Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Thailand (16): Menyeberang Sungai Golok

Masjid Wadi al-Husein ke bandar Narathiwat berjarak 30 kilometer. Dengan kereta boleh dicapai dalam 35 minit. Aku teringat perbualan dengan pemandu berasal dari Narathiwat di Bangkok mencadangkan supaya dilawati Masjid Tengah, Narathiwat. Masalahnya, dari Narathiwat ke Pejabat Pemeriksaan Imigresen Thailand Sungai Kolok sejauh 70 kilometer mengikut lebuhraya 42. Lebih sejam untuk tiba di situ. Maknanya, kalau melawat Masjid Tengah, perjalanan ke Sungai Kolok selepas itu tentulah melajak memasuki malam.
Aku memikirkan Din sudah begitu rela hati membawa kami ke sana-sini. Dari segi kilometer bukan jarak yang dekat. Maka bukanlah satu pengorbanan besar tidak menzahirkan hasratku itu kepada Din. Dalam fikirannya Masjid Tengah tiada dalam programku langsung. Lalu kubiarkan Din memandu tanpa memintanya membelok singgah di bandar Narathiwat. Dengan tidak berubah program, kami akan tiba lebih awal di Sungai Kolok.
Sebenarnya sampai ketika itupun kami belum lagi makan tengah hari. Sedangkan jam sudah barangkali 5.30 petang waktu Thailand. Din tidak pasti tempat singgah untuk makan tengah hari. Ideanya ialah untuk tidak singgah di tempat-tempat biasa, restoran-restoran masakan panas, kerana dia tahu kami sudah biasa dengan makanan begitu. Din mahu kami merasa makanan authentik tempatan. Semenjak meninggalkan Bandar Pattani lagi Din sudah meninjau tempat-tempat makan di sepanjang jalan sambil bergerak keluar dari bandar itu. Memang pun ada restoran-restoran jalanan yang kelihatan menarik dan sesuai tetapi tidak pula terbuka mulutku untuk meminta Din singgah. Biarkan Din sendiri membuat pilihan peribadi.
Aku, atau kami, tidak kisah. Dalam hal ini aku yakin benar tentang pendirian R. Dia boleh bertahan lama tanpa makan! Jadi, dengan makan lewat pun tidak sangat dikesalkan, kerana pengalaman berpuasa Ramadan telah melatih kita bertahan jika kesempatan belum ada. Dan berterusanlah kami ‘berpuasa’ sampai saat itu.
Akhirnya Din singgah di “Food Center”, satu blok sederetan gerai makan di tepi lebuhraya. Ada terpapar juga di bangunan itu tulisan “OTOP”. Din meletakkan kereta di lapangan parkir. Aku lupa nama lokasi ini. Tetapi di sini ada stesen petrol, ada kemudahan tandas dan bilik air, kedai-kedai, dan masjid/surau (?).
Kami pergi ke gerai-gerai itu. Kalau tidak silap ada lima atau enam gerai semuanya. Kerusi meja makan tersedia kekal di depan semua gerai. Tentulah semua pelanggan boleh menggunakan mengikut pilihan peribadi. Semua pegerai terdiri wanita Melayu yang masih muda. Mereka bertudung. Kami menuju satu gerai nasi campur. Aku dan R memilih makan nasi putih bersama gulai ‘kawah’ untukku, dan ikan sungai asam pedas, ulaman dan sambal untuk R. Din mencari makanan di gerai yang lain, sup, dibayarnya sendiri siap-siap. Bagaimanapun kami duduk berkumpul makan di meja yang sama. Minumanku seperti lazim di Malaysia, Nescafe Ais, dan R, limau ais.
Makanan ‘tengah hari’ itu, setakat rasaan lidahku, tidaklah menyelerakan sangat. Ia seperti jugalah dengan kebanyakan gerai-gerai makan yang biasa kita temui di Malaysia. Apabila selesai menghabiskannya, aku ke gerai lain mengambil, mangga pulut, yang memang sudah tersedia dalam pek plastik. Yang mendesakku berbuat begitu kerana hendak membandingkan ‘kualiti’nya berbanding yang telah aku rasa di Bangkok. Tidak sukar pun menghabiskan sepeket itu seorang diri, kerana R tidak teringin. Dan, penilaian muktamadku, mangga pulut Bangkok muncul unggul – dari segi rasa lazatnya dan besar paketnya. Ternyata, apabila dibayar, mangga pulut OTOP ini berharga 40 Baht berbanding 60 Baht yang di Bangkok!
Din membeli empat paket makanan OTOP. Paketnya kemas dan cantik. Dia menghadiahi kami dua paket sedangkan dua lagi katanya untuk dibawa balik. Tentulah sebagai buah tangan keluarganya, telah kami. Yakinlah kami produk ini istimewa kerana dipilih menjadi satu cenderamata untuk kami. Tiada tertulis nama produk ini dalam tulisan yang kami boleh baca, kecuali “KAYAH ABAH NING FOOD PRODUCT” bukan nama kuih itu. Kelihatannya kuih bingka, versi Narathiwat. R mengesahkannya. Betapa ikhlas Din berbelanja untuk kami dan balasan kami hanyalah “Terima kasih”.
Selepas menselesakan diri di bilik air, kami menaiki kereta berlepas meninggalkan lokasi. Tiada apa lagi dibimbang dan dikesalkan kerana kami semakin segar kini. Perjalanan bagi jarak terakhir di wilayah selatan Thailand ini menjurus ke sempadan Thailand-Malaysia di Sungai Kolok. Senja menggagahi penghujung yang kian meremang.
Lebuhraya kuperhatikan sedikit merosot kemasan rataan permukaannya. Terkadang-kadang laluan nampak lewat disenggarakan menjadikan keselesaan berkereta terganggu oleh muka jalan yang pecah, retak atau berlubang. Tidak banyak bangunan di kiri kanan lebuhraya berbanding di laluan yang telah kami lalui sebelum bandar Narathiwat. Kehijauan lebih menonjol oleh pokok-pokok atau ladang-ladang yang membarisi lebuhraya.
Kami sampai di satu persimpangan. Mengikut arah jalan yang terpapar, kalau terus ke depan mengarah ke Tak Bai dan jika membelok ke kanan mengarah Sungai Kolok. Teringat suatu ketika R memberitahu dia menaiki kereta dari Tak Bai ke Sungai Kolok. Boleh jadi inilah jalan itu. Hampir sejam juga untuk tiba, katanya. Din mengesahkan itulah satu-satunya jalanraya utama menyambung kedua-dua pekan itu. Tak Bai dari situ sudah hampir benar, kata Din. Bermakna dekatlah sudah Pangkalan Kubor. Aku teringat perbualan dengan pemandu Bangkok asal Narathiwat memberitahu adiknya yang belajar di universiti di Kuala Lumpur biasanya kembali ke Narathiwat melalui penerbangan Kuala Lumpur-Kota Bharu. Dari situ dia mengambil teksi ke Pangkalan Kubor lalu ke Tak Bai pulang ke rumah.
Tetapi Din mengambil laluan ke kanan, ke arah Sungai Kolok. Dari batu tanda lebuhraya aku menganggarkan dalam 35-40 minit kami boleh mencapainya. Sebaik berhenti di tepi jalanraya bersetentangan dengan pagar Masjid al-Samadiyyah, Kedai Baru Pekan Golok, azan Maghrib kedengaran dilaungkan. Kami tidak tergesa-gesa untuk melintas sempadan. Lalu Din mencadangkan berhenti solat di masjid itu. Kami berwuduk dan memasuki dewan solat. Aku anggarkan dewan itu boleh memuatkan 800 jemaah. Ketika solat Maghrib ada dua saf makmum. Mereka sebahagian bukan ahli kariah sebaliknya musafir macam kami. Selepas Maghrib, terus kudirikan solat Isya’ qasar jamak takdim.
Kemudian aku keluar menselesakan diri di bilik air masjid terletak di bahagian belakang berasingan masjid. Kami berjalan keluar melalui pintu pagar masjid dan terus menyeberang jalan menaiki kereta yang ada di situ. Din nampaknya tidak asing di situ. Aku perhatikan dia disapa atau menyapa beberapa orang daripada mereka yang datang bersolat atau bertembung dengannya di situ.
Kami terus bergerak menuju balai pemeriksaan Imigresen Sungai Kolok. Waktu itu banyak juga kenderaan beratur berengsut-engsut untuk melintas sempadan. Ada kenderaan yang berplat Thailand dan banyak juga berplat Malaysia. Din menunggu di kereta sementara aku dan R berjalan ke pejabat imigresen Thailand untuk mencopkan passport kami. Jaraknya dekat sahaja. Ketika itu ada sekitar 50-60 orang sedang beratur dalam tiga barisan di kaunter-kaunter berasingan. Urusan kami selesai dalam tempoh 15 minit.
Kami kembali ke kereta. Din memandunya melalui balai pemeriksaan imigresen Malaysia di Kompleks ICQS Rantau Panjang pula. Kami tidak perlu turun dari kereta sebaliknya menyerahkan passport kepada Din untuk diserahkan secara pandu-lalu di kaunter pegawai bertugas. Kami memasuki Rantau Panjang dengan lancar. Waktu Malaysia menunjukkan pukul 8.30 malam.
La Hami Bin Ahmad, Rismayanti Idris and 12 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment