Tuesday, 29 December 2020

 Kembara Thailand (9): Menapak di Bangkok

Di sebelah petang, selepas waktu pejabat, Ezri kembali sekejap. Dia membawa balik baju-baju kemeja yang telah siap dijahit. Setiap helai berbungkus plastik, seperti lazimnya baju-baju baru yang dibeli di gedung pakaian eksklusif. Sungguh cantik produk itu, aku terperasan! Material kainnya tidaklah gah. Harga pula semua orang boleh beli. Marhaen pun. Dan tempat dibeli pun di pasar sahaja. Begitulah latar belakang asalnya.
Lalu kemeja-kemeja baru itu kucuba segera. Bergaya sungguh kelihatan dalam cermin. Sedangkan aku telah hampir 12 tahun bersara. Umur pun lama melampaui warga emas. Tertanya-tanya pula: Bilakah akan kuperagakan pakaian itu dalam realiti? Tiada lagi majlis-majlis rasmi hendak dihadiri berbatik. Bukan setiap minggu atau bulan dijemput ke jamuan perkahwinan. Hari Raya Aidilfitri hanya setahun sekali! Sedangkan berpakaian mestilah sesuai pada tempat, masa, majlis, khalayak, peranan, dan macam-macam sebab lagi. Kirakan sahajalah suatu fakta! Bila masa hendak pakai kurta, jubah, ‘pakaian kebangsaan’, ‘pakaian kerja, ‘pakaian korporat’, kasual, pakaian masjid atau solat, uniform pasar, joging, berbasikal, bermotosikal, pakaian kebun, pakaian kembara, dan lain-lain?
Selepas mandi, Ezri keluar semula. Dia hendak ke lapangan terbang. KSU bakal tiba dari Kuala Lumpur. Isterinya pun datang sama. Bos besar tidak boleh tidak disambut iring. Etika pegawai kanan menuntut kebijaksanaan amali. Apabila membabitkan bos (-bos) tanggungjawab demikian diklasifikasikan wajib. Bertugas di kedutaan bukan setakat menulis dan mentaklimat sesempit skop senarai tugas. Melayan ‘tetamu’ salah satu tanggungjawab penting – rasmi atau sebaliknya. Aspek ini berdimensional. Penjawat di kedutaan yang jahil sahaja tidak memberikan fokus terhadapnya.
Aku pun mencipta acara sendiri. Aku memberitahu R untuk keluar bersendirian. Sepanjang Jalan South Sathorn hendak kujajapi. Dengan berjalan kaki. Terasa rugi hari yang masih terang benderang itu dibiarkan merayap gelap tanpa peristiwa atau tinjauan. Bukan kerap pun aku berkunjung di sini. Lalu aku turun selepas selesai bersolat Zuhur. Peta yang memandu pergerakan menemaniku. Beg sandang ada di bahu. Sebotol air minuman terselit di poket sisinya.
Jalan South Sathorn termasuk kawasan eksklusif. Dalam peta boleh dilihat deretan bangunan menjajari sebelah menyebelahnya. Ambillah pangkalnya yang bersambung dengan Jalan Rama IV. Di situ ada kedutaan-kedutaan Denmark, Jerman, Malaysia, Australia, Austria, Singapura, Myanmar, Saudi Arabia, dan lain-lain. Ada bangunan-bangunan hospital, gereja, kuil, bank, hotel, restoran, kondominium dan lain-lain. Ada pula stesen MRT/BTS. Sebahagian kawasan sedang dalam pembinaan dengan projek-projek mega. Kawasan ini teratur dan bersih. Ya, Bangkok yang kudatangi kali ini lebih bersih berbanding dulu-dulu. Semakin prihatin dan cakna Gabenurnya menguruskan!
Jalan Sathorn (South atau North) tidak sunyi daripada pelbagai jenis kenderaan – kereta, teksi, bas, tuttut, motosikal. Sepanjang masa. Ketika waktu puncak trafik bersesakan. Di laluan ini sebenarnya tidak ramai pun orang yang berjalan kaki. Pelancung lain pun tidak kelihatan. Mereka yang kuselisihi adalah rakyat marhaen, yang mungkin bekerja di sekitaran, atau berhajat ke destinasi khusus. Hanya apabila sampai di Stesen LRT(BTS), aku bertembung dengan mereka.
Selepas melepasi Stesen BTS Surasak aku membuat pusingan U, kembali melalui Jalan North Sathorn. Kuagak, telah lebih sekilometer kakiku berkayuh. Botol minuman luak separuh. Di setiap jalan utama seperti yang kulalui, banyak juga lorong atau jalan-jalan kecil terbit darinya. Apabila ada yang menarik perhatian, aku menjajapi jalan-jalan kecil ini. Melihat-lihat - gerai-gerai di tepi jalan, restoran, kedai runcit, rumah-rumah kediaman, sekolah tadika, kuil dan lain-lain. Tidaklah aku singgah. Setakat meninjau memadai. Sesekali aku melakukan selfi.
Langkahan kembaliku ditemani kesesakan trafik waktu puncak. Warga Bangkok mungkin sedang menuju ke rumah masing-masing selepas bekerja. Kadang-kadang untuk suatu jarak, pergerakanku lebih cepat berbanding kereta. Di persimpangan berlampu isyarat, ketika sedang berwarna merah pun tidak terlalu sukar untuk menyeberang, kerana jalanraya dipenuhi kenderaan yang terenjut-enjut bergerak melepasi waktu sedia diprogramkan.
Berjalan kaki tanpa mengejar sesuatu tidak menekan minda. Aku berjalan mengikut rentak biasa seorang pelancung. Berpeluh sedikit lebih menyihatkan daripada duduk-duduk membeku diri. Aku tiba di Sathorn Gardens, ketika kenderaan hampir semuanya menyalakan lampu masing-masing.
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 21 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment