Gulai Rebah Bangun
Urusan utama di Kuala Terengganu selesai sekitar jam 1 tengah hari termasuk makan. Kini kami bebas mengatur urusan sendiri. Program asal terbayang di minda selepas itu ialah singgah di Pasar Payang. R boleh meninjau keperluan dapur dan aku menyelongkar buat ke sekian kalinya kedai buku di blok bangunan tempat letak kereta berhampiran. Kedua-duanya tidak menjadi.
Kesesakan kawasan itu dan cabaran berjalan kaki dari tempat meletak kereta ke Pasar Payang ‘baru’ menjadi pematah semangat yang ampuh. Maka terlepaslah hajat membawa balik ‘menisan kerek’. Sekali gus juga terlepas membeli kuih denderam. Titbit ini seakan bahan wajib sambil memandu dalam perjalanan jarak jauh. Kami lupakan juga membeli yang lain-lainnya.
Tetapi, Kampung Losong tidak jauh dari situ. Ia pun destinasi biasa singgahan kami. Aku menukar hala lalu menuju ke situ. Terasa rugi pulang tanpa ole-ole dari Terengganu. Gerai yang biasa ramai pelanggan. Kami membeli sekadarnya keropok lekor dan keropok kering di gerai yang tidak ada pelanggan mengerumuni.
Aku sangat alergik menunggu apalagi apabila boleh dielakkan. Apalah sangat bezanya, rasa keropok lekor di gerai A berbanding dengan yang di gerai B, dua tiga langkah di sebelah? Dengan logik itulah kami membuat keputusan. Penjual lain pun ada rezeki masing-masing.
Segera kami beredar. Kami melalui Cabang Tiga. Bangunan pasar yang sering kami kunjungi ketika tinggal di KT 20 tahun dahulu sudah hilang. Di tapaknya berdiri bangunan komersial yang lebih moden. Nostalgiaku terpilu.
Kami mengambil jalan utama menuju Kuala Berang. Ketika sampai ekzit pertama ke LPT aku tidak mengambil belokan ke situ tetapi meneruskan luncuran kereta ke depan. Di ekzit kedua ke LPT pun, di Wakaf Tapai, aku tetap membiarkannya terlepas. Ketika itu sudahpun nekat di hati, disokongi R, untuk mengambil laluan Tasik Kenyir ke Gua Musang. Laluan ini bukanlah asing bagi kami. Sekurang-kurangnya sudah empat kali kami menggunakan jalan lengang ini untuk balik ke Petaling Jaya.
Aku tidak bimbang Peugeotku melaluinya dengan selesa. Jalan itu, belahan Terengganunya dikira ‘baik’ sedangkan belahan Kelantan dianggap ‘okey’. Cuaca pun tidaklah mengancam pemanduan. Ada empat jam lagi sebelum cerah bertukar gelap.
Kami singgah di Masjid Kampung Matang untuk bersolat jamak. Masjid ini seakan pilihan utama. Seperti biasa dilakukan pada perjalanan yang yang lepas. Di sini ada kemudahan untuk meletak kereta yang selesa. Kalau membawa bekal tidak bermasalah membuka bungkus makanan, atau makan apa-apa bekalan yang dibawa. Simpang ke Gua Musang tidak pula terlalu jauh di depan.
Aku segera bersolat dan keluar daripada masjid sebaik selesai. Sementara R, menyelesaikan solatnya aku mengambil sedikit dokong, tapai dan air minuman dari kereta. Kubawakan ke satu meja berbumbung yang tersedia di tepi pagar masjid. Di situ aku duduk-duduk menikmatinya. Menoleh ke kanan, di kejauhan nampak ramai orang bergiat di Sekolah Kebangsaan Matang.
Tapai beras berbungkus daun getah yang dibeli di Kuala Kerai kelmarin terlupa dimakan. Ia sudah berair lejuh. Namun rasanya masih tidak cacat. Dua tangkai mengandungi enam bungkus kuhabiskan pantas. Satu diikuti satu yang lain. Setangkai lagi kutinggalkan. Mahu kutanyakan R nanti. Kalau dia tidak berminat, segera akan kuhabiskan.
Kemudian, buah-buah dokong pula kukupas. Satu-satu ia masuk ke mulutku lalu hilang. Sekotak besar dokong ada di dalam kereta. Kami ‘menuainya’ di dusun R di Pangkalan Penambang kelmarin. Barangkali ada selori lagi dokong itu bergayutan di atas pokok. Dokong itu akan gugur satu-satu, membusuk di tanah. Sia-sia. Tanpa kami di situ barangkali tupai-tupailah penerima faedahnya.
Tiba-tiba kunampak seorang wanita memasuki pekarangan masjid bermotosikal. Dia meletakkan motosikal di tepi sebuah wakaf lain di tepi pagar masjid di jajaran lain. Wanita bertudung hitam, berseluar hitam, berbaju longgar lengan panjang hitam, berjeket kain lembek gelap itu kelihatan masih muda. Dia kemudian melangkah tetap menuju ke deretan meja-meja yang sejajar dengan meja yang sedang kududuki. Hairannya dia tidak mengambil meja lain yang ada. Dia malah datang ke arah mejaku sambil melemparkan senyuman kepadaku lalu bertenggek di salah sebuah kerusi batu yang terletak di mejaku itu.
“Apa yang dibuat mereka di sekolah tu?”, aku bertanya apabila kulihat dia memandang ke arah itu.
“Sukaneka. Hampir dua jam belum lagi selesai acara menyampaikan hadiah. Saya pun dari sana tadi”, kata wanita yang masih menarik wajahnya itu.
“Saya menunggu isteri. Belum selesai solat,” kataku memberitahu tanpa ditanya. Kuhulurkan setangkai dokong sambil menjemput merasainya. Dia sedikit keberatan tetapi tidak beriapun menyanggahnya. Diambil dan dikopek lalu dimasukkan ke mulut.
“Tinggal di kampung ni ke?” aku meneroka.
“Ya, tidak jauh dari sini”.
Aku memberitahunya kami biasa singgah di masjid itu bersolat dan makan bekal makanan yang dibawa dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Kuberitahu juga, kawasan itu tidaklah asing bagiku kerana pernah melawatnya ketika bertugas rasmi di Terengganu suatu ketika dahulu.
Teruja pula melanjutkan perbualan. Nampaknya dia tidak keberatan.
“Puan tahu ‘gulai rebah bangun’?” Teringat satu peristiwa melibatkanku belasan tahun dahulu. Aku berpeluang menikmati jamuan yang dikendalikan oleh penduduk Kampung Teris yang tidak jauh dari masjid itu. Orang-orang kampung menyembelih seekor lembu sempena majlis penghakiman pertandingan keindahan kampung yang disertai kampung itu. Aku hadir sebagai salah seorang panel hakim pertandingan. Potongan buku-buku daging hampir sebesar ¾ inci atau seinci persegi itu adalah salah satu lauk istimewa tradisional kampung itu. Ia versi gulai kawah unik mukim itu!
“Tahu” balas wanita tadi yakin, bersahaja dan segera.
“Saya pernah dijamu gulai itu ketika hadir melawat Kampung Teris. Lama dulu,” kataku.
“Kampung yang Pak sebut itu, di depan sana,” sambil dia menunjukkan arahnya dengan jarinya. Tentulah dia sudah pula mengagak usiaku.
Lalu wanita itu menerangkan bagaimana gulai rebah bangun itu disediakan. Aku tidaklah sangat mencuba mengingatkan. Tetapi ada kelainan cara memasaknya. Tentu itulah sebabnya gulai itu berasa istimewa apabila dinikmati ketika makan tengah hari dahulu itu.
Aku masih menunggu R datang ke kereta. Barangkali dia lambat kerana sukar bergerak. Kebelakangan ini R mengalami sakit urat di sebahagian anggota badannya. Ia bergerak dengan amat susah payah.
Lalu kami terus berbual. Aku dan wanita itu.
“Pak, boleh saya tanya satu perkara? Sahaja hendak dengar pandangan Pak.” Wanita itu memandangku. Dia kelihatan serius.
No comments:
Post a Comment