Kembara Thailand (18): Poskrip ‘A’
Sumber-sumber untuk mengetahui perkembangan semasa di sesuatu tempat baru yang kita lawati ialah akhbar, siaran TV, media sosial, dan interaksi atau pergaulan dengan individu-individu tertentu. Di Thailand, bagiku, sumbernya lebih terhad iaitu akhbar berbahasa Inggeris – The Nation dan Bangkok Post selain beberapa individu terpilih. Siaran TV tempatan tidak dapat difahami kerana menggunakan bahasa Thai. Begitu pun, sedikit sebanyak ada juga maklumat diperolehi. Interaksi dengan orang tempatan sangat minimum dan lebih khusus tujuannya – membeli, makan di restoran dan sedikit-sedikit bertanya letak arah lokasi. Itu sahaja.
Aku kira latar belakang kembaraku akan menjadi jelas dan berguna dengan menyedari keadaan semasa di Bangkok atau Thailand. Maka akhbar-akhbar yang berkenaan itu menjadi rujukan untuk tulisan yang menyusuli. Ezri pun, dan juga pemandu-pemandu yang kami beroleh kesempatan berinteraksi secara langsung dan panjang membekalkan maklumat yang tidak kurang pentingnya.
Ketika berada di Bangkok, kerajaan campuran baru pimpinan Perdana Menteri Gen. Prayut Chan-o-cha sedang memuktamadkan barisan kabinetnya. Ia dianggap lewat sehingga ada pandangan parti lawan mengenai isu perlembagaan berbangkit pertemuan atau mesyuarat Perdana Menteri yang baru dilantik dengan ‘kabinet lama’ (kerana kabinet baru belum dibentuk). Dalam akhbar dan berita TV pemimpin-pemimpin parti campuran mengadakan sidang akhbar membabitkan perkara itu.
Satu berita berkaitan yang menarik ialah isu 27 orang pemimpin parti di dalam parti campuran pemerintah yang didapati mempunyai sahm-saham dalam syarikat media, dikira melanggar perlembagaan, sama ada bakal digantung daripada Parlimen seperti yang telah dilakukan terhadap ketua pemimpin parti pembangkang kerana sebab yang sama?
Dalam satu rencana “Commentary” penulis bernama Nauvarat Suksamran, (Bangkok Post, 20 June, 2019) menyatakan di kalangan pemimpin-pemimpin parti campuran itu berlaku pergelutan untuk menjawat menteri-menteri “Grade A” iaitu yang mempunyai bajet yang besar. Secara tradisi atau mengikut budaya politik Thai, jawatan-jawatan menteri utama diberikan kepada ketua-ketua parti dan setiausaha-setiausaha agongnya tanpa mengambil kira kewibawaan mereka. Terdapat keadaan pendukung-pendukung kewangan parti-parti diberi jawatan-jawatan tinggi kerana membantu parti-parti berkenaan dalam pilihanraya. Banyak “power game” dalam parti-parti memang satu hakikat.
Seperkara lain, tentang taktik mendapatkan jawatan berdasarkan tempat asal ahli-ahli politik dan sokongan besar para pengundi terhadap mereka. Tanpa jawatan-jawatan mereka mendakwa tidak boleh memenuhi keperluan para penyokong mereka. Nauvarat merumuskan, Prayut bakal menghadapi masalah memerintah oleh sebab pelbagai karenah pemimpin-pemimpin parti campuran di samping parti-parti pembangkang. Thailand, “Like it or not, … are trapped in a new round of a vicious political cycle.”
Dalam editorial Bangkok Post, “Another one bites the dust”, membidas “regime’s absolute and authoritarian power”. Ini adalah reaksi terhadap pemecatan Datuk Bandar Perbandaran Betong oleh Menteri Dalam Negeri tanpa sebab-sebab yang belum jelas. Yang ditekankan oleh editor ialah “… the right to clear himself.” Selanjutnya, dikatakan, “… the former Betong mayor … should not have his right to justice unfairly stripped from him.” Dalam pada itu, beberapa kes lain mengenai ketidakcekapan pentadbiran kerajaan diketengahkan.
Satu artikel tentang ekonomi menarik perhatianku. Tanpa menyentuh analisisnya, kuambil rumusan penulisnya, bahawa “If the new government does not change its mindset and refocus its economic policy from building infrastructure and propping up crop prices to restructuring the industrial sector, one can pretty much forget about economic prosperity in Thailand.”
Beralih ke perkara lain. Pembinaan baharu bangunan-bangunan pejabat menambah ruangan pejabat terutama yang lebih berkualiti daripada berbagai aspek berbanding yang sedia ada. Isu yang berbangkit ialah sejauh mana syarikat-syarikat sanggup menyediakan bajet untuk menyewa premis-premis baru yang lebih berkualiti berbanding yang sedang diduduki sekarang? Pada masa sekarang kadar kekosongan keseluruhan meningkat daripada 6.6% menjadi 7.5% dalam suku tahun pertama 2019. Kadar pertambahan ruangan diduduki menurun 36.1% berbanding masa yang sama tahun lepas. (Sumber: The Nation, June, 20, 2019, p. 3B)
Dari segi kesihatan, dilaporkan bahawa Thailand menghadapi peningkatan obesiti, diabetes dan penyakit jantung di kalangan penduduknya. Laporan survei yang dijalankan memberi ruang untuk pihak kerajaan dan industri makanan berkerjasama menjayakan agenda kesihatan nasional melalui lebih banyak inovasi produk seperti reformulasi untuk menambah nilai nutrisional produk-produk. Usaha-usaha masa kini adalah kearah pengurangan kolestrol dan garam, menyahkan warna-warna artifisial, perisa-perisa, preservatif diikuti tambahan serat, vitamin dan galian.
Diberitakan bahawa Jabatan Pengangkutan Darat sedang mempertimbang membenarkan Grab e-hailing bagi motokar dan motosikal. Belum pula dibayangkan berapa lama proses itu dapat dilakukan. Perkara lain yang berkaitan ialah sama ada pemandu perkhidmatan tersebut harus disyaratkan mempunyai lesen memandu awam dan kaedah pelaksanaan. Sementara itu kerajaan dicadangkan mengkaji pelaksanaan perkhidmatan ‘ride-hailing’ di negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Ternyatalah dalam aspek ini Malaysia lebih sedikit di depan daripada Thailand.
Menyentuh tenaga kerja asing, akhbar The Nation, 20 Jun 2019, melaporkan pihak berkuasa memeriksa 417,546 migran dalam 12 bulan yang lepas dan didapati 6,647 bekerja secara haram. Mereka datang dari Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam. Migran tidak dibenarkan bekerja sebagai vendor, jurujual, pengawal keselamatan, pemandu tut tut, juruurut, juruhias (beautician).
Demikianlah sebahagian isu-isu yang diambil perhatian ketika berkunjung ke negara jiran utara itu selama tujuh hari, mulai 15 hingga 21 Jun 2019.
No comments:
Post a Comment