Tuesday, 29 December 2020

 Kembara Thailand (5): Tut Tut, Teksi, Buku dan Makanan Halal

Dari tingkat 39, kondo kami menginap, separuh landskap Bangkok terpampang di mata. Kondo ini bercermin hampir sekeliling. Melalui cermin yang lebar terpasang pandangan keluar tidak terhadang. Dari ketinggian ini bangunan-bangunan tinggi yang lain, apatah lagi yang rendah-rendah boleh ditinjau dengan jelasnya. Di sinilah, Sathorn Gardens namanya, Ezri menyewa kondo. Di sebelahnya, seakan dalam satu kawasan terletak Kedutaan Besar Malaysia. Ezri bertugas di situ sudah masuk tahun ketiga. Dan selama itu, baharu kini kami, aku dan R terluang waktu untuk berkunjung.
Bangkok bukanlah terlalu asing bagi kami. Aku sendiri sudah empat kali datang di bandaraya ini. Tiga kali ketika sedang berkhidmat, kerana urusan rasmi dan terakhir, kali keempat, ketika sudah bersara daripada perkhidmatan awam, sekadar makan angin bersama-sama isteri. Kunjungan-kunjungan tersebut boleh dikira merata Bangkok sungguhpun tidaklah sangat komprehensif. Ia cukup untuk mengatakan kalaulah tidak berpeluang berkunjung lagi aku tidak kesal atau terkilan pun. Namun, aku tidak pernah berkunjung ke tempat-tempat bersejarah terutama di Ayutthaya. Selaku pelajar bidang sejarah, aku kira ada kewajaran untuk datang melawat ke tempat-tempat sebegitu untuk melengkapkan perspektif tentang negara yang dikunjungi.
Yang lebih sangat mengujakan sampai aku tiba-tiba memutuskan untuk datang ke Bangkok kali ini disebabkan laluannya bukan melalui kapal terbang. Sebaliknya, kami akan ‘mengembara’ melalui lebuhraya dari Kuala Lumpur sampai Bangkok. Seperti pernah ditulis di peringkat awal, Ezri, menantu kami pulang beraya Aidilfitri berkereta – dari Bangkok sampai ke Bandar Baru Bangi, rumahnya. Dia akan kembali ke Bangkok melalui jalan yang sama. Kejauhan jarak antara dua bandaraya, keterujaan merentasi kali pertama ‘wilayah selatan Siam’, yang sejarahnya dikaji, bahkan sampai sekarang, nyata mengghairahkan. Kereta Ezri, menyediakan ruang yang selesa untuk memenuhi ‘cita rasa’ku. Maka beradalah aku dan R di Bangkok sekarang ini.
Kedutaan Malaysia di Bangkok, telah pernah sekali kukunjungi, iaitu pada tahun 198… Ketika itu, dalam rangka tugas-tugas rasmi di Asian Institute of Technology (AIT) dan kerajaan Thailand, aku dan rakan sejawat Megat Mohyidin, mewakili BLKK, JPA telah mengambil peluang melakukan lawatan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Thailand masa itu, Dato' …. Kebetulan juga, seorang kawan yang menyewa serumah denganku ketika menuntut di Universiti Malaya tahun-tahun awal 1970-an (Ali bin Abdullah) bertugas di situ sebagai salah seorang Penolong Setiausahanya.
Hari pertama kami di Bangkok ialah Isnin. Ezri sudah bekerja semula. Daripada jadual kerja yang dibayangkan ternyata dia sibuk dan kurang masa terluang, dalam minggu itu. Begitu pun, dia memberi penjelasan tentang kawasan-kawasan yang boleh dikunjungi, laluan ke stesen-stesen LRT/MRT untuk ke sana-sini. Sistemnya sama seperti di Kuala Lumpur. Ezri bahkan memberikan keretanya untuk kami gunakan. Aku tidak yakin memandu dalam kesesakan tempat yang asing, walaupun dibantu GPS. Lebih baik aku menggunakan kenderaan awam. Aku tidak bimbang langsung mengambil alternatif ini. Pengalaman mengembara mencukupi di dada. Kami tidaklah ‘patah kaki’ tanpa beliau mengiringi.
Di dapur masih ada bahan-bahan makanan mentah tersimpan segar. Ia boleh diproses untuk sarapan. R memang cekap dalam aspek ini. Aku tahu sangat. Dengan kemudahan dan perkakas yang lengkap R berprestasi seperti berada di rumah sendiri. Kami bersarapan dengan selesa. Ezri sendiri sama-sama menyertai.
Kembara peribadi kami di Bangkok boleh diatur secara spontan. Kami tiada niat khusus untuk dicapai di sini. Tidak ada tekanan sampai perlu bergesa-gesa. Masa pun memihaki kami. Kunci dan kad kuasa kondo diberikan Ezri untuk kami berada di situ seakan rumah sendiri. Maka tiadalah kami teragak-agak untuk menjadualkan program pelancongan kami. Boleh kami keluar pagi sampai jauh malam. Atau, balik tengah hari ke kondo, dan berihat-rihat tak keluar lagi. Pendek kata terpulang kepada kami.
Hakikatnya, pada lebih kurang 9. 30 pagi kami turun untuk ke stesen LRT, di Bangkok disebut BTS. Ezri memberitahu berjalan kaki tidaklah jauh. Dengan melintas jalan besar, Jalan South Sathorn, pada tempat melintas berlampu isyarat, dan berjalan sepanjang Jalan Sala Daeng, kami sampai di Stesen MRT Silom. Aku tidak anggap jaraknya mencabar, tetapi R yang sedikit terganggu kecergasan fizikalnya semenjak sebulan dua ini, mungkin tercabar.
Ketika mahu turun ke aras bawah tanah Stesen MRT, seorang lelaki Thai menegur. Kami santai berbual-bual. Dia memberitahu bekerja sebagai tukang masak. Mengetahui kami dari Malaysia, beliau mencadangkan kami melawat destinasi pelancongan lazim para pelancung, seperti menaiki bot di Sungai Chao Phraya, melawat kuil-kuil terkenal seperti Emerald Buddha/Grand Palace dan juga tempat-tempat lain di seberang sungai besar berkenaan. Buku catatanku diberikan kepadanya. Beliau menulis cadangan program itu. Atas syor beliau, kami tidak menaiki MRT. Tanpa diminta beliau menghantar kami ke sebuah Tut Tut yang sedang menunggu-nunggu penumpang di seberang jalan, Jalan Rama VI. Dengan inisiatif beliau kami menaiki Tut Tut itu. Harga ditetapkan awal-awal lagi, sebanyak 50 baht.
Kami berdua dibawa ke pangkalan bot. Apabila tiba di situ aku turun ke tempat membeli tiket, kemudian meninjau sungai dan bot-bot yang sedang bersimpang siuran. R tidak berminat dan kami beredar. Tuttut tadi masih tidak beredar jauh. Kami memberitahu pemandunya supaya membawa kami ke tempat “shopping”. Dengan nilai sewa 50 Baht, beliau membawa kami ke gedung sutera Thai yang besar. Aku teringat semasa kedatangan terakhir di Bangkok dahulu dengan teksi pun, drebarnya membawa kami ke kedai-kedai atau gedung-gedung pelancongan yang eksklusif. Strategi begini kami faham dan tidak lagi mahu terpengaruh dengannya.
Kami memasuki gedung itu dan meninjau-ninjau pantas. Terpandang juga gantungan baju siap sutera Thai seperti yang baru dihadiahi Era, isteri Ezri, kepadaku beberapa bulan lepas, sebagai ole-ole beliau kembali dari berkunjung di Bangkok. Baju itu kini ditawarkan dengan potongan 50%. Aku mengekang nafsu daripada membelinya memikirkan sudah terlampau banyak pakaian sedia ada. Kusedari sebagai pesara peluang untuk memperaga pakaian sudah pun berlalu atau ‘tertutup’. Lalu aku mengisyaratkan R segera beredar.
Tut Tut tadi masih ada di depan gedung. Memang dia telah berpengalaman. Tidak cepat berlalu. Dia tahu perkhidmatannya diperlukan segera. Dia tahu rezekinya lambat laun bergolek datang lagi. Tidak mahu terus terperangkap, dibawa ke tempat-tempat eksklusif, aku minta dibawa ke MBK Center, buntu menyebut tempat-tempat lain. Kami dicaj 200 Baht. Katanya jauh! Tanpa banyak soal, kami menaiki tuttut itu dan dia bergerak patuh. Pada tempat-tempat laluan bersesakan dia mengambil jalan alternatif, jalan belakang yang sempit berbelit-belit. Kami tidak hairan kerana pernah menaiki tuttut dalam kunjungan-kunjungan lebih awal.
MBK Center juga pernah dikunjungi dahulu. Tanpa khusus mencari sesuatu kami berjalan santai, melihat-lihat ruangan niaga dan dagangan yang terpamer. Akhirnya R masuk ke Kedai Beg. Pernah aku membeli beg-beg dan tali pinggang kulit pari di sini dahulu. Produk-produk itu masih utuh dan dipakai sehingga kini. Benar-benar ‘menang membeli menang memakai’. R membeli dua beg yang sedang ditawarkan harga istimewa. Ia kukira sesuai untuk ‘basahan’ dalam upacara tertentu terutama di majlis-majlis perkahwinan. Kami juga meninjau kawasan jualan barangan etnik di situ. Kemudian, R mahu meninjau kedai buku yang satu-satunya ada di situ, Naiin Book, di Tingkat 5. Fokus beliau ialah buku masakan Thai yang ditulis oleh orang Thai dalam bahasa Inggeris. Tiada ditemui sehajat hatinya. Aku mengintai-ngintai buku-buku sejarah Thailand. Tiada yang mengujaku. Selepas 30 minit meninjau, kami beredar.
Waktu baru masuk 1 tengah hari. Untuk makan tengah hari sesuai benar. Pada Tingkat 5 itu, sebaik keluar daripada Naiin Book, ternampak tunjuk arah makanan halal. Kami mengikut haluan sampai tiba di Restoran Yana dan masuk menduduki di meja sedikit ke dalam. Ruangan dan susunan meja restoran ini kelihatan teratur, kemas dan bersih. Hiasan dindingnya pun dilakukan secara profesional/kreatif. Pekerja-pekerja wanitanya bertudung. Mereka boleh berbahasa Melayu, pelat Thai. Kami memesan Nasi Goreng dan minuman Mirinda Oren untuk R dan ‘Chestnut in Coconut Milk’ untukku. Tiadalah istimewa mana nasi goreng itu tetapi minuman yang aku pesan itu boleh dipuji rasanya. Selesai makan, aku membayar harga keseluruhannya, 353 Baht (termasuk VAT 7% sebanyak 23.09 Baht), lantas beredar.
R mahu ke Tops Market terletak di tingkat bawah. Dia mahu membeli barang-barang mentah untuk dimasak sendiri di kondo. Bukan mudah mencari bahan-bahan makanan yang halal. Kami hanya membeli roti, ayam, sardin, dan sayur sekadarnya. Memasak sendiri tentulah sangat menjimatkan. Sukatan ambilan optimum, selera puas, dan lebih berfokus kesihatan. Begitulah biasanya selama ini ketika makan di rumah.
Kami kemudian menuju ke hentian teksi. Pusat operasinya terletak di salah satu pintu masuk-keluar MBK Center. Dengan mengambil nombor giliran dan beratur seketika, kami menaiki teksi. Aku memberitahu drebarnya, “Sathorn Gardens, Malaysian Embassy”. Perjalanan lancar. Dalam sepuluh-belasan minit, kami tiba di destinasi. Meter teksi menunjukkan 56 Baht. Aku memberi 60 Baht kepada pemandu sambil mengisyaratkan disimpan bakinya. Dalam hati, terumus; baiklah berteksi daripada bertut Tut.
Kami tiba di kondo Sathorn Gardens hampir pukul 3 petang.
Rismayanti Idris, Ahmad David Kholilurrahman and 21 others
3 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Mat u maksud Ali Abdullah tu Cgu Ali Machang yg kahwin dengan Nik Maimunah UM kita dulu kah?
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment