Utusan Melayu: Kunjung Penamat (11)
Harus juga dinyatakan bahawa dalam majalah Mastika, November 1966 (Jawi), diiklankan dua buah novel karya Bachtiar Djamily, “Dikejar Perawan Tua” ($2) dan “Burung Nuri Terbang Tinggi” ($2).
Dalam Mastika, Bil. 6, Tahun ke-28, Jun 1968, buku-buku, Abdullah bin Hassan, “Ilmu Alam Kawasan Tenggara Asia” ($3) dan Mohd. Hashim bin Taib, “Syair Yatim Nestapa” (Latihan Ilmiah Pengajian Melayu Universiti Malaya) ($3) diiklankan, berwarna, di muka kulit depan bahagian dalam. Di kulit belakang bahagian dalam buku-buku, A. Wahab Ali, “Angin Hitam” ($3.80) dan Salmi Manja, “Sayang Ustazah Sayang” ($2) diiklankan, berwarna. Terdapat juga ruangan iklan berkempen, “Penuhkan masa anda dengan membaca buku-buku terbitan kami.” (Penerbit Utusan Melayu), muka surat 14.
Dalam Mastika, Bil. 7, Tahun ke-28, Julai 1968, ruangan “Ulasan Buku Bulan Ini” membicarakan buku “Lari Dari Maut” karya ARK [A.R. Kamaludin] oleh R.M. Affandi, muka surat 62-63. Buku ini setebal 112 halaman, berharga $2, terbitan Federal Publication Bhd.
Sebuah novel baru, Adi Mas, “Komplot” ($2.40) diiklankan dalam Mastika, Ogos 1968. Sementara itu Takusui Lie mengulas novelet “Entah Kenapa Hatiku Duka” karya Salmi Manja, terbitan Pustaka Gunung Tahan, $2, di muka surat 64, ruangan “Ulasan Buku”.
Aku melintasi iklan buku “Sejarah Nasionalisma Maphilindo” di kulit belakang Mastika, Oktober 1969. Buku ini setebal 279 halaman. Harganya $4 (kulit biasa) dan $5 (kulit tebal). Buku ini dikatakan perlu untuk pelajar-pelajar Tingkatan VI dan pra-Universiti, guru-guru, ahli-ahli politik, khutub-khutub-khanah dan orang ramai. Sementara itu di bahagian dalam kulit belakang ini diiklankan pula buku “Memahami Ekonomi” (Cetakan Kedua) oleh Abdullah Taib dan Zaihar Bachik, $3.
Keluaran Mastika, Ogos 1969 ini juga membantu kerana pada kulit depan muka dalam tersenarai buku-buku Penerbitan Utusan Melayu yang dibahagikan di bawah siri-siri: Pelajaran (7 buah), Pengetahuan Am/Pendidikan (7 buah), Antologi Cerpen (4 buah), Novel (13 buah) dan Novel Detektif (sebuah).
Daripada yang tersenarai ini, buku-buku yang termasuk dalam koleksiku ialah “Bimbingan Sastera Melayu Lama” (Yahaya Ismail), “Sejarah Mata Wang” (Hussein Mahmood), “Tuan Speaker, Tuan” (Tan Sri Hj. Mohd. Noah b. Omar), “Negeri Sembilan dan Sejarahnya” (A. Samad Idris), “Intan Terpilih” (Cerpenis-cerpenis Utara Malaysia Barat), “Gelisah” (Cerpen-cerpen yang menang anjuran Mastika), “Temasya Tinta” (A. Samad Ismail), “Ranjau Sepanjang Jalan” (Shahnon Ahmad), “Angin Hitam Dari Kota” (A. Wahab Ali), “Sayang Ustazah Sayang” (Salmi Manja), “Komplot” (Adi Mas) dan “Tamu 31 Ogos” (Mustaffa Suhaimi).
Diperhatikan pengarang Mastika ialah Harun Hassan dan penolong pengarangnya A.R. Kamaludin. Rencana pengarang keluaran ini kukira menarik berjudul “Quo Vadis Untuk ‘PENA’?”. Ia juga bersejarah sebagai menghargai penubuhan GAPENA, “satu-satunya badan yang benar-benar mewakili kaum penulis tanah air./Dan dengan demikian PENA bukan lagi malah tidak berhak mengakui dirinya sebagai wakil kaum penulis tanahair seperti yang dilaung-laungkannya selama ini.”
Pada perenggan terakhir tertulis, “Kita adalah selama-lamanya menyokong ujudnya GAPENA dan mengharapkan ianya akan bergerak lancar, sesuai dengan tuntutan-tuntutan kaum penulis. Kelahirannya diharapkan bukan saja akan dapat memperjuangkan setiap kepentingan dan hak-hak kaum penulis malah dapat pula bersama-sama mempertikaikan setiap masalah yang timbul dalam usaha meninggi dan memperkayakan bahan-bahan tulisan dalam bahasa Malaysia.”

No comments:
Post a Comment