Tuesday, 29 December 2020

 Berjalan kaki di Kota Bharu (4): Niat dan Selera

Jarak TIC dan Bazar Tok Guru lebih kurang 100 meter. Dalam empat lima minit berjalan kaki aku sudah berada di tangga memasuki premisnya, dari sebelah Jalan Sultan Ibrahim. Ketika itu kedai-kedai telah dibuka. Tetapi aku tidak lihat ramai pelanggan. Begitulah pada ketika lain pun ketika mendatanginya. Suasananya tidak banyak berlainan.
Setelah berada di paras satu aku terus mengambil laluan tengah. Kedai-kedai atau reruang perniagaan membarisi laluan. Di kompleks begini barangan perniagaan di serata ruang seakan sama. Ada di kalangan pekedai menyapaku mohon disinggah dan membeli dagangan mereka. Ketika mencapai jarak 10 meter dari tangga di pintu masuk aku berhenti. Tergerak hati melakukannya. Di situ ada tersusun kain-kain pelikat berbagai cap – Gajah Duduk, Mangga, dan juga Cap Kuda. Tidak pula ternampak cap Wadimor di situ. Peniaga wanita berumur 50an yang kutanyakan harganya memberitahu pelikat Gajah Duduk ASIA berharga RM25 sehelai.
Lebih seminggu lepas aku membeli 3 helai kain pelikat di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur. Dua helai Gajah Duduk multi colour dan sehelai Wadimor Sarung Tenun dibeli dengan harga RM70.
Wanita itu tangkas mermbuka kotak-kotak pelikat itu menayangkan corak yang ada. Terkilas salah satu corak dikira sehati. Sungguhpun aku hanya mahu membeli sehelai sahaja, wanita itu sedia memberiku dengan harga RM22 setelah kuberitahunya harga pelikat belian terbaruku di Kuala Lumpur. Maknanya, harga di sini murah seringgit berbanding di Kuala Lumpur. Terfikir, sungguh tidak sopan untuk meninggalkan kedai itu untuk mencari Wadimor, sedangkan Gajah Duduk tidak kurang mutunya bahkan adalah cap paling banyak dan selama ini tertonjol pilihan utamaku. Agar keceriaan wajah wanita itu melayaniku tersimpul sempurna aku bersetuju membelinya.
Sebenarnya sudah banyak pun kain pelikat dalam milikku. Masalahnya, semenjak 15 Jun hingga hari itu, aku hanya membawa sehelai pelikat sahaja mengelana ribuan kilometer. Ia menjadi basahan – ketika tidur dan solat – dan kukira terlalu lama untuk terus dipakai tanpa dibasuh semula. Walaupun besok aku akan berlepas ke Kuala Lumpur, sehelai yang baru ini dikira wajar dibeli – menambahkan pelikat-pelikat yang baru setelah agak lama tidak membelinya, selain perlu dipakai segera ketika bersolat di rumah tempat menginap.
Aku tidak perlu lama berada di bazar itu. Masa untuk makan tengah hari sudah menepati benar. Aku tahu di Tingkat 4 bazar itu ada gerai makan. Hanya ia tidak menjadi pilihan. Tinjauan dalam kunjungan-kunjungan yang lepas tidak membangkitkan selera. Alang-alang makan di luar biarlah yang benar-benar memenuhi selera. Kesempatan sekali-sekali begini tidak boleh dipersesiakan. Bazar Tok Guru hanya menambat hatiku kerana ada inisiatif kawan-kawan Fbku menganjurkan Pasar Buku Kota Bharu, iaitu setiap hari Sabtu di hujung setiap bulan. Aku malah pernah menyertainya sekali – membawa dagangan berupa buku-buku terpakai untuk menceriakan suasana. Sambutan orang ramai mengecewakan tetapi sebagai penggemar buku, kesempatan duduk-duduk sambil berbual dengan kawan-kawan segemaran serta melihat buku-buku bukan milik sendiri sudah lebih dari mencukupi. Ia memberi kepuasan.
Lalu aku beredar keluar dari Bazar Tok Guru turun menapaki Jalan Padang Perdana, menuju ke arah Stadium Sultan Muhammad IV. Aku melintasi Dewan Jubli Intan di sebelah kiri dan Perpustakaan Awam Negeri, di sebelah kanan dan berjalan terus ke Jalan Mahmood. Di situ boleh kelihatan Medan Usahawan, tempat yang biasa juga kusinggah untuk makan-makan. Tetapi tempat ini bukan yang kutujui sekarang.
Aku menyeberang Jalan Mahmood, merentas medan parkir berdekatan tandas awam langsung ke Jalan Hospital. Disini ada dua tempat yang menjadi pilihan seleraku – Nasi Kukus Suriani dan Cendol Pulut Tapai. Nasi Kukusnya menjadi tumpuan ramai. Adalah biasa melihat pelanggan-pelanggan beratur panjang untuk mendapat tempahan masing-masing. Hari ini ketika aku tiba tidaklah perlu beratur.
Pesanan makananku adalah seperti biasa, tidak pernah berubah. Nasi kukus dan ayam goreng yang sentiasa besar potongannya. Aku tidak kisah sangat, sama ada potongan itu dada atau paha. Habuanku segera diperolehi. Petugas yang membungkus nasi itu amat cekap. Dalam masa kurang seminit sudah boleh selesai satu bungkusan. Aku tidak benar-benar ingat harga sebungkus nasi kukus itu hari ini. Besar kemungkinan RM6. Yang sentiasa di ingatan harganya ialah RM5.50, dan sebelum itu RM5.00. Kalau pun RM6 ia masih dikira harga patut! Aku terus membayar harga nasi itu di kaunter kasyier.
Masih ramai pelanggan lain sedang menjamu selera di situ. Namun, sudah banyak meja yang kosong. Aku tidak memesan minuman tetapi membawa bungkusan nasi tadi dan duduk di kerusi kosong di gerai Cendol Pulut Tapai, berselang satu gerai lain berhampiran. Gerai ini sentiasa juga kusinggahi ketika berada di Kota Bharu, sama ada ketika hendak makan nasi kukus, waktu tengah hari atau khusus untuk menikmati cendol tersebut.
Pegerai itu, Ilias namanya, sentiasa kutegur secara telah mengenali lama. Dia pun begitu; memperlihatkan wajah dan layanan mesra seakan aku bukanlah orang yang asing baginya. Kupesan pakej penuh – cendol+pulut+tapai. Ada dua orang lain, kuyakini suami-isteri sedang menghirup cendol di meja berdekatan. Dua orang pemuda yang datang kemudian mengambil sebuah meja lain, memesan cendol dan seorang pergi memesan nasi kukus untuk melengkapkan jamuan tengah hari mereka.
Sungguhpun Ilias mengkhususi cendol, dia menyediakan tangki air mini untuk basuhan tangan para pelanggan. Semua pili basuh tangan berhampiran nampaknya tidak berfungsi. Tertanya-tanya juga dalam hati sebab kelewatan PBT membaikinya. Tetapi Ilias prihatin. Dia menyediakan kemudahan sekadarnya kerana dia tahu ramai pelanggannya adalah juga pelanggan restoran Nasi Kukus di sebelah.
Sambil makan aku sempat juga berbual-bual dengan Ilias. Ternyata beliau tidak sangat mengingatiku. Kerana ia bertanyakan soalan yang hanya ditanyakan oleh orang yang belum mengenali! Dengan menceritakan secara ringkas keberadaanku di Kota Bharu, ingatannya kembali semula dan kami berbual lebih bersahaja.
Dia memberitahu pada musim perayaan sekarang beliau sering ditempah untuk membekalkan cendolnya dalam jamuan-jamuan hari raya yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak sepanjang masa. Misalnya, sehari dua lepas dia membekalkan cendol di jamuan anjuran seorang YB. Petang besok ada satu lagi jamuan anjuran kumpulan elit Kota Bharu dan dia terlibat menjual perkhidmatannya. Ketika kutanyakan, manakah lebih baik, menjual di gerai atau memenuhi tempahan jamuan Hari Raya, dia tidak teragak-agak lagi mengesahkan kaedah kedua lebih baik. Ia mudah, tidak perlu menunggu pelanggan datang, kerana pendapatan telah terjamin, tanpa resiko.
Ilias kuminta merakamkan kehadiranku di situ melalui henfonku. Dulu-dulu pun dia kuminta melakukan demikian. Aku kemudian membayar harga cendol+pulut+tapai iaitu sebanyak RM3. Destinasi lain sudah terbayang dalam minda. Aku beredar dari situ, setelah ‘nafsu’ seleraku nyata dipuasi.
No photo description available.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 16 others
6 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment