Wednesday 30 December 2020

 Utusan Melayu: Kunjung penamat (14) – Mastika merobah wajah

Aku merujuk, Rencana Pengarang, “Mastika Utusan Melayu”, Utusan Zaman, Tahun 2, Bilangan 21, Bilangan Besar 82, 24 Mei 1941=27 Rabiulakhir 1360, muka 14. Diberitahu majalah bulanan Mastika akan terbit pada 1 Jun 1941=6 Jamadilawal 1360. Walau bagaimanapun keluaran sulung harus terbit pada 29 Mei 1941 sempena menyambut ulang tahun akhbar Utusan Melayu. [NOTA: Utusan Zaman terbit pada 5 November 1939, hari Ahad.]
Mastika, Bil. 8 – Tahun Ke 35, Ogos 1975 menyambut usia 34 tahun, “pada 1 Jun 1975”. Sempenanya termuat rencana, Siti Zaleha [M.] Hashim, Pelatih ITM, “Mastika Dari Tangan Ke Tangan”, (Setelah berusia 34 tahun), Mastika, tahun 35, Ogos 1975, muka surat 2-8; dan “Selepas Mastika Pindah Ke K.L.”, muka surat 9-15.
Tercatat nama-nama pengarang Mastika dari awal sehingga ke tarikh rencana itu ditulis iaitu, Abdul Rahim Kajai, Hamdam, Keris Mas, Mohd Asraf, Usman Awang, Harun Hassan, Tengku Abu Bakar Husny, Harun Hassan (kali kedua) dan Subky Latif.
Ketika diterbitkan pada 1 Jun 1941, Utusan Melayu telahpun menerbitkan akhbar-akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman. Hamdam, yang mengambil alih pengarang Mastika selepas Abdul Rahim Kajai meninggal dunia zaman pendudukan Jepun menyatakan, majalah Mastika tidak mendapat dukungan pembaca golongan atasan. Sambutan diberi oleh golongan orang Melayu yang berpendidikan sekolah Melayu.
Selepas perang, Yusof Ishak memberi amaran supaya Mastika ditutup jika edarannya tidak mencapai 10,000 naskhah. Langganan yang kurang akan membebankan Utusan Melayu dan Utusan Zaman.
Atas arahan A. Samad Ismail (pengarang Utusan), Mastika terpindah ke tangan Keris Mas (1948-1953). Beliau mengambil inisiatif menjadikan Mastika “…majalah cerita pendek… untuk menarik minat pembaca yang meminati sastera ketika itu.” Gambar kulit diubah kepada berwarna dengan mempamerkan wajah-wajah bintang filem. Peraduan cerita pendek diadakan dan pemenang-pemenang diberi hadiah. Ada pertambahan langganan hasil inisiatif itu di samping pemberian sedikit bayaran kepada penulis-penulis yang memberi sumbangan karya. Hasrat meningkatkan naskhah jualan tercapai. (lihat juga, Memoir Keris Mas, 1979. 30 Tahun Sekitar Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka).
Ketika Asraf mengendalikan Mastika, beliau menggalakkan polemik tentang seni untuk masyarakat atau seni untuk seni. Aspek-aspek lain juga dimuatkan berkaitan kebudayaan dan pengetahuan umum.
Kandungan penulisan ketika itu banyak menyentuh kepincangan masyarakat di bawah pemerintahan penjajah. Penulis-penulis harus pandai menyentuh atau mengolahnya. Risikonya besar mengabaikan aspek itu. Tindakan drastik pihak kerajaan tentu menyusul.
Keris Mas dikatakan hanya menulis 9 buah sajak sepanjang hayat kreatifnya. Yang terakhir ialah “Patriot”, Mastika, Disember 1949. Beberapa rencana beliau yang dapat dikesan, berjudul “Sedikit Perhatian Kepada Pancaragam Melayu”, Mastika, September, 1941; “Pengaruh-pengaruh Atas Aliran Kebudayaan Melayu”, Mastika, Mac 1950; “Pandangan Yang Keliru terhadap Aliran Angkatan Baru”, Mastika, Julai 1952; “Filem dan Masyarakat”, Mastika, Ogos 1952; “Angkatan Sasterawan Muda”, Mastika, November 1952; “Menjelang Kongres Besar Bahasa dan Persuratan Melayu”, Mastika, Julai 1956; “Perkembangan Kesusasteraan Melayu”, Mastika, Januari 1981. (lihat, A. Bakar Hamid (penyusun), 1981. Esei Pilihan Keris Mas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Kebetulan pula hari ini aku membelek semula Mastika lama. Lalu melintasilah, Keris Mas, “Mangsa Masyarakat”, Mastika, Bilangan 40, Februari 1950. Ini sebenarnya sebuah cerita pendek, disiarkan semula sebagai “Rencana pilihan bulan ini suku abad dulu Mastika”, dalam Mastika, Februari 1975, muka surat 88-95.
Sahaja aku petik seperenggan, “Sementara di sekeliling pasar itu di dalam beca-beca roda tiga berkeliaran perempuan-perempuan lacur mencari mangsanya. Perempuan itu tentulah mangsa masyarakat yang dalam kelaparan. Mangsa mencari mangsa!” (muka surat 95)
Pada keluaran Mastika, Jun 1975, nama Subky Latif terakhir tercatat sebagai “Anggota Sidang Pengarang”. Pada Mastika, Julai 1975 tercatat nama Zaharah Nawawi sebagai “Penyunting Mastika”. Mazlan Nordin dan Osman Abadi, masing-masing, masih tercatat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan.
Image may contain: ‎1 person, ‎smiling, ‎text that says "‎88 MASTIKA Februan Rencana pilihan bulan ini suku abad dulu سنيك MANGSA MASYARAKAT (dipetik dari majalah Mastika, Februari, 1950, bilangan 40). Oleh KRIS MAS MAS Junckre Tms‎"‎‎‎
Zulkifli Salleh, Nor Zatul and 7 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment