Prestasi 2019: Hal ehwal suka hantaran
Pada 1 Januari 2019, aku menilai penglibatanku dalam pekarangan fb sepanjang tahun 2018. Batas tumpuan hanyalah terhadap pantulanku mengkhususi puisi-puisi teman-teman fb yang kulintasi ketika membelek majalah-majalah sastera dalam koleksi peribadi dalam tahun berkenaan. Hantaran-hantaran lain, nonsajak, diketepikan sedangkan dari segi masa penglibatan tidak kalah banyaknya.
Namun, pada tahun 2019, penglibatan terhadap puisi jauh berkurangan. Merudum. Bukan kerana minat kian menurun tetapi oleh kerana kegiatan belekan bahan-bahan sumber tidak banyak melibatkan majalah-majalah sastera berbanding dengan bahan-bahan dalam bidang-bidang yang lain.
Pun begitu, aktiviti menulis berterusan. Hanya, sentuhan lebih kepada bidang-bidang yang lain itu. Maka, banyaklah penulisanku dari sehari ke sehari membabitkan bidang-bidang bukan sastera. Secara umum, aku lincah menulis tentang pengalaman pengerjaan umrah (34 siri), perjalanan/kembara (27 siri), Rapuh (16 siri), perbukuan (17 Utusan Melayu+ beberapa siri yang lain), dan secara kurang beria, bidang-bidang picisan – seperti pemaparan gambar-gambar mengenai lumrah kehidupan peribadi yang remeh-temeh; sekadar meuaruarkan aku ada, dan masih perlu diketahui ‘keadaannya.’
Secara umum ‘friends’ aku tidak ramai. Hampir seribu. Seramai hampir 150 memohon untuk menjadi ‘friends’ dan sedang aku selidiki kesesuaian mereka. Mereka yang terpilih atau dipilih seharusnya sekali gus memanfaati pula – dari segi menambah pengetahuan, menjana idea, meluangkan alternatif-alternatif, berwatak, dan membina.
Fb adalah laman yang sangat-sangat aku tumpukan. Sebab utamanya kerana ia menjadi wahana curahan atau reaksiku ke atas belekan bahan-bahan koleksi peribadi harian. Bahan-bahan itu, selepas tujuh lapan tahun dibelek-belek, masih tetap belum berdegis, terutama buku-buku, yang meliputi pelbagai bidang – sains sosial. Semoga aku mampu meneruskan, insya-Allah.
Beberapa tahun mengharungi fb dengan menghantar renungan dan hasil penemuan secara santai ke atas aktiviti belekan harian koleksi, ternyata berjaya membangun kelompok ‘friends’ kelas A. Mereka sebenarnya hanya segelintir. Kira-kira 10-20 orang. Jadi mereka inilah, satu peratus yang bertahun-tahun kekal mereaksi mesra, santai dan kadang-kadang, mengilhamkan ke atas hantaran-hantaran harian atau berkalaku. Selama ini.
Sedang pemohonan untuk menjadi ‘friend’ bertambah. Kebanyakan mereka kuselidiki agar menepati prinsip-prinsip ‘memanfaati’ dinyatakan di atas.
Dalam tahun 2019, reaksi “like” terhadap hantaranku yang paling jempolan berjumlah 97 – terhadap satu gambarku bersama isteri ketika mengerjakan ibadat umrah bulan April 2019. Hantaran ini tiada mengandungi tulisan panjang. Boleh dikatakan sekadar paparan gambar.
“Like” kedua tertinggi berjumlah 87 ke atas gambar berjudul “Cucu terawal hadir” sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Hantaran itu hanyalah muncul bersandarkan tajuk itu sahaja. Tiada pemerian lain. Tiada perlu pembacaan untuk mencetuskan tekanan “like”.
“Like” ketiga tertinggi berjumlah 72 terhadap hantaran berjudul “Utusan Melayu: Kunjung Penamat/penghujung” – Siri 1. Di luar kelaziman, hantaran ini mendapat 19 shares, 15 komen. Hantaran ini sebenarnya bertarikh 28 November 2019. Seharusnya aku menyatakan bahawa ketika pertama kali berkunjung ke gudang Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. itu aku antara beberapa kerat pengunjung tegar menyelongkar buku-buku yang menggunung itu. Sesuka rasa. “Shares” dan “comments” yang menyusuli hantaranku itu, sahaja aku perasan, sedikit sebanyak telah menggerakkan aktiviti pembelian buku-buku di gudang tersebut oleh pengikut-pengikut yang lain. Hantaran-hantaranku tentang detik-detik kelupusan Utusan Melayu itu masih menghasilkan ‘shares’ yang lain.
Hantaran berjudul “Utusan Melayu: Kunjung Penamat/penghujung” (Siri 4), misalnya, masih menerbitkan 58 ke‘suka’an. Bersama-sama dengan hantaran pengunjung-pengunjung gudang tersebut yang lain di halaman fb masing-masing kemudiannya, gudang itu dikerumuni, mengakibatkan timbunan buku di gudang itu susut dengan banyaknya.
Aku sendiri berulang-alik ke gudang itu memborong lelongannya. Sampai 8 kali. Ratusan buku dipunggah balik, sebahagiannya secara sengaja untuk judul-judul yang sama sahaja!
Dalam pada itu, Utusan Melayu bukanlah satu-satu sumber kutipan untuk koleksiku. Untuk dua bulan terakhir tahun 2019, aku ada empat lima lagi sumber mendapatkan bahan-bahan menambah koleksi. Dan kutipan dari sumber-sumber itu tidak pula kurang jumlah naskhahnya berbanding yang dibeli di Utusan. Puas hatiku, kerana dalam masa nilai ringgit yang merosot ini, aku membeli atau memperoleh buku-buku pilihan peribadi dengan nilai ringgit tahun-tahun 60-an, 70-an!!! Strategiku; pemerolehan secara berakal.
Yang menariknya, hantaran keempat tertinggi meriak reaksi “like” membabitkan “gambar” memori (ulang tayang gambar asal dihantar pada 15 Disember 2012) ketika aku bergambar di Alma Materku, Pennsylvania State University (Penn State). Ia mengaup 61 ‘like’ yang baharu. Ini mengatasi jumlah “like” awal terhadapnya iaitu 6 (2 komen) sahaja. Pun hantaran ini bukanlah sukar dicerna minda. Dengan mata sahaja, ‘like’ segera boleh dilantun. Kerana ia muncul dalam rupa ‘gambar’.
Hantaran lain, berjudul “Hadir ‘reunion’ 35 tahun” merangsangkan 64 like. Ini pun terhadap ‘gambar’. Begitu juga hantaran berjudul “Umrah 2019 (Siri 2) - Jeddah” membingkaskan 60 ‘like’. Seperti dijangka hantaran ‘gambar’ berjudul “Ukur baju di badan sendiri” sempena kembara ke Bangkok melurukan datangan 60 ‘like’. Hantaran yang berkonsep sama berjudul "Peragawan” menjana rosotan ‘like’ yang mengurang kepada 52.
Padahalnya, sebagai pembelek bahan dan penyelidik khazanah koleksi judul-judul seperti di bawah siri “Rapuh” dan siri-siri yang memerah mindaku menyediakannya lebih wajar di’like’ berbanding dengan gambar-gambar itu. Yang tetap terjadi, ‘like’nya tetap seperti bertahun-tahun sebelumnya, tidak sampai 1% daripada “friend” yang diiktiraf.
Ambillah siri “Rapuh”. Paling di‘like’ ialah “Rapuh 10/2019: Membelek Pengasuh di Perpustakaan Islam MAIK”. Ia dilihat oleh 60 ‘friend’. Rapuh-rapuh lain seperti “Rapuh 3/2019: O.T. Dussek (1) disukai 32, (11 shares, 7 komen); “Rapuh 4/2019: O.T. Dussek (2) – Perwira Bahasa?” disukai 24 (4 shares, 5 komen); “Rapuh 5/2019: Datuk Onn dengan tulisan Jawi” disukai 24 (6 shares, 6 komen); “Rapuh 6/2019: O.T. Dussek (3) – Dipecat mengejut” disukai 11 (1 share). Sedangkan sebagai pengurai belekan khazanah koleksi, hantaran-hantaran ini lebih kuhargai lagi disenangi. Tetapi, ia berjela berupa rencana. Bukan foto.
Bahkan judul tak bersiri seperti “Pengembang Kristian ke Akhir Hayat [W. G. Shellabear]” meraih 17 ‘like’ (1 share, 3 komen), sedangkan buku ini (Robert Hunt, William Shellabear A Biography) habis kubaca dalam beberapa hari yang ‘menikmatkan’. Banyak maklumat dan janaan minda boleh terhasil bagi kalangan pendakwah dan pentadbir hal ehwal agama untuk merangsangkan pemantapan kerja-kerja harian mereka dengan membaca buku ini.
Bayangkan, hantaran berjudul “Administrative Service Zaman Terjajah” menerima 2 ‘like’ (1 share, bertarikh 6 Mac 2019); “Resensi buku terawal” dengan 4 ‘like’. Sedangkan pada hematku ia sangat menarik. Tetapi, tidak kepada orang lain. Rupa-rupanya tiada yang ingin mengkhususi bidang-bidang berkenaan.
“Fragmen Memoir Tak Jadi: Kembali ke Skim perkhidmatan (1)” disukai 33 'friend'; ( Siri 2) – 16 yang suka; ( Siri 3) – 9 menyukai; (Siri 4) – 10 yang suka ; (Siri 5) – 9 suka; (Siri 6) – 6 suka. Ternyata angka-angka ini mungkir dari bilangan ‘like’ yang piawai. Hantaran-hantaran di bawah siri ini sebenarnya sebahagian daripada projek jangka panjang penulisan memoir. Usaha ini walaupun lebih sedekad bermula belum pun menampakkan kejituan hala muktamadnya.
Dari segi pencapaian peribadi, hantaran berjudul “Peristiwa Bersejarah: Ucapan Kedua di Alma Mater” – sangat bermakna. Pun ‘like’nya mencapai tahap cukup makan iaitu 51. Bandingkan satu hantaran lain, berupa gambar, berjudul “Sehari di Shah Alam” meraih 57 ‘like’ sedikit mengatasi satu hantaran lain, bergambar juga lagi, berjudul “Kunjung hormat” dengan 50 ‘like’.
Ke‘suka’an terhadap penulisan tradisi laman fbku adalah pada "status quo", sementelahan ‘pantulan’ terhadap puisi-puisi malangnya tidak dapat kuprolifiki berbanding tahun-tahun lebih awal. Pun. seperti beberapa tahun yang sudah berlalu hilang, “like”nya seperti menyerlahkan situasi kepuisian itu sendiri masakini! Menurunnn. Yang anehnya, cubaanku memantul sebuah puisi bukan “friend” menghasilkan reaksi atau ‘like’ paling ‘tinggi’, tetapi sekadar 31 menyukai – mengenai sajak Darma Muhammad, Al Islam, Mei 1976, “Bila Kau Dewasa”). Peliknya pantulan ini mencetuskan 6 shares, yang tidak pula sejajar dengan iringi 1 komennya.
Kalau bercakap tentang status sastera yang lebih umum (maksudnya tidak terhad kepada puisi sahaja), hantaran berjudul “Sastera Melayu sekarang?” bertarikh 26 Februari 2019 mendapat 13 like. Itulah sebenarnya situasi pendukungan sastera di kalangan ‘friend’ku. Bolehkah disamakan dengan situasi di luar, yang buku-buku kreatif dan nonkreatifnya tersadai, terlelong dengan harga roboh tetapi tetap berlonggokan entah bakal apa riwayat hayatnya.
Apapun riak yang bergerak, penulisan pantulan ke atas puisi-puisi bakal berterusan, insya-Allah. Kerana, membaca puisi, sambil membelek-belek menggera tenaga dan kecekalan. Puisi-puisi yang benar-benar puisi terbukti kepuisiannya apabila dibilasi seseorang pemuisi secara sakti. Ia menjadi teman mesra kala menggali koleksi.
Sebagai penutup aku abadikan beberapa reaksi terpilih “friend” terhadap hantaran-hantaranku. Kebetulan pula, kandungannya ‘mengangkat’, yang kukira secara jujurnya dibingkis bagi menyejukkan mata dan mengentalkan hati.
“Jaafar Yaacob Salaam. Tabik hormat Dato Ahmad Said kita satu kapal. Mohon kongsi nukilan
terbaik
ini. Terima kasih daun keladi. Selamat sejahtra.Ahmad David Kholilurrahman Koleksi Pak Ahmad Said jangan dilepas. Jarang-jarang ada penulis yang menelusuri hingga rinci catatan kaki dan rujukan buku, penerbit, tahun terbit, halaman dan lain sebagainya.
Isahak Haron Dato kaya dgn Khazanah ilmu. Hobi jarang ada pada orang Melayu. Tabek!
Bedolah Botok Dato' Ahmad Said menjadi contoh yang patut diikuti oleh murid2 sekolah tersebut. Saya tabik kepada guru besar sekolah kerana menjemput Dato' Ahmad Said ke sekolah rendah tempat dia pernah belajar dulu.
Saad Noordin Sepatutnya..sekolah sekolah menjemput mareka yang berjaya dari sekolah berkenaan untok memberikan suntikan semangat pada pelajar sekolah dimana TOKOH itu pernah belajar berpuluh tahun lalu...TAHNIAH DATO AHMAD SAID..JASA DATO PADA SAYA TETAP SAYA KENANG ..
“Friend”! Bersama-sama kita menjadi ramai. Namun, sekumin sahaja yang sehala. Ramai di antara kita berlainan selera.
Selamat menempuh tahun baharu 2020.
No comments:
Post a Comment