Tuesday, 29 December 2020

 Kembara Thailand (6): Masaj dan makan malam

Pada hari pertama kami di Bangkok, Ezri balik kerja selepas waktu pejabat. Seperti dijanjikan, Ezri mengajakku ke kedai tukang jahit. Ezri memandu kereta. Kain batik yang dibeli di Hat Yai kubawakan sama. Trafik waktu petang sesak kerana bersimbung waktu orang pulang kerja. Tetapi ini tidak dapat dielakkan. Itulah waktu yang terluang.
Rupa-rupanya tempat yang dituju ialah Hotel Ambassador di Jalan Sukhumvit. Ia tidaklah jauh sangat dengan Jalan South Sathorn. Hotel Ambassador ialah tempat aku menginap ketika pertama kali datang di Bangkok pada SEptember 1987. Aku tidak ingat benar rupabentuk hotel itu tetapi yakin yang sekarang dikunjungi telah berwajah baru dan jauh lebih besar.
Ezri meletak kereta di parkir aras bawah. Kami berjalan ke aras lobi, di aras 1. Kedai tukang jahit yang kami tuju berurusniaga di salah satu ruang niaga di situ. Pemilik atau tukang jahit itu berbangsa India. Begitu juga pembantunya. Ada dua tiga orang pelanggan lain di situ. Melihat kepada kain-kain dan pakaian yang telah siap terpamer, aku percaya kedai jahit ini mempunyai pelanggan yang ramai. Ezri sering mengupah tukang jahit ini menjahit kain-kain pakaian yang dibeli di tempat lain, untuk dipakainya sendiri atau untuk Arif, anaknya, sekali gus cucuku.
Sambil menunggu tukang jahit mengukur saiz pelanggan-pelanggan yang datang lebih awal kami diminta duduk di kerusi tersedia. Pembantunya membawa kopi panas untuk kami berdua. Kain batik yang dibawa kutunjukkan dan tukang jahit itu mengukurnya untuk dipadankan dengan keperluan menjadikan baju kami. Dia mengesahkan sebagai mencukupi. Aku menempah tiga helai semuanya dalam stail yang berbeza – pertama, kemeja biasa (batik mengikut stail biasa), kedua, kurta (batik),dan ketiga, kombinasi kedua-duanya iaitu kemeja biasa diubahsuai sedikit berunsur kurta (batik). Ezri pula menempah sehelai baju daripada kain yang sama-sama dibeli dengan batik-batikku tadi. Badan kami selesai diukur dalam masa yang singkat sahaja.
Aku nampak Ezri berunding tentang upah untuk setiap sehelai. Tukang jahit itu nampaknya berkeras dengan harga yang dinyatakan sedangkan Ezri memujuk dikurangkan. Harga upah kekal seperti yang ditetapkan. Namun, aku kira ia masih lebih murah berbanding kadar upah di Kuala Lumpur. Tukang jahit memberitahu baju-baju itu akan selesai dalam satu hari. Maknanya, ia akan siap esok.
Sebaik meninggalkan kedai itu hari sudahpun gelap. Waktu Maghrib telah masuk. Hotel menyediakan Bilik Solat di aras yang sama, tidak jauh dari kedai itu. Ia berdekatan dengan lif. Kemudahan mengambil wuduk pun ada. Aku kira keluasan bilik boleh menampung 15-20 orang. Kami berdua mendirikan solat berjemaah. Ketika keluar dari Bilik Solat di hadapan lif ramai pelanggan hotel baru tiba. Bagasi mereka berlonggokan. Daripada perawakan dan percakapan mereka aku yakin mereka baru tiba dari India.
Sebelum beredar pulang, aku meminta Ezri merakam beberapa gambarku di tempat-tempat tertentu hotel, di luar dan di dalam, sebagai kenangan tiba semula di hotel ini selepas lebih kurang 32 tahun berselang. Kemudian, kami turun menuju kereta.
Jalan Sukhumvit dan sekitarannya yang kami lalui tertonjol hidup walaupun malam masih mentah. Lampu neon bergemerlapan. Orang pun ramai. Aku pun tahu, kawasan itu semenjak dahulu lagi menjadi salah satu tempat yang dikerumuni para pelancung, termasuk daripada negara-negara Arab! Di sini banyak premis urut dan berkaitannya.
Daripada satu peta Bangkok yang aku ambil di kaunter hotel tadi, terserlah iklan-iklan mengenainya. Gambar-gambar wanita muda, dan juga lelaki muda, memenuhi lembaran - mengiringi atau mengelilingi peta berkenaan. Sebahagian kupetik membayangkan suasana sebenar: “Honey Bee Massage”, “Sensual Massage”, “Paradise Massage”, “Naughtyka Escorts”, ARENA For Men by Men”, “Super Heroes Professional Massage for Men & Ladies by Men”, dan banyak lagi!!! Tentulah tauke-tauke premis itu menjadi penaja pencetakannya. Tentulah juga bisnes itu satu produk pelancongan.
Kami balik ke Sathorn Gardens. Tidak perlu susah-susah merayau mencari-cari makanan di luar. R telah memasak makanan malam. Mi berkuah ramuan sendiri– berlauk ayam, telor, sayur. Lengkap ikut piawai lagi halal. Terjamin memenuhi selera. Sekian lama begitu kualami. Tidak pula perlu aku bimbang sukatannya. Jika habis sepinggan, masih boleh ditambah lagi.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 30 others
3 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment