Wednesday, 30 December 2020

 Rapuh 13/2019: Di saman petugas parkir ‘263’

Ketika sedang asyik membelek-belek jilid-jilid Pengasuh lama di Perpustakaan Islam MAIK, Panji, Kota Bharu aku sempat menyemak juga mesej-mesej di halaman-halaman fbku dalam henfon. Terbacalah reaksi Leo Aws dalam fb terhadap tulisanku dalam “Rapuh 11/2019: Persirian Pengasuh”. Maksud utama beliau ialah untuk berjumpaku. Aku pun menjemput beliau datang ke Kompleks Tahfiz tetapi ternyata beliau berhalangan oleh urusan lain pada waktu Zohor dan selepasnya.
Sebenarnya, sudah beberapa kali, Leo, rakan fbku ini berhajat untuk menjumpaiku, dalam tempoh barangkali sudah masuk tiga tahun. Setiap aku berada di Kota Bharu dan menyiarkan posting di laman fbku, Leo akan mereaksi dengan menjemput aku datang berkunjung ke rumahnya di Dewan Beta. Bahkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini pun, kami berdua ada di situ, tetapi tetap tidak terserempak.
Aku berasa sangat perlu menjadikan pertemuan kami suatu kenyataan. Lalu, pembelekan jilid-jilid Pengasuh itu kusingkatkan. Aku harus tamatkan sebelum waktu Zohor atau sebelum waktu rehat pejabat pukul 1 tengah hari. Semua halaman Pengasuh yang kuperlukan telah ditanda. Pembantu Perpustakaan di situ telah kuminta membuat salinan foto sewajarnya, dengan bantuanku mempastikan ketepatan halaman-halaman berkenaan. Semua sekali 51 halaman selesai dibuat salinan. Kosnya ialah RM5.10.
Aku berterima kasih kepada pembantu itu dan memberitahu perlu beredar untuk suatu urusan yang lain. Namun, kunyatakan kepada beliau akan datang lagi pada kesempatan lain. Barangkali satu atau dua hari diperlukan untuk menyelesaikan sambungan belekan jilid-jilid lain yang belum lagi kuamati.
Dengan kereta aku menuju pusat bandar Kota Bharu. Hajatku untuk makan tengah hari di Suriani Nasi Kukus, berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV. Waktu makan tengah hari begitu bukan mudah mencari petak kosong parkir. Aku meneruskan pemanduan ke Kampung Sireh, berdekatan masjidnya. Tempat ini adalah salah satu lagi tempat yang biasa kusinggahi untuk makan Nasi Kukus. Aku menggunakan parkir masjid untuk meletakkan kereta lalu berjalan kaki melintas jalan ke gerai Nasi Kukus Azma yang dimaksudkan. Hanya seorang sedang makan di meja dan aku mencari meja berasingan untuk makan tengah hari di situ. Kebanyakan pembeli lain yang singgah membawa balik bungkusan Nasi Kukus itu untuk dimakan di tempat lain. Kuhabiskan hidangan tanpa terburu-buru. Dengan Nescafe Ais, belanja makan tengah hariku di situ RM7.00.
Aku kembali ke masjid untuk mendirikan solat. Bersendirian. Hanya ada beberapa orang lain yang singgah bersolat di masjid itu, di sudut pilihan masing-masing. Waktu solat berjemaah sudahpun hampir sejam berlalu. Selepas solat aku melihat-lihat salah satu sudut simpanan kitab masjid dan mengambil beberapa versi kitab “Syarah Hikam Ibnu Athaillah” – dua dalam tulisan Jawi cetakan ‘kitab kuning’ oleh Matbaah Bin Halabi, Pattani cetakan berlainan tarikh dan satu naskhah lagi dalam tulisan Rumi terjemahan Ustaz Abdul Ghani Jabal Maraqy. Bukanlah sangat aku mahu mentelaah kandungannya ketika cuaca sedang panas itu. Lebihnya aku mahu mengisikan masa sementara menunggu reaksi Leo terhadap mesej Whatsapp untuk menetapkan masa pertemuan kami.
Mesej Leo yang diterima mencadangkan aku datang ke rumahnya waktu malam sedangkan dia bersedia datang ke tempat penginapanku di Kampung Pendek atau di restoran berhampiran selepas solat Asar. Mesej balasku pada pukul 3.05 petang menyatakan: “Rumah di Pendek tidak sesuai kerana sudah jadi rumah kosong, kerana tuannya sudah meninggal dunia. Sekarang saya berehat di Masjid Kampung Sireh dan boleh terus ke Dewan Beta jika tuan bersedia”.
Belekan terhadap “Syarah Hikam” di masjid itu mengujaku untuk ke Kedai Jaffar Rawas di pusat bandar. Memang di situlah temapat mencari buku-buku agama. Lalu kupandu kereta ke sana. Aku parkir di tempat tapak pasar lama yang kini sudah menjadi kondominium. Pada resit parkir itu jelas tertulis waktu pembelian: 15.53 dan tempoh parkir itu berakhir pukul 17.08. Resit itu kuletakkan di atas ‘dashboard’ dan boleh dilihat semua maklumatnya dengan jelas dari luar.
Aku berjalan kaki ke Kedai Jaffar Rawas, 100 meter dari situ. Apabila sampai kutelitikan lambakan buku di kaki limanya. Di sinilah tempat yang sentiasa kukunjungi apabila berada di Kota Bharu. Buku-buku yang ditawarkan potongan harga, sebahagiannya lumayan, kerap kubeli dalam kunjungan-kunjungan dahulu. Hari ini tiada yang aku berkenan. Aku lantas masuk ke dalam premis dan meninjau kitab-kitab di seksyen kitab pondok. Di sinilah aku jumpa “Syarah Hikam” Jilid 1 dan Jilid 2 dalam versi-versi Jawi dan Rumi. Lengkap. Buku-buku ini diterjemahkan oleh Abdul Ghani Jabal Maraqy, cetakan pertama, Januari 2018 dan April 2018 masing-masingnya.
Harga versi-versi ini sama sahaja. Selaku, peminat tulisan Jawi hatiku berbelah bahagi, sama ada membeli versi Jawi atau Rumi. Memandang ke depan, mengharapkan pewaris-pewarisku terus menyimpannya, dengan keberatan aku memutuskan membeli versi Rumi. Pernah pada masa-masa dahulu aku mengutamakan versi Jawi, atau membeli kedua-dua versi. Tidak demikian hari dan kali ini.
Aku juga mengambil senaskhah majalah Pengasuh yang terbaru, Bilangan 664, Mei-Jun 2019. Melihat jam di tangan ternyata aku menggunakan hampir 40 minit di situ. Aku membayar harga pembelian itu di kaunter. Dengan 10% diskaun, kosnya bernilai RM53.40.
Aku kembali ke kereta dan menyimpan buku-buku tadi ke dalamnya. Lalu berjalan kaki ke Pasar Khadijah, sejauh 100 meter atau lebih sedikit, dari situ. Hajatku hendak melihat kuih-muih yang ada dan jika berkenan membelinya, melepas gian. Tiada yang kuhajati dijual. Barangkali orang-orang seseleraku sudah semakin pupus. Kuih-muih yang dicari itu sudah tadak laku lagi. Lalu aku mengelilingi sebahagian pasar itu. Kudapati ruangan niaga di tingkat bawah sedang diuabhsuai walaupun sebahagian ruang tengah masih ada yang berurus niaga sayur-sayuran dan seumpamanya. Barangkali beberapa bulan diperlukan untuk menceriakan semula ruangan niaga di tingkat bawah itu.
Aku melajak juga ke Pasar Buloh Kubu meninjau dari jauh sama ada sebuah kedai buku di situ masih di buka. Tiada tanda kedai buku itu masih beroperasi. Boleh jadi sudah menggulung tikar!.
Aku pula beredar menuju keretaku. Ada ku berselisih dengan seorang petugas parkir beruniform berdiri di laluanku itu. Aku melihat jam di tangan. Ia sudah mencecah 5 petang. Di ingatanku aku masih ada 8 minit berbaki untuk membiarkan keretaku terparkir secara sah. Tetapi malangnya, apabila sampai, di cermin kereta itu sudah tertampal “TAWARAN KOMPAUN”, “MPKB – Bandar Raya Islam”. Beberapa butir utama lain tertulis: Kod Hasil: 410/961045, No. Kompaun: KB0251908564; Waktu [Saman]: 04.40 PM; Zon: Zon A; Tempat: Jalan Hilir Pasar; Dikeluarkan oleh 263.
Dada meruap. Aku mencari-cari “263”. Mahu kusembur ‘profesionalisme”nya. Bagaimana hak memparkir dibenarkan sampai pukul 17.08 dinafikan dengan mengeluarkan saman pada jam 04.40 PM? Namun tidak pula kujumpai petugas berkenaan walaupun selepas satu round aku berkereta di kawasan sekitaran. Ketika inilah Leo menelefon, mereaksi mesej Whatsappku yang dihantar ketika di Masjid Kampung Sirejh tadi. Beliau bersetuju aku berkunjung ke rumahnya petang itu. Dalam Whatsapp, yang beliau hantar lebih awal tertulis; “Oh ya, ya molek Datuk .. saya lepas Asar .. saya tunggu depan sekolah Smk Dewan Beta.”
Rismayanti Idris, As Abbas and 7 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Ya, sesungguhnya seronok membaca naratif Datuk yg teliti .. jika Saya puji sebagai Gaya Abdullah Munsyi di zamannya (naungan Inggeris di negeri Selat/ Melaka Singapura & Pulau Pinang seraya mengkritik pentadbiran raja2 Melayu Tak Kira di Pantai Barat & Timur ) .. Kita dianggap Tali barut Inggeris pula;
    Apapun terima kasih Dato' .. jika karya travelog Perkhidmatan Dato' mahu diterbitkan melalui Pdp saya bersedia .. tetapi tertakluk kepada Dana & editor sendiri sahaja .. Dato' boleh dapat seorang Dua sarjana yg berminat kepada tujuan Dato' mengarang!?
    (Saya Ada kemahiran menerbitkan buku puisi sahaja; itu pun dalam batasan syok sendiri sebagai Pensajak .. )
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Travelog Perkhidmatan Awam semasa Kerajaan PH yg berintegriti ..
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment