Tuesday, 29 December 2020

 Berjalan kaki di Kota Bharu (2): Melembang buku

Pukul 9.30 atau 10 pagi boleh dikira awal untuk menjajap Kota Bharu. Ketika tiba, stesen bas belum lagi sibuk dengan para penumpang. Bas-bas dan kenderaan lain pun belum lagi menyesakkan stesen. Aku sebenarnya mempunyai masa yang lewah. Tidak perlu tergesa-gesa kerana tiada tujuan definitif yang harus dilakukan.
Masa elok dimanfaatkan. Lalu kubelikan akhbar The Star di gerai berhampiran sebuah kedai kopi lama berhampiran tapak pasar lama yang kini terbina apartmen menggantikannya. Akhbar ini perlu dibeli segera. Seakan naskhah ini yang satu-satunya, kerana setelah diambil tiada lagi naskhah lain. Pengalaman yang lalu membuktikan kelewatan mencari atau mendapatkannya akan bermakna kehilangan peluang memiliki atau membacanya. Yang dapat kurumuskan ialah naskhah-naskhah akhbar berbahasa Inggeris tersangat sedikit diedarkan dan tidak pula semua pegerai akhbar menawarkannya. Hanya satu dua sahaja. Untuk membaca akhbar berbahasa Melayu tiada menghadapi masalah demikian. Malah di kedai runcit berdekatan rumah menginap pun akhbar-akhbar itu boleh didapati.
Aku menelusuri jalan yang meliliti apartmen itu dan kemudian mengambil sebuah bangku kayu yang tersedia untuk orang awam duduk-duduk. Di situ aku dapat membaca dengan selesa kerana mentari belum lagi cukup tinggi. Pancarannya tidak sampai terus ke bangku itu. Di depanku hanya beberapa buah kereta terparkir. Di seberang jalan sebuah kedai Cina telah di buka. Lagu-lagu bertemakan hari raya berkumandang. Kedai-kedai lain di sekeliling belum banyak dibuka.
Aku membaca The Star, memulakan dengan berita sukan di muka surat belakang – tentang kebimbangan harapan badmiton negara Goh Jin Wei tidak melepasi kelayakan untuk menyertai Olimpik di Tokyo. Mendahului liputan sukan ketika membaca akhbar adalah kebiasaanku. Kemudian baharulah memberi perhatian kepada berita-berita lain, bermula pada muka pertama sampai selesai. Hari itu muka satu The Star memaparkan, “Following the money trail” berhias gambar besar Latheefa Koya dan pegawai-pegawai kanan SPRM dalam satu persidangan akhbar. RM270 juta mahu dikutip semula daripada pihak-pihak tertentu yang didakwa menerima sumbangan tidak sah 1MDB. Berita utama lain ialah persengketaan yang semakin sengit di antara Amerika Syarikat dengan Iran, sehingga laluan udara bagi penerbangan komersial di Teluk Parsi berubah. Dengan menekuni akhbar itu tiadalah aku terlepas pandang peristiwa-peristiwa semasa yang sedang menjadi tumpuan tempatan atau global.
Aku mulai bangkit, beralih ke tempat lain. Barangkali salah satu tempat paling kukunjungi setiap kali berada di Kota Bharu ialah kedai buku Jaffar Rawas di Jalan Dato Pati. Aku akan sentiasa menyelongkar buku-buku yang dilonggokkan dalam rak-rak yang diletakkan di kaki lima kedai itu. Tiada sangat kuhirau orang-orang yang lalu-lalang di kaki lima itu. Hampir 90% buku-buku adalah bertemakan keagamaan Islam. Buku-buku di sini diberikan diskaun antara 30% dan 50%. Ia sedikit ‘cacat’ oleh air atau api atau oleh selenggaraan yang kurang cermat. Aku tidak sangat mengutamakan kesempurnaan fizikalnya. Yang lebih penting ialah kandungan buku-buku tersebut.
Di sinilah juga tempat aku mendapatkan bekalan majalah Pengasuh yang terbaharu. Dahulu majalah Pengasuh kulanggani terus daripada MAIK, tetapi selepas tempoh langganan tamat, tidak kuperbaharui. Sungguhpun majalah Pengasuh tahun-tahun kebelakangan hampir-hampir sepenuhnya dalam koleksiku, pembeliannya tidaklah secara bulanan. Yang lazim berlaku beberapa siri majalah itu dibeli sekali gus. Semua keluaran yang terbaharu kuperolehi dari kedai ini atau dengan pergi membelinya di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Lundang, apabila berkesempatan berada di sini.
Agak lama juga aku menyelongkar loggokan buku di kaki lima itu dan akhirnya membeli dua buah buku yang bertanda diskaun 50% iaitu “Abu Bakar As-Siddiq” karya Muhammad Husain Haekal terjemahan Ali Audah, (Edisi Malaysia) terbitan Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1996 berharga RM12, dan buku “Kitab al Tasrif 1-3” (Jawi) oleh Hassan bin Ahmad terbitan Rubhan Baghil, tanpa tarikh, berharga RM7.25.
Di dalam kedai aku mengutip majalah-majalah Pengasuh bilangan 661 (November-Disember 2018), bilangan 662 (Januari-Februari 2019) dan yang terkini bilangan 663 (Mac -April 2019). Setiap naskhah berharga RM3. Sedikit kesal aku tidak membawa bersama buku catatan kecil yang mencatatkan buku-buku atau majalah-majalah yang “sedia ada” dan “belum ada”. Catatan ini adalah pembimbingku ketika membeli – agar terelak pembelian berulang! Buku catatan itu ada dalam beg sandang di rumah. Itulah sebabnya terbeli sekali lagi Pengasuh bilangan 661, yang sebenarnya sudah kubelikan ketika pulang ke Kota Bharu pada Mac lalu.
No photo description available.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 24 others
6 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment