Utusan Melayu: Kunjung penamat (5)
Aku pernah ceritakan ‘keakraban’ku dengan Utusan Melayu. Tetapi hubungan intim ini lebihnya secara tidak langsung. Jauh di mata dekat di hati!
Salah seorang pendukung setia Utusan Melayu ialah ayahku. Beliau adalah salah seorang pelanggannya. Selain, akhbar Utusan Melayu sendiri, ayahku berlanggan tetap majalah Utusan Kiblat. Semenjak mula-mula diterbitkan iaitu pada Ogos 1970. Pengedar majalah itu di Besut ialah Cikgu Sheikh Ibrahim di Kampung Palembang, Kampung Raja. Setiap bulan, majalah itu diterima daripada Cikgu Sheikh dan ia bertambah dari sebulan ke sebulan. Apabila sudah dibacanya, majalah itu disimpan dengan baik dalam bilik tidurnya. Ketika aku sudah remaja, di Tingkatan Enam, majalah itu menjadi bahan bacaanku juga.
Ayahku terus melanggani Utusan Kiblat walaupun dia telah bersara. Majalah itu, dan majalah-majalah agama yang lain menjadi teman setianya menjalani alam persaraan. Majalah-majalah lain itu termasuklah Warta Jabatan Agama Johor, Pengasuh, Suara Jabatan Agama Negeri Terengganu, Saujana, Al-Islah dan juga buku-buku agama seperti misalnya, Ihya’ Ulumuddin, dan lain-lain.
Berdasarkan kajianku, naskhah Utusan Kiblat terakhir dilanggani Ayah ialah keluaran April 1987. Maka tersusun rapi majalah Utusan Kiblat itu mulai 1970 hingga meliputi 17 tahun penerbitan. Apabila ayahku berpulang ke rahmatullah pada tahun 1992, semua majalah itu, (juga semua kepustakaan ayah yang lain) terpindah ke tanganku. Sungguh bertuah aku mewarisi majalah-majalah dan kitab-kitab agama yang berharga itu.
Sehubungan ini, aku pernah menulis dalam fb memaklumkan siri pertama komik tersiar dalam Utusan Kiblat, tahun ketujuh, bilangan 84 bermula pada keluaran Julai 1977, muka surat 72 berjudul “Khalid Ibn Walid”.
Sementara itu, aku sendiri pun menjadi pembeli majalah keluaran Utusan Melayu. Aku membeli Mastika, Al Islam secara berterusan apabila telah mulai bekerja, iaitu semenjak tahun 1974. Majalah “MASTIKA” yang terawal kumiliki ialah keluaran November 1966, diperolehi semasa bertugas di Pulau Pinang (1992-1996). Majalah ini setebal 52 halaman. Majalah “MASTIKA” bersaiz kecil yang terawal kumiliki ialah keluaran Januari 1972 (ketika berada di Tahun 1 Universiti Malaya). Majalah ini setebal 128 halaman. Saiz majalah Mastika kemudian berubah ke saiz besar. Dalam saiz ini aku memiliki keluaran tahun-tahun 1981 hingga 1990, dengan sebahagiannya tidak lengkap sepenuhnya.
Aku tidak lagi meneruskan pembelian Mastika apabila kandungannya mula dihantukan dengan cerita-cerita aneh, seram dan khurafat. Walau murah pun tidak terlior aku memilikinya. Sekadar mengenang kewujudan Mastika lama dan Mastika baru, aku ada menyimpan beberapa naskhah yang mutakhir. Tajuk-tajuk rencananya tetap meloyakan.
Majalah Al Islam kulanggani semenjak bilangan pertama dalam tahun 1974. Naskhah Al Islam terakhir dalam koleksiku ialah bilangan 537, November 2018. Sebahagian kecil siri terbitan Al Islam tiada dalam koleksiku, meliputi tahun-tahun yang berbeza. Demikian pun, tetap bermakna ratusan naskhah Al Islam tersimpan dalam koleksiku. Pada tahun-tahun lebih terkemudian aku juga membeli majalah Iman. Majalah ini terbit awal 2012.
Satu jurnal yang menarik diterbitkan oleh Utusan Melayu ialah PEMIKIR. Dalam koleksiku, jurnal ini bermula dengan naskhah Julai- September 2003 hingga bilangan 71, Januari – Mac 2013.
Dari segi buku, aku sedikit kecewa dengan prestasi Utusan Melayu. Walaupun telah terlibat puluhan tahun dalam penerbitan tiada buku yang diterbitkan itu boleh benar-benar dibanggakan. Ia tidak mencapai tahap ikonik.
Semasa bersekolah menengah di Besut dahulu aku teringat membaca buku Sejarah Nasionalisma MAPHILINDO oleh Amat Johari Moain. Sayang sekali buku itu tiada dalam koleksiku. Kalau dikenang-kenang, sebagai peminat sejarah, teringat keseronokan membaca tulisan pengarang tersebut. Sebagai buku asli penulis tempatan ia dianggap mempelopori bidangnya.
Barangkali tidak dapat disangkal lagi, satu-satunya buku ikonik keluaran Utusan Melayu ialah Revolusi Mental, terbit pada tahun 1971. Buku ini menjadi bualan utama orang Melayu pada awal-awal tahun 1970-an kerana ketinggalan orang Melayu yang amat nyata berbanding dengan kaum-kaum yang lain ketika itu.
Buku Revolusi Mental mengandungi rencana-rencana tentang pandangan dan usul-usul menggesa perobahan sikap di kalangan orang Melayu. Timbul semula ungkitan terhadap perumpamaan Melayu seperti: “Rezeki secupak tidak boleh jadi segantang”, “Untung sabut timbul untung batu tenggelam” dan lain-lain. Kerap dibaca, orang Melayu kurang usaha, ayam dikepuk mati kelaparan itik di air mati kehausan, dan yang seumpamanya.
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment