Utusan Melayu: Kunjung Penamat (13) – Mastika pun berderai.
Mastika saiz besar berakhir pada Disember 1971. Pengarangnya ketika itu ialah Subky Latif. Pada Januari 1972, Mastika muncul dengan wajah lain. Bersaiz kecil.
Dalam perutusan awal tentang Mastika ini, beberapa tahun lalu, saya pernah tuliskan, “Majalah “MASTIKA” bersaiz kecil yang terawal kumiliki ialah keluaran Januari 1972, tahun ke-32. Majalah ini setebal 128 halaman. Ia dicetak oleh Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. Gambar hiasan muka depan itu ialah Jose Rizal (lukisan). Harga majalah ini ialah 60 sen.” Subky Latif tetap menjadi pengarangnya.
(Saiz kecil ini, bagaimanapun, kembali besar kemudiannya. Aku menyimpan naskhah-naskhahnya bagi tahun-tahun 1980an-1990an).
Naskhah terakhir, dalam koleksiku, Mastika, Bil. 929, Tahun ke-77, November 2018, 114 halaman. Saiznya kekal kecil (walaupun sedikit besar berbanding Mastika keluaran tahun ke-32 itu). Perbezaan yang jelas, selain daripada mutu cetakannya yang lebih baik, tentulah kerana perubahan teknologi, ialah kandungan iklan. Mastika yang lebih awal tiada mempamerkan iklan sedangkan yang terakhir itu berisi iklan sembilan muka, lagi pula berwarna-warni.
Majalah ini sengaja kubeli ketika dilelong 50 sen senaskah, lantaran penutupan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Ia semata-mata dikutip sebagai melengkapkan riwayat usianya.
Mastika, mengikut Zainuddin Maidin, telah tidak bermaya dari segi kelangsungannya. Apabila Johan Jaaffar (1992-1998) menjawat Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, dirobahnya menjadi majalah hantu, lalu mendadaklah jualan naskhahnya berlipat kali ganda.
Dari perspektif peminat sastera, unsur sastera dalam naskhah awal itu sangat merangsangkan. Ia mengandungi sajak (5 sajak, 5 halaman), cerpen pilihan (8 halaman termasuk ilustrasi), dan cerpen terjemahan (5 halaman, berilustrasi). Ada lagi rencana berkaitan kesusasteraan (6 halaman tentang Pramoedya Ananta Toer; 6+4 halaman ulasan terhadap Interlok dan Sandera; 6 halaman cerita rakyat; 12 halaman ulasan sajak/personaliti penyair).
Dalam Mastika mutakhir, aku dapati tulisan yang amat ringkas (bukan resensi) memperkenalkan novel-novel pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2+2 halaman iaitu rencana dan ilustrasi). Itu sahaja kalau hendak dikaitkan dengan sastera konvensional.
Maka ternyata, persamaan majalah itu hanya dari segi nama dan saiz. Orang atau penggemar sastera sebayaku tidak mendapat faedah daripada Mastika berkonsep baru itu. Minda tidak dapat mencerna. Barangkali dari segi kewangan dan survival perubahan itu lebih realistik. Tetapi adakah menepati?
Pun, sekarang Mastika berisi lama mahupun baru sudah tiada lagi di pasaran. Khalayak pembaca dan penulis telah kehilangan sesuatu. Tidak kira disukai atau tidak.
No comments:
Post a Comment