Kembara Thailand (14): Muzium Tuan Guru Haji Sulong
Dari Kampung Krisek ke Bandar Pattani jauhnya 5-6 kilometer. Din ke kedai membeli tiga botol air minuman. Masing-masing membasahkan tekak. Din memandu berhemah menuju Bandar Pattani. Sekejap kami pun memasukinya . Kenderaan dalam bandar bergerak lancar. Tiada kesesakan. Bandar ini tidak boleh dikatakan kecil, walaupun jauh sekali layak disaizkan sebagai besar. Kebanyakan bangunan rendah-rendah. Di sana-sini ternampak bangunan-bangunan sedikit tinggi. Pada umumnya bandar ini datar tapaknya. Ada sungai mengalir membelah bandar bermuara tidak jauh dari jambatan yang kami lintasi. Dari satu jalan yang kami lalui aku boleh nampak tambakan pada tebing sungai di kiri kanannya. Di kedua-dua tebing dibina struktur atau bangun-bangunan perniagaan dan juga pelancongan.
Kami tiba di Masjid Jamek Pattani hampir pukul 3 petang. Kami turun dari kenderaan dan bergambar di beberapa tempat strategik – di depan tanda nama di pagar masjid, di pintu pagar masjid, berhampiran kolam sebelum pintu masuk masjid. Masjid ini kelihatan cantik dan bersih. Kawasan dan landskapnya terjaga. Kami tidak lama di situ. Din mahu menunjukkan satu produk lain yang tidak jauh dari situ. Bukan yang telah kupastikan awal-awalnya. Walaupun pernah ke situ, dia sendiri sedikit keliru mencari hala arahnya sampai kami terlajak dan berpusing-pusing di pusat bandar. Lalu ditelefonnya seseorang. Wanita yang menjawab panggilan memberitahu arah ke destinasi kami. Dalam lima minit kami pun sampai di tempat berkenaan, iaitu Rumah Tuan Guru Haji Sulong.
Din berhenti di depan sebuah banglo yang besar dan cantik. Kami keluar kenderaan kerana Din mengajak kami singgah di rumah itu. Tuan rumah itu kenal baik dengan Din bahkan seakan sebahagian keluarganya. Dia seolah-olah orang yang sudah biasa mendatangi rumah itu. Tuan rumah itu adalah seorang pesara Perbandaran Pattani. Dia merupakan anak-beranak Allahyarham Tuan Guru Haji Sulong. Ketika kami tiba hanya beliau dan seorang wanita yang agak berumur ada di ruang tetamu. Kami mendengar juga suara bayi dari satu bilik berdekatan.
Kami dipersilakan duduk. Din memberitahu tuan rumah tujuan kami ke situ – mengambil kesempatan mengetahui secara langsung personaliti bersejarah di Pattani. Rumah Haji Sulong telah menjadi ‘muzium’. Sudah ramai para pelawat mengunjungi dan sementelahan kami berada di situ Din menganggapnya wajar kami singgah walaupun sekejap. Wanita berusia itu bersusah di dapur menyediakan minuman menghilangkan dahaga kami. Dia datang menghidangkannya di meja tetamu tempat kami duduk. Bersamanya ada dua jenis kek. Kami tidak sempat berbincang tentang perkara-perkara pokok atau berunsur sejarah. Yang lebih menonjol dan sesuai dibualkan dalam masa yang singkat itu ialah dari segi maklumat latar belakang aku; ketika sedang berkhidmat dengan kerajaan dan aktiviti rutin dalam alam persaraan. Dari perbualan, ternyata tuan rumah sebenarnya hampir sebayaku. Sedikit muda. Dia pun sering berulang-alik ke Kelantan. Tentulah ada saudara-maranya di situ.
Selepas menghabiskan minuman dan mencuba sepotong dua kek yang dihidangkan, didapati lazat dan unik, kami mohon izin beredar untuk melihat-lihat ‘Muzium’ Tuan Guru Haji Sulong yang terletak dalam tapak yang sama tetapi lebih berdekatan dengan jalan utama. Wanita berusia tadi ikut menyertai mengiringi kami naik ke ‘rumah’ itu. Dia sebenarnya isteri anak bongsu (iaitu menantu) Tuan Guru Haji Sulong. Kami melihat ekshibit tinggalan Tuan Guru Haji Sulong yang terpamer di dinding dan di meja. Bahan-bahan ini berupa gambar-gambar, serta jua dokumentasi. Kami juga masuk ke bilik tidur. Katil kayu yang pernah digunakannya masih baik. Kami bergambar sewajarnya – menandakan kehadiran di samping merakamkan beberapa maklumat yang berkaitan dengan tokoh itu. Sebenarnya tidaklah terlalu banyak maklumat yang ada. Namun, kalau setiap satu hendak diteliti masa yang lebih lama diperlukan.
Aku sendiri sudah banyak membaca tentang Tuan Guru Haji Sulong. Dalam bibliografi peribadi “Pattani” yang kuselenggarakan pemerian tentang beliau memang mencukupi untuk menilai ketokohan, peranan atau sumbangan beliau terhadap wilayah selatan Thailand. Lantaran itu, kehadiran aku lebih dianggap melihat atau mengalami sendiri sekitaran tempat beliau mendirikan pondok atau berkhidmat kepada masyarakat. Perkara-perkara lebih ditil memerlukan penelaahan buku-buku yang telah sedia ditulis oleh ahli-ahli sejarah atau pengkaji-pengkaji. Sebahagian buku-buku memang ada dalam koleksiku. Masa yang suntuk, di samping ketiadaan orang-orang berwibawa untuk membincangkan perjuangan Tuan Guru Haji Sulong menjadikan aku berpendapat pendedahan singkat secara langsung itu memadai. Dari segi lain, aku sendiri perlu bersedia dengan maklumat ‘terkini’ dan ‘soal selidik’ di tangan agar boleh berbicara secara ‘ahli’ dengan mana-mana individu yang bermaklumat tentang tokoh ini.
Hanya tidak dapat aku mengesan sejauh mana perjuangan Tuan Guru Haji Sulong itu ke atas generasi sekarang, iaitu selepas lebih 60 tahun beliau hilang tanpa kubur selepas ditangkap polis Thai. Yang boleh dijangka masalah selatan Thailand belum selesai kerana kita tahu Malaysia terlibat menjadi pihak perunding mendamaikan puak-puak yang bertelingkah dan kerajaan Thailand semenjak sedekad kebelakangan ini.
Kami turun dari rumah. Sedikit wang kertas Baht kumasukkan ke dalam tabung yang diletakkan berhampiran pintu depan. Berdekatan dengan ‘muzium’ itu masih ada surau yang dikatakan pernah digunakan oleh Tuan Guru Haji Sulong. Di belakang surau, dan bertentangan dengan muzium, ialah rumah salah seorang cucu-cucunya.
Selepas beberapa minit melepasi pukul 4 petang kami meninggalkan Muzium Tuan Guru Haji Sulong. Din memasuki semula lebuhraya menuju bandar Narathiwat.
No comments:
Post a Comment