Utusan Melayu: Menjelang kunjung penamat (3)
Pada hari Ahad, 10.30 pagi, (1 Disember 2019), aku terfikir elok berkunjung semula ke AmCorp. Telah beberapa bulan aku tidak ke situ. Ada sebab khusus jadi begitu. Tidak lain, kerana ketiadaan penarik utamanya iaitu buku, sejauh yang membabitkanku. Padahal, semenjak wujudnya pasar karat sampai tersohor seperti sekarang, AmCorp adalah tempat bermain mingguan – bertahun-tahun.
Aku menaiki Yamaha 110. Berpakaian sesuai dengan kenderaan. Bermotosikal lebih selesa dan mudah kerana relatifnya sukar mendapatkan parkir jika menggunakan Kelisa. Ancaman saman pun tiada. Dengan Yamaha, ia boleh disadai dimana-mana. Dalam kes ini, di bahu Pesiaran Barat sambungan Jalan Utara, di tepi bangunan AmCorp, menghadap Taman Jaya. Perjalanan dari rumahku ke situ mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja.
Aku berjalan sejauh lebih kurang 30 meter untuk sampai ke bangunan AmCorp. Kemudian, aku memasuki premisnya, menuruni tangga ke aras bawah. Tangga itu selalunya jadi tempat jajaan tetap seorang penjaja buku. Sudah beberapa tahun anak-anak tangga itu dipajaknya jadi tempat paparan dagangan. Buku-bukunya diperagakan di atas lima enam anak tangga. Pernah aku membeli sebuah buku di sini (ya, sebuah), kerana harganya RM5. Satu tawaran khas yang amat jarang diberikan. Kebanyakan buku-buku lama yang lain diletak harga yang relatif tinggi. Barangkali kerana itulah setiap minggu buku-buku yang sama terpapar. Tidak berdegis. Ia tidak laku. Tidak dibeli sesiapa. Pembeli-pembeli buku, apalagi aku, memang berhati-hati, kancilan, dan hanya mencari cerlak; menerpa buku-buku yang munasabah harganya mengikut penilaian sendiri.
Entah mengapa minggu ini buku-buku tidak diperagakan di tangga itu lagi. Barangkali penjualnya sudah tawar hati meneruskan perniagaan. Atau, boleh jadi dia ada hal peribadi yang lebih mustahak. Ataukah dia sudah berundur, seperti Pekanbuku, Utusan dan banyak kedai buku yang lain?
Di aras bawah itu ada beberapa peniaga yang menjual buku-buku terpakai, selain barangan dagangan yang lain. Ada tiga gerai yang pernah menjadi pilihanku beberapa tahun dahulu. Ketika itu banyak sekali judul-judul pilihanku terpamer lewah. Dan, aku tahu penggiler buku setaraku hampir-hampir tidak ada!!! Maka, kebanyakan bahan-bahan berharga itu beralih tangan menjadi habuan dan milikku.
Banyak buku telah diperolehi di situ. Ratusan naskhah dalam koleksiku kini berasal dari AmCorp, ketika pasar karat itu baru-baru beroperasi. Kali ini beberapa tempat lazim itu tetap menjual buku. Sayangnya ia tidak mempunyai bahan tawaran yang menarik lagi. Tidak mempunyai buku-buku memuaskan cita rasaku. Yang disogokkan bukan sesuai dimasukkan dalam bidang pengkhususan koleksiku.
Pun, hari ini sebuah buku dapat juga kucapai. Walaupun penjual meletakkan harga RM10, perhubungan kami yang lama menjadikan harga buku itu merudum sehingga RM5, selepas berunding pendek. Aku jangka disedarinya, sukar mendapat pembeli. Itulah buku, Manoj Das, 2009. Myths, Legends, Concepts and Literary Antiquities of India. New Delhi: Sahitya Akademi, pp. 377, Rs 250. Ia buku baru (maksudnya belum terpakai). Dalam hati, “Nanti bila membaca semula Hikayat Seri Rama atau Hikayat Pandawa kefahamanku tentang kandungannya tidaklah setakat yang terpapar dalam tulisan-tulisan sarjana tempatan sahaja.” Dan aku tahu, pengarang itu seorang tokoh besar juga di India.
Memang pun ada dua buah kedai yang menjual buku-buku seperti yang diidamkan. Sebuah di aras bawah dan sebuah lagi di aras 3. Masalahnya, harga setiap naskhah yang dipaparkan di situ tidak masuk akal mahalnya. Ratusan ringgit sebuah. Aku pernah menulis tentang harga-harga yang ditawarkan itu dalam laman fb suatu ketika dahulu. Pernah kukatakan, aku akan menjadi kaya kalau buku-buku dalam koleksi sendiri terjual dengan harga-harga yang diperagakan itu. Maka, pada kedai-kedai buku yang dua buah ini, tidak lagi kumasuki. Cukuplah melintasinya kerana terpaksa untuk sampai ke petak-petak jualan yang lain.
Namun, hari itu, alang-alang datang, semua aras pasar karat kujajapi. Langkahku laju dan tak berperistiwa. Aku kemudian beredar.
Tadi, seorang kawan fb yang menjaja buku-buku ‘lama’ di aras bawah memberitahu kumpulan ‘penjual’ buku-buku terpakai (langka?) akan menganjurkan ‘pesta jualan’ pada minggu depan di situ – Jumaat, Sabtu dan Ahad. Berita itu disambut gembira. Aku akan meluangkan masa untuk meninjau-ninjaunya. Semoga ada buku-buku bakal menjadi milikku terjual mengikut hargaku nanti. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment