Kembara Thailand (2): Mencari batik Siam
Pekan yang disinggahi selepas melepasi pemeriksaan Imigresen ialah Dannok. Tidak dapat diceritakan impresiku terhadap pekan ini kerana hari telah malam. Ezri memberhentikan kereta di tepi jalan berdekatan dengan satu deretan kedai di tepi jalanraya utama itu. Dia membeli kad SIM untuk telefon kerana Kad SIM asal sudah tidak terpakai lagi. Untuk tempoh seminggu setiap kad SIM itu berharga 200 Baht. Pekedai wanita Thai berusia 30-an yang cantik itu memasukkan kad-kad tersebut ke dalam setiap telefon kami. Kemudian diujinya dan didapati semuanya berfungsi sempurna. Aku memberikan wang kertas 1,000 Baht dan dia mengembalikan bakinya 400 Baht.
Kembara melalui jalanraya sentiasa menguja. Aku dapat melihat segala-gala yang ingin dilihat – rupa muka bumi, bangunan, perkampungan, kehidupan seharian, suasana bandar dan desa, kegiatan ekonomi, mercu-mercu tanda, tempat-tempat menarik dan lain-lain. Maka sangat perlulah perjalanan di tempat-tempat baru dan asing itu dilakukan ketika siang hari. Inilah yang dikesalkan sebaik sahaja berada di bumi Thai itu. Ketika singgah di Sadao, waktu sudah 8.15 malam bersamaan 7.15 malam waktu tempatan. Perjalanan ke Hatyai sejauh lebih kurang 50 kilometer melalui lebuhraya. Perjalanan lancar. Kenderaan sentiasa aktif di kedua-dua hala. Malangnya hasrat mendapat kesan sepintas lalu melintasi perjalanan sejauh itu tidak tercapai. Hanya dapat disebut bahawa boleh dikatakan sepanjang perjalanan di kiri kanan lebuhraya sentiasa ada kawasan yang didiami atau pekan-pekan kecil. Ia bukan perjalanan meredah hutan!
Asalnya, Ezri merancang untuk singgah bermalam di Chumphon, sejauh lebih kurang 530 kilometer di utara Sadao. Ini bermakna 6 hingga 7 jam perjalanan tambahan. Aku lebih suka bermalam di Hatyai yang sudah dekat benar dari situ. Pertama, kerana hari sudah malam. Aku akan terlepas pemandangan sepanjang perjalanan yang jauh itu. Kedua, akan terlepas untuk singgah di Hatyai terutama bagi membeli batik bakal ditempah menjadi kemeja di Bangkok. Ezri memberitahu upah menempah kemeja di Bangkok adalah murah. Ketiga, kami telah berada di lebuhraya hampir seharian, semenjak meninggalkan Petaling Jaya tengah hari tadi.
Dari Sadao ke Hatyai perjalanan mengambil masa hampir sejam. Ketika sampai di bandar itu, masih banyak kedai yang sedang berniaga, Ezri memberitahu kedai-kedai makan biasanya ditutup pada pukul 9 malam. Dia terus menuju restoran Kai tod decha untuk kami makan malam. Tidak susah mencarinya oleh kerana GPS memandu pencarian. Ketika tiba di restoran itu, kebetulan satu petak parkir baru dikosongkan. Di situ, betul-betul di seberang jalan tetapi bersetentangan restoran itu. Kami turun, menyeberang jalan dan terus memasuki restoran. Restoran ini dikira besar. Kami bertuah. Tentulah tidak perlu menunggu lama. Hanya ada sekeluarga sedang makan ‘besar’. Para pekerja sedang duduk-duduk menunggu pelanggan. Mereka semuanya wanita atau gadis yang memakai tudung dan boleh bercakap bahasa Melayu. Tentulah mereka orang-orang Melayu Thai.
Ezri membuat tempahan. Dia pernah makan di restoran itu. Katanya restoran ini yang terbaik di samping popular. Aku pun terbaca iklan yang terpampang dalam restoran itu, sebahagian dalam bahasa Melayu, memberitahu sebuah cawangannya yang terbaharu telah dibuka di Krabi mulai 14 Februari 2019. Ezri mengsyorkan kami mencuba ayam goreng, dimakan bersama pulut dan sos cili. Beliau menempah ayam untuk dua orang tetapi meminta tiga piring pulut. Aku memesan Nescafe Ais, R jus oren dan Ezri …. Tidak lama kami menunggu. Tempahan tiba. Melihat makanan di depan mata, memang wajar pesanan Ezri kerana ayam untuk dua orang itu cukup untuk kami tiga orang makan. Hidangan itu mudah sahaja kami selesaikan sambil berbual-bual ringan. Tiada alasan merungut dengan makanan malam itu.
Ezri membayar. Terlupa pula aku harganya. Dia kemudian menempah hotel untuk kami menginap melalui henfon. Dalam sekejap sahaja urusan itu selesai. Kami meninggalkan restoran untuk pergi ke Green View Hotel. Dalam waktu lima minit kami telah tiba. Kami mengambil pakaian yang perlu sahaja dan memasukkan ke dalam beg sandang untuk dibawa ke hotel. Beg-beg besar ditinggalkan dalam kereta yang diparkir di tempat berbumbung di aras bawah.
Bilik-bilk kami terletak di tingkat 4, sebelah-menyebelah. Ia berdekatan dengan lif. Untuk hotel tiga bintang, bilik itu dikira baik – luas, katil lebar bercadar bersih, berbilik air yang luas, bertuala, TV, berhawa dingin. Ada almari pakaian, peti ais kecil. Dua botol air mineral juga dibekalkan. Untuk mencaj telefon tiada masalah. Kami mandi, bersolat, dan berehat. R mulai tidur. Aku menonton TV sambil membelek-belek majalah pelancongan yang dibekalkan dalam bilik itu. Maklumat berguna mengenai tempat-tempat pelancongan di selatan Thailand terkandung di dalamnya. Tiada bermasalah memahami kerana majalah itu menggunakan bahasa Thai dan bahasa Inggeris. Tiada kedengaran bunyi yang mengganggu ketenangan malam. Seseorang boleh tidur dengan nyenyaknya. Kukira caj senilai RM70 sebilik untuk satu malam adalah munasabah.
Kami bangun awal, mandi dan bersolat Subuh. Melalui tingkap aku meninjau sekitaran hotel itu. Jalanraya masih lengang. Sesekali kelihatan kereta bergerak tenang. Mentari sudah mencerahkan hari seawal 6 pagi (?). Dari tingkat bilik itu kelihatan banjaran bukit di kejauhan membayangi bandar itu. Semakin masa bergerak, pancaran mentari pagi mulai melimpahkan cahayanya ke serata kawasan. Aku menghubungi Ezri melalui telefon. Dia mencadangkan kami keluar dari hotel pada jam 7 pagi. Kami turun bersama-sama. Ezri ke kaunter menyelesaikan urusan cekout. Kemudian kami ke kereta. Kuperhatikan banyak juga kereta berplat Malaysia terparkir berderetan di situ. Ternyata Hatyai tempat yang tidak asing bagi rakyat Malaysia.
Kami meninggalkan hotel. Sarapan tidak termasuk dalam caj bilik. Barangkali lebih baik begitu. Kami terbuka kepada alternatif lain. Aku memberitahu Ezri untuk ke pasar mencari kain batik. Kami melalui pusat bandar dan akhirnya meletakkan kereta di parkir Hotel Centara, di aras bawah. Di parkir hotel ini pun kudapati banyak kereta berplat Malaysia. Besar kemungkinan pemilik-pemiliknya menginap di situ. Ezri memberitahu hotel ini adalah tumpuan orang-orang Malaysia yang datang berurusan di Hatyai.
Kami naik ke aras satu separas jalanraya. Di sini hotel menyediakna kafe. Makanannya halal. Ada roti canai, murtabak stail Thai. Seorang pekerja wanitanya bertudung. Kami duduk di meja yang tersedia. Ada dua pelanggan wanita lain mendahului kami dan sedang makan di meja sebelah. Aku dan R hanya memesan roti telur dan Ezri meminta murtabak. Untuk minuman kami minta teh panas. Tidak lama menunggu. Roti telur dihabiskan mudah tetapi Ezri tidak berselera dengan murtabak. Sedikit sahaja diusiknya lalu disorongkan kepadaku. Aku tidak menolak. Sedikit kuberikan kepada R agar merasainya. Kuhabiskan bakinya. Rasanya okay. Perutku bertambah tepu. Sangat selesa untuk menghadapi perjalanan jauh. Ezri membayar harga sarapan di kaunter berdekatan.
Dari hotel itu tidaklah jauh untuk ke pasar dengan berjalan kaki. Hajat asal berkereta dibatalkan takut bermasalah memparkir. Selepas melintas jalan, kami melalui kaki lima kedai-kedai yang sudah pun mulai berniaga. Sepanjang kaki lima itupun peniaga kecil berniaga pakaian dan juga makanan. Boleh kelihatan ketupat palas, pulut mempelam, dan lain-lain. Selepas melintas dua lagi jalan utama, kami sampai di pasar. Barangkali kami mengambil masa 7-8 minit. Orang sudah ramai menjalankan urusan masing-masing. Dari kaki lima yang kami lalui sebelum memasuki kompleks pasar berderetan peniaga menjaja pelbagai makanan dan buah-buahan. Ada juga penjaja menjual beras di kaki lima itu secara menempel, bersandar di dinding pasar bahagian luarnya. Tentulah mereka berurus niaga secara haram.
Pasar itu besar juga. Kami tidak pula cuba meninjau keseluruhan. Petak-petak perniagaan di dalam pasar belum semuanya berurus niaga. Ada pula yang sedang membuka dan mengatur barangan jualan masing-masing. Ezri cuba mencari gerai batik tempat beliau pernah membelinya sebelum ini. Setelah berpusing-pusing beberapa kali gerai itu gagal dijumpai. Mungkin juga gerai itu termasuk yang belum lagi dibuka.
Akhirnya kami berhenti di satu gerai menjual kain. Didapati kain-kain yang kami cari terjual di situ. Tetapi kain-kain batik itu menampalkan cap buatan Indonesia. Penjual wanita Thai itu beria-ia menyatakan batik berkenaan sebenarnya batik Thai. Hanya capnya sahaja menggunakan cap Indonesia. Seorang wanita Melayu yang menjual makanan di sebelah datang menjelaskan dalam bahasa Melayu, mengiakan dakwaan penjual Thai. Barulah kami faham, bahawa batik yang kami cari-cari itu sebenarnya buatan Thailand. Ezri bertanyakan harganya. Didapati tawaran harganya lebih murah daripada gerai lain yang ia belikan tempoh hari. Aku memilih 3 helai batik dan Ezri mengambil satu, warna hitam tak berbatik. Aku membayar harganya.
Selepas itu R membeli biji gajus di gerai bersebelahan milik wanita Melayu tadi. Wanita itu memberitahu dia baharu balik makan angin di Kuala Lumpur. Kami tidak berniat untuk membeli barangan lain. Lalu kami berjalan keluar meninggalkan pasar. Jalan yang kami lalui ketika datang tadi dilalui semula untuk balik ke hotel tempat kereta di parkir.
Ketika naik ke lobi hotel di Tingkat 6 untuk menselesakan diri, aku terserempak dengan kenalan lama yang sama-sama bertugas di JPA 20 tahun dahulu. Beliau ketika itu berpangkat KPSU. Kini beliau sudah menjadi pegawai kanan mengetuai sekretariat sebuah negeri di utara Semenanjung. Kedatangan beliau ke Hatyai hanyalah untuk bersiar-siar sambil membeli belah. Kami berempat merakamkan pertemuan itu dengan welfi.
Jam sudah pukul 9.20 pagi. Kami kemudian turun ke tingkat bawah ke kereta. Ezri memandu kereta, aku di sebelahnya dan R di tempat duduk belakang. Hatyai dan Bangkok bukan dekat jaraknya. Semakanku menunjukkan jaraknya ialah 944 kilometer. Hari itu hari Ahad. Esoknya hari Isnin. Ezri mulai bekerja. Kami harus sampai di sana. Tidak boleh tidak pada malam itu juga.
NOTA: Aku terharu, setelah berada di Bangkok, apabila Ezri memberitahu Azman (bergelar YB kerana portpolio) menulis dalam fb beliau tentang pertemuan kami. Saya salin tulisan beliau itu: “Terjumpa bekas bos saya di Hotel Centara… Datuk Md Said… bekas Timb Pengarah Kanan BPO yang kemudiannya menjadi [Timbalan] KP ICU, JPM sebelum bersara. A man who has wisdom and always thinks outside the box…In fact ..he is computer savvy. I considered him as one of my best mentors. Anaknya kini bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangkok.”


No comments:
Post a Comment