Berjalan kaki di Kota Bharu (5): Bertembung rakan sepermainan
Laluan mudah untuk ke Pasar Siti Khadijah ialah melalui Jalan Hospital menyusuri laluan pejalan kaki di sisi Jabatan Pendidikan Negeri, MPKB dan membelok ke Jalan Doktor. Bukanlah jauh sangat jaraknya. Kalau kita tidak terkejar-kejar sesuatu, langkahan kita boleh diatur seselesa mungkin.
Memang perlu kita berhati-hati ketika menyeberang jalanraya. Jalan Hospital menuju ke bulatan Jalan Sultan Ibrahim adalah jalan besar. Kenderaan sentiasa datang dari Jalan Mahmood menghidupkan suasana. Kita perlu berhati-hati melintasi jalan ini kerana agak lebar.
Di perdekatan itu tiada pun orang lain yang berjalan kaki. Ketika itu aku seorang sahaja menghala ke arah itu. Sekitaran Pejabat Pendidikan dan MPKB yang dilintasi tenang sahaja. Memanglah pun. Hari Sabtu pejabat ditutup. Aku membelok, singgah dan duduk-duduk di kerusi besi panjang yang disediakan di sepanjang Jalan Doktor itu. Kerusi pertama tidak jadi diduduki kerana bertompokan tahi burung. Tentulah pokok yang berhampiran yang memang ditanam sebagai hiasan menyumbangkan kotoran itu. Tetapi pokok itu juga membayanginya lalu meneduhkan. Bayangan bangunan tinggi bersetentangan juga menyekat pancaran matahari ke arah tempat aku duduk itu.
Bukanlah aku berasa penat. Tiada sebab untuk aku bergesa-gesa. Tiada apa benda pun yang aku cari-cari. Dari kerusi panjang itu aku perhatikan kereta-kereta yang diparkir sepanjang jalan. Aku perhatikan juga kenderaan yang sentiasa melaluinya. Di situ, kalau aku mahu aku boleh membaca majalah Pengasuh yang di beli di Kedai Jaffar Rawas tadi. Tapi aku hanya mahu duduk-duduk di situ.
Di belakangku, dalam pagar ialah tempat parkir bagi pegawai-pegawai MPKB yang berbumbung. Pada setiap petaknya ada label jawatan penjawat yang berhak menggunakannya. Ada dilabelkan, misalnya, KPP (Perancang Bandar), KPP (Undang-undang), KPP (Sumber Manusia) dan lain-lain. Teringatlah aku, ketika masih berkhidmat, pernah juga dikhaskan petak-petak meletakkan kenderaan – di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di KOMTAR, Pulau Pinang, di WPKL, di ICU JPM, di JPA, di SPA, dan kini sekali-sekala di SPRM. Betapa teristimewa terasa. Ia memudahkan lagi dikira tercakna. Manisnya mengenang!
Selepas lebih kurang 10 minit, aku bangkit dari kerusi. Pundi-pundi kencing memberi tanda agar dilegakan. Aku tahu tempat yang paling dekat, praktikal dan tepat menunaikan tuntutan itu. Berdekatan ialah Stesen Bas, 3-4 minit berjalan ke arah destinasi. Fasiliti awam itu terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat berkenaan. Dengan membayar 40 sen kepada wanita penjaganya aku menselesakan diri. Di situ juga aku mengambil wuduk di tempat khas yang disediakan. Selipar tersedia di pintu Surau di sebelah. Ketika memasuki Surau hanya seorang sedang bersolat di bahagian tepi berhampiran dinding. Aku mendirikan solat Jamak Takdim bersendirian.
Selepas solat aku turun ke dataran stesen dan menyeberang Jalan Tok Hakim pada lampu Isyarat bersambung Jalan Padang Garong. Langkahanku berterusan 30 meter ke depan sehingga tiba di tangga Pasar Siti Khadijah. Pada arah masuk ini berderetan di kiri kanan para pegerai kuih tradisional Kelantan berniaga. Aku tidak berhajat untuk membeli apa-apa kuih pun. Perutku masih sangat padat dan selera sudah kukawal kemas.
Namun, aku dapat melihat pelbagai jenis kuih yang terdedah di depan mata – termasuk salah satu yang biasanya kubeli apabila berada di sini iaitu kuih ‘beko’. Isteriku memberitahu kuih ini beramuan tepung pulut, santan dan kelapa parut muda. Ia disediakan melalui kaedah pembakaran. Kurang pasti pula harganya sekarang, mungkin 3 keping RM2 (?). Membelok sedikit ke kiri, di hadapan ialah seksyen jualan sayur-sayuran. Aku pantas melalui sambil melihat selayang pandang gerai-gerai yang berderetan itu. Di luar, selari dengan bangunan pasar itu ialah Jalan Pintu Pong.
Aku keluar dari bangunan itu menuju ke arah pintu masuk bangunan utama pasar. Tiada pun aku berhajat memasukinya. Dari jarak 10 meter aku terpandang kawan sepermainan ketika kecil dan remaja sekampungku. Dia pun pada masa yang sama terpandang kearahku. Dia lebih dahulu menegur dan aku hanya tersenyum gembira, oleh pertemuan yang tidak dijangkakan itu. Barangkali sudah tiga empat tahun kami tidak bersua muka.
Zeck, kawan lamaku ini, datang membeli keperluannya di pasar itu. Eloknya, ketika itu dia sudah ingin beredar pulang. Dia mengajakku ke rumahnya yang tidak jauh dari situ. Aku tidak keberatan. Hajat hendak ke Bazar Buluh Kubu kubatalkan – kerana tiada apa sebenarnya mahu dicari di situ, kecuali melintasi lalu.
Aku bertopi keledar membonceng motosikal Zeck. Dia bertanyakan sama ada aku telah makan tengah hari atau belum? “Sudah”, kataku. Ketika tiba pada satu simpang berhampiran rumahnya, Zeck berhenti di gerai makanan di situ. Banyak makanan untuk makan tengah hari di jual bahkan pelbagai kuih dan bubur juga didapati. Ramai juga pelanggan sedang membeli untuk dibawa pulang.
Zeck meminta aku memilih makanan untuk dihidangkan kepadaku apabila tiba di rumahnya, sungguhpun aku memberitahu tidak mahu makan lagi. Oleh malu alah, kuambil sebekas bubur kacang, dan mengisyaratkan dibungkus pisang nangka goreng sekadar mencukupi untuk seorang makan bersantai. Zeck membayar. Kuperhati dia sangat mesra dengan para pekerja yang ada.
No comments:
Post a Comment