil dihadiahkan: “Riba dan Hukumnya” karangan Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, “Akhlak Dalam Islam” oleh Muhammad Uthman el-Muhammady, dan “Pelajaran Amalan Islam Seharian” susunan Zakaria bin Haji Ismail. Aku juga mengutip naskhah-naskhah percuma, Akhbar MAIK, Bil.11 dan Bil. 12, dan Buletin Majlis 2/2018 dan 3/2018.
Jam hampir 11.15 pagi. Lalu aku pun beredar menuruni tangga menuju ke kereta. Dalam buku nota kenitku masih tercatat naskhah-naskhah Pengasuh yang terus dicari; Bilangan-bilangan 400, 401, 402, 403, 404, 405, 406, 407, 408, 409, 419, 420, 504, 510, 515, 516, 578, 579, 580, 583, 590. Sebahagian ini pernah ada dalam koleksi tetapi musnah honaran anai-anai!
No comments:
Post a Comment