Kembara Thailand (10): Buku, blaus dan mangga pulut
Hari ketiga di Bangkok. Kami belum putuskan program khusus untuk dilakukan. R melayari Youtube mencari kedai-kedai buku yang mungkin sesuai dikunjungi. Dia tidak puas hati kerana Naiin Book di MBK Center, yang telah kami singgah tidak menghasilkan penemuan buku-buku masakan Thai yang dicari-cari. Akhirnya R mengenal pasti sebuah kedai buku di Central Embassy, Jalan Phloenchit. Lalu ke kedai buku itulah jadi program kami.
Pada 9.30 pagi, kami berjalan kaki untuk menaiki LRT di Stesen Sala Daeng. Tambang untuk dua orang seingatanku sekitar 60 Baht. Memang penduduk Bangkok menggunakan sistem ini. Gerabak-gerabaknya padat. Tidak mudah mendapat tempat duduk. [Sedangkan kami adalah warga emas]. Kami turun di Stesen Phloenchit. Dari situ kami berjalan melalui walkway (laluan pejalan kaki). Tidak sampai 15 minit kami memasuki Kompleks Central Embassy. Bangunan ini satu kompleks besar lagi mewah. Tidak pun ramai kelihatan orang di dalamnya. Barangkali mereka berada di pejabat masing-masing bekerja.
Selepas membaca direktori berdekatan pintu masuk, kami menaiki lif dan tiba di kedai buku Open House, Tingkat 6 (?). Ruangan pamerannya adalah luas. buku-buku disusun dengan kemas. Ada pula beberapa kafe di dalam premis ini. Ketika kami tiba para pekerja sedang mengemas kafe-kafe tersebut. Hanya seorang dua pelanggan lain sedang berada di kedai buku itu.
R terus menuju ke seksyen buku masakan. Aku secara pantas bergerak dari rak ke rak lain meninjau-ninjau buku-buku yang terpamer, meliputi pelbagai bidang. Tiada pun aku berhajat untuk berlamaan di situ. Dan aku juga pasti R serupa juga. Pameran buku yang begitu tersusun, kemas, lagi bergaya moden pada premis di kompleks mewah dan canggih itu tidak membangkitkan semangatku menggali khazanahnya. Buku-buku bukan barangan yang murah. Apalagi kalau tiada langsung diskaun ditawarkan. Apabila R tidak menjumpai buku-buku yang dicarinya, kami mulai beredar.
Sementelahan telah berada di kompleks itu kami meninjau pantas lot-lot niaganya. Semua menjual barangan mewah ‘branded’ antarabangsa. Sebenarnya tiadalah bezanya pun dengan di bandaraya-bandaraya besar yang lain ataupun di ruang-ruang niaga di lapangan-lapangan terbang. Melihat harga-harga yang tergantung pada barangan-barangan berkenaan nyatalah tempat ini bukan untuk kami. Hakikatnya, pada waktu sekitar 11.30 pagi, tidak mudah pula melihat kelibat pengunjung-pengunjung. Suasana lengang menyelubungi hampir keseluruhan ruangan niaga. Mungkin masih awal. Terlintas di minda, bagaimanakah pengusaha-pengusaha boleh bertahan terus berniaga kalau tiada pelanggan memasuki premis? Bolehkah gaji para pekerja dibayar?
Kami keluar daripada Central Embassy dan berjalan kaki menuju Stesen BTS Chitlom. Kini tidak lagi terfikir untuk bergerak di Bangkok dengan tuttut. Ia memang lebih mahal berbanding LRT. Aku pun sudah mulai selesa menggunakan LRT setelah ‘membiasakan’ dengannya ketika datang tadi. Aku memberitahu R untuk ke Victory Monument. Ada tiga stesen lain ditempuhi sebelum tiba di situ.
Namun, seharusnya fakta tentang LRT/MRT ini dinyatakan juga. Dalam akhbar Bangkok Post, June 20, 2019 ada berita bahawa Jabatan Pengangkutan Rel sedang mempertimbangkan kaedah untuk menurunkan tambangnya. Ketika ini kadar tambang dikritik hebat kerana dikatakan lebih tinggi berbanding negara-negara maju. Penumpang di Bangkok perlu membayar purata 67.4 baht setrip sedangkan di Singapura 25.7 baht dan di Hong Kong 46.5 baht. Tiada cadangan kongkrit dikenal pasti setakat ini. Bagaimanapun kerajaan Thailand yang baru dibentuk perlu berunding dengan operator-operator swasta yang mengendalikan sistem LRT/MRT itu.
Dari stesen LRT yang disinggahi, kami melalui walkway dan turun di tangga menuju gerai-gerai yang berniaga di pinggir bulatan besar di situ. Struktur Victory Monument mengisi sebahagian besar tapak di dalam bulatan berkenaan. Bas-bas dan kenderaan lain berderetan memberi perkhidmatannya.
Ramai juga orang melihat-lihat dagangan yang diniagakan di gerai-gerai. Mereka kelihatannya orang tempatan. Aku ternampak orang-orang mengerumuni satu gerai yang menawarkan harga runtuh beg-beg kulit tiruan. R singgah di gerai fesyen wanita. Di sini dia berkenan dengan beberapa helai blaus – kerana wajar harganya lagi berpadanan dengan materialnya. Aku membayar untuk tiga helai blaus yang telah dipilihnya.
Kami menaiki semula tangga tadi dan melalui walkway berjalan menuju ke sebelah lain bulatan besar itu. Pada tangga di situ kami turun. Gerai-gerai di sini lebih banyak berbanding yang tadi. Kebanyakan menjual pakaian. Pilihan pun lebih berbagaian. R menjumpai beberapa helai lagi blaus yang disukai. Akulah juga yang membayar akhirnya!.
Di ruang legar di tengah-tengah gerai-gerai ada juga disediakan bangku untuk duduk-duduk berihat melepaskan lenguh atau sambil minum atau makan. Memang pun ada juga gerai makanan memberi perkhidmatan kepada para pelawatnya. Serangkai gadis bertudung, boleh jadi asal Malaysia, sedang berwelfi. Kami tidaklah mengambil inisiatif untuk merapati.
Semua hajat telah tertunai – Victory Monument terpampang di mata dan pembelian telah dilakukan. Waktu makan tengah hari sudah tiba. Kami tidak berhajat makan di luar. Lalu kami berjalan semula ke Stesen Victory Monument. Dari situ kami menaiki LRT dan turun di Stesen Sala Daeng. Stesen ini sebenarnya sangat hampr malah dihubungkan dengan Silom Complex. Tanpa pun turun ke aras jalanraya kami memasuki kompleks itu pada Aras 1. Terfikir elok juga ditinjau sekejap apa yang ada di dalamnya.
Pada direktori berhampiran eskalator kami mendapati di Tingkat 3 (?) ada kedai buku Asia Books. R masih ingin pergi meninjau. Aku pun tidak keberatan. R tetap kecewa. Buku-buku masakan Thai oleh orang tempatan dalam bahasa Inggeris tiada, atau tidak memenuhi kriteria-kriteria yang ditentukannya. Aku pula hampir terbeli dua buku berbahasa Inggeris, satu tentang Tentera Terracotta dan satu lagi mengenai Lee Kuan Yew, tetapi tidak menjadi oleh teragak-agak kerana ‘tidak mengenai Thailand’ lagi pula harganya tidak meruntuh.
Kami meninggalkan Silom Complex dan menelusuri Jalan Sala Daeng. Ada peniaga jalanan di kiri kanannya. Makanan yang dijaja, sebahagian boleh dimakan tetapi banyaknya terlarang. Pun, memperhatikannya tetap memberi pengetahuan berguna. Pada satu Pusat Makan bertaraf ‘marhaen’ kami singgah. Ramai orang sedang makan tengah hari di sini. Termasuk orang-orang yang bukan marhaen – kemas dalam pakaian kerja, bertai. Kami membeli sepasang nenas ‘dimaniskan’ yang diisikan dalam plastik (30 baht satu), sepasang mangga pulut (60 Baht satu), dan sebungkus pulut bersama kelapa parut (40 Baht). Teringin kami mencuba rasanya!
Dari Pusat Makan itu kami berjalan kaki ke kondo. Lebih kurang 10-15 minit tibalah kami di Sathorn Gardens. Aku masih gagah berbanding R. Waktu sudahpun melewati 2.30 petang.
No comments:
Post a Comment