Kembara Thailand (7): Perpustakaan Mini Bangkok
Pada waktu malam kami, aku dan R, tidak bercadang ke mana-mana. Duduk-duduk di kondo pun tak rugi. Di sini selesa, melebihi di hotel pun.
Ezri sibuk dengan bertugas rasmi – siang dan malam. Dia ada urusan - ke lapangan terbang menunggu dan mengambil bos-bos yang datang ke Bangkok untuk acara yang dikendalikannya, persediaan gerai pesta atau pavilion sambutan, taklimat kepada petugas-petugas dan para peserta, menghadiri makan malam, mengiringi atau melayani ‘personaliti-personaliti penting’ dan lain-lain.
Jenis kerjanya aku faham. Aku tak mahu mengganggu beliau. Biarlah dia bebas mengambil inisiatif supaya tugas-tugas ‘musim’ kritikal yang sedang diuruskan itu tidak terjejas langsung. Biarlah dia memikul tugas-tugas itu dengan berkecemerlangan.
Di kondo aku boleh buat apa sahaja yang aku mahu. Berrkomputer dengan FB, menonton TV – hal ehwal semasa Thailand melalui program-program biasanya seperti berita, majalah TV, program pertanian, dan lain-lain. Tidak sia-sia program-program itu. Boleh dibandingkan dengan program-program yang tersiar di TV Malaysia. Malah kalau hendak tengok siaran saluran-saluran TV Malaysia pun boleh. TV di kondo adalah Smart TV. Ada kemudahan mencapainya. Hampir semua siaran seluruh dunia boleh ditonton.
Aku boleh juga membaca. Ezri ada membina perpustakaan mininya sendiri. Buku-buku dalam koleksi beliau sebahagiannya sejiwa pula dengan bidang-bidang pembacaanku – biografi, sejarah, sastera dan lain-lain. R pun, boleh buat urusannya sendiri. Berjalan-jalan di sebelah pagi tadi sudah cukup, memasak makanan malam, aku percaya, meletihkannya.
Ezri ada menunjukkan dua naskhah buku karya Tun Mahathir Mohamad, “A Doctor in the House The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad”, versi English dan “Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad” versi Bahasa Melayu. Dalam kedua-dua buku itu ada tandatangan YAB sendiri. Dalam rangka lawatan pertama Tun Dr. Mahathir ke Bangkok sebagai Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, beberapa ketika baru-baru ini, Ezri memberitahuku, dia memberanikan diri membawa kedua-dua naskhah buku itu dan berjumpa pengarangnya. Dia meminta pemimpin tersohor itu menandatangani buku memoir yang terkenal itu. Perdana Menteri tidak keberatan. Sungguh besar hati Ezri berjaya memperolehi tandatangan tersebut.
Begitu juga dengan sebuah lagi buku, Mark Trowell, “Anwar Ibrahim: The Final Twist”. Dalam naskhah buku milik Ezri ini tertera tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, bukan Mark Trowell, pengarangnya. Ezri berjumpa dengan Anwar Ibrahim ketika Presiden PKR itu berurusan di Bangkok, termasuk menyertai majlis peluncuran buku itu di Thailand. Dan kini buku-buku itu ‘bernilai’ oleh kejayaan memperolehi tandatangan pengarang atau pelaku utamanya! Kata Ezri, dia satu-satunya yang melakukan demikian kerana dia memang memiliki naskhah-naskhah tersebut di samping berkesempatan bersemuka dengan tokoh-tokoh terbabit dalam rangka menjalankan tugas-tugas rasmi.
Sementara itu teringat pula kata-kata Ezri bahawa, kedua-dua tokoh itu, Perdana Menteri dan Presiden PKR mempunyai daya penarik tersendiri di Thailand. Tidaklah sukar untuk mendapatkan khalayak menghadiri majlis-majlis yang melibatkan mereka berdua. Hakikat ini tidak berlaku apabila personaliti-personaliti Malaysia yang lain terbabit – kerana mereka tidak di hiraukan - menjadikan majlis-majlis disertai mereka hambar. Sehubungan ini elok diceritakan pengalamanku pula. Ketika pertama kali terkeliru mencari laluan LRT di Stesen Sala Daeng, Bangkok, aku akhirnya bertanyakan seorang lelaki Thai yang sebayaku untuk bantuan. Bantuan diberikan menyelesaikan masalah. Apabila beliau mengetahui kami, aku dan R, dari Malaysia, secara spontan dia mengisyaratkan appresiasinya terhadap pemilihan Tun Dr. Mahathir memimpin semula Malaysia.
Kembali ke buku. Ezri juga menunjukkan ala 'coffee table book' berjudul “Selamat Swasdee 60th Anniversary of Thailand-Malaysia Diplomatic Relations”, yang diterbitkan oleh Ministry of Foreign Affairs, Kingdom of Thailand. Buku ini sangat baik kandungannya. Ia menyusur-galur perkembangan diplomatik di antara kedua-dua negara dengan naratif dan gambar-gambar yang bersejarah membabitkan tokoh-tokoh masing-masing – Yang di Pertuan Agong/Raja, Perdana-perdana Menteri, Menteri-menteri Luar, Duta-duta, dan lain-lain. Berdasarkan penelitianku inilah salah sebuah buku
terbaik
dalam jenisnya pernah diterbitkan, terutama sejauh yang berkaitan pentadbiran awam atau perhubungan antarabangsa. Ada beberapa ‘pengajaran’ penting muncul hasil mendalaminya. Pertama, buku-buku bercorak anniversari seharusnya menjadi satu kemestian bagi semua kementerian/jabatan menerbitkannya. Kedua, perancangan dan kandungannya hendaklah dilakukan dengan profesional demi menjamin kualiti dan nilai sejarahnya. Ketiga, ‘arkib’ kementerian/jabatan seharusnya dibina atau diperkemas supaya unsur kesejarahannya kekal hidup memberi sumbangan dan berfaedah.
Ada dua buku lain yang sempat kubelek secara bermakna ketika di perpustakaan mini Ezri. Pertama, buku bercorak sastera, karya Sjuman Djaya, “AKU Berdasarkan Perjalanan Hidup dan Karya Penyair Chairil Anwar”, Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, cetakan ketujuh, 2018. Ini adalah sebuah buku yang unik. Seseorang yang hendak mengarang buku seperti ini mestilah seorang ‘sasterawan’ lagi pula menguasai subjeknya. Dan, Sjuman Djaya kuiktiraf memiliki kemampuan cemerlang mendukunginya. Ezri memberitahu buku ini dibelinya ketika berkunjung di Medan, Indonesia baru-baru ini.
Sebuah lagi buku ialah selenggaraan Nik Anuar Nik Mahmud dan Mohd. Zamberi A. Malek, “Tamadun dan Sosio-Politik Melayu Patani”, Persatuan Sejarah Malaysia, 2007. Aku memang menggemari sejarah Pattani dan mempunyai koleksi tentang wilayah itu yang agak banyak. Sekurang-kurangnya, dalam situasi buntu, berhadapan pelbagai pilihan atau ketiadaannya, buku-buku tidak pernah gagal memberiku penyelesaian memilih inisiatif atau alternatif yang bertepatan.
Tetapi aku tidak pula menghadapi kebuntuan berada bersama-sama R di Bangkok – siang ataupun malam! Dan pada malam itu kami makan di kondo itu hasil masakan R.
No comments:
Post a Comment