Wednesday, 30 December 2020

 Rapuh 16/2019: Jawi-Rumi dan Wajah Pengasuh

Setakat yang dapat dikesan rencana yang mula-mula sekali menggunakan tulisan Rumi dalam Pengasuh ialah pada keluaran bilangan 481, Januari/Februari 1986. Mulai keluaran ini juga halaman-halaman bertulisan Rumi dimulakan dengan mengambil 10-12 halaman. Saya terbaca “Fikiran Pembaca” dari seorang “Peminat Baru Pengasuh”, Kuala Kangsar, Perak yang menulis “Halaman Tulisan Rumi Pengasuh”, memuji ruangan tulisan Rumi malah diminta ditambah menjadi separuh daripada halaman Pengasuh. (Lihat, Pengasuh, bilangan 488, Ogos-September 1987, muka surat 3).
Pada ketika Pengasuh di bawah Ketua Pengarang Dato' Yusoff Zaky Yacob dan penggantinya, Mohamad bin Mahmud, sentiasa ada rencana-rencana menggunakan tulisan Rumi di samping yang sebahagian besarnya dalam tulisan Jawi.
Naskhah Pengasuh, Bilangan 591, Mac-April 2005 adalah keluaran terakhir yang dikendalikan oleh Mohamad bin Mahmud. Dalam 60 halamannya, terdapat rencana-rencana menggunakan tulisan Rumi iaitu, Raja Norafida Raja Idris, “Dari Ketua Pengarang Pengasuh Ke Penulis Tamu DBP”, [tentang persaraan Mohamad bin Mahmud], Pengasuh, Bilangan 591, Mac-April 2005, muka surat [61-60] dan, Raja Norafida Raja Idris, “Indeks Tokoh Ulama Semenanjung Melayu Mulai Pengasuh bilangan 403 (Februari 1975) hingga Pengasuh bilangan 591 (Mac-April 2005), Pengasuh, Bilangan 591, Mac-April 2005, muka surat 59-48. Ini bermakna rencana-rencana lain adalah dalam tulisan Jawi, mengisi halaman-halaman 1 hingga 48.
Maka, pada umumnya, dalam setiap keluarannya, halaman-halaman Pengasuh terbahagi dua iaitu seperatusan lebih kecil berisi rencana-rencana dalam tulisan Rumi dan seperartusan yang lebih besar menggunakan tulisan Jawi.
Selepas persaraan Mohamad bin Mahmud, editor baru Pengasuh ialah Khalil Haji Ali. Beliau mengendalikan Pengasuh mulai keluaran Bilangan 592, Mei-Jun 2005. Perubahan menjolok yang dilakukan beliau menyentuh dua perkara;
Pertama, Pengasuh diprojekkan dalam dua imej: dalam judul Jawi yang menggunakan khat berlainan daripada sebelumnya, dan dalam judul Rumi pada kulit belakangnya. Dengan perubahan ini kulit belakang Pengasuh bertukar seakan kulit depan juga. Gambar-gambar yang digunakan menghiasi ‘dua kulit depan’ ini adalah berlainan tetapi bertemakan ‘peristiwa’. Ini berlainan dengan keluaran-keluaran terdahulu yang lebih bertumpukan gambar-gambar hiasan berunsur ‘sejarah” – khususnya tokoh/ulama, masjid-masjid sedangkan ‘peristiwa’ tidak menjadi keutamaan.
Yang harus juga dinyatakan ialah pewajahan kulit majalah berkonsepkan ‘dwiwajah’ terhenti pada Pengasuh Bilangan 596 (Januari-Februari 2006), bermakna bertatih selama lima keluaran sahaja (Mei 2005 hingga Februari 2006). Wajah baru Pengasuh sebenarnya dikembalikan berasaskan wajah-wajah Pengasuh ketika di bawah Ketua-ketua Pengarangnya Dato' Yusoff Zaky Yacob dan Mohamad bin Mahmud. Peningkatan kualitinya dalam keluaran-keluaran kebelakangan hanya dibantu oleh kecanggihan teknologi percetakan, mutu kertas, dan kaedah penjilidannya. Saya percaya, dalam aspek ini Pengasuh masih boleh ditambah baik lagi!
Kedua, perubahan lain yang mendadak ialah pertambahan rencana-rencana dalam tulisan Rumi. Sebagai contoh, Pengasuh, Bilangan 591, mengandung 77.3% tulisan Jawi berbanding 22.7% dalam tulisan Rumi. Pengasuh Bilangan 592, mengandungi 65.6% tulisan Jawi berbanding 34.4% dalam tulisan Rumi. Demikianlah, jumlah halaman Rumi/Jawi rencana-rencana Pengasuh, Bilangan 593 (14/64 halaman), Bilangan 594 (17/64 halaman), Bilangan 595 (21/64 halaman), dan Bilangan 596 (10/64 halaman).
Bagaimana pun, mengejutkan pula, apabila Pengasuh, Bilangan-bilangan 597 (Mac-April 2006), 598 (Mei-Jun 2006), 599 (Julai-Ogos-September 2006) tidak memuatkan langsung rencana-rencana dalam tulisan Rumi. Keluaran terakhir Pengasuh di bawah kendalian editor Khalil Haji Ali ialah Bilangan 600 (Oktober-November-Disember 2006).
Walaupun Ketua Pengarang baru, Yasmun binti Muhammad, tercatat dalam Pengasuh, Bilangan 601 (Januari-Februari 2007), tetapi Khalil Haji Ali kekal menjawat editor. Amalan mengekalkan tulisan Jawi sepenuhnya berterusan. Pendekatan ini berakhir pada Pengasuh, Bilangan 606 (Disember 2007-Januari-Februari 2008).
Mulai Pengasuh, Bilangan 607 (Mac-April 2008), satu dua rencana dalam tulisan Rumi dimuatkan semula (6/64 halaman). Pada masa ini pun editornya masih Khalil Haji Ali.
Sementara itu, saya membuat tinjauan rambang naskhah-naskhah Pengasuh mutakhir. Ternyata penggunaan tulisan Rumi masih dikekalkan. Sebagai menunjukkan beratan pemakaiannya, dikemukakan contoh-contohnya; Bilangan 633, Mac-April 2014, menggunakan tulisan Rumi 14 halaman /berbanding 64 halaman keseluruhan); Bilangan 640, Mei-Jun 2015, (17/64 halaman); Bilangan 659, Julai-Ogos 2018, (14/64 halaman); Bilangan 661, November-Disember 2018, (14/64 halaman); Bilangan 662, Januari-Februari 2019, (23/64 halaman); Bilangan 663, Mac-April 2019, (14/64 halaman); dan Bilangan 664, Me-Jun 2019, bilangan terbaharu (11/64 halaman).
Maka bolehlah dikatakan Pengasuh cuba menggunakan tulisan Rumi pada kadar tidak melebihi 20% halamannya. Sekali gus, tulisan Jawi mungkin akan berterusan menjadi ‘pendukung’ utama Pengasuh pada masa-masa yang akan datang.
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 17 others
1 comment
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • Melintasi, Fatimah Zahrin Mohd Taib, “Sejarah Tulisan Rumi” (Tahukah Anda?), Klik DBP, Bil. 26, 19 Julai 2006, hlm. 3. Dikatakan tulisan ini telah berusia 3,800 tahun. Dalam rencana ini dinyatakan bahawa ASAS ’50 dan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) mengemukakan cadangan dalam Kongres Persuratan Melayu se-Malaya pada 1-2 Januari 1954 di Seremban supaya tulisan Rumi menjadi tulisan rasmi bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi.
    Dikatakan tulisan Rumi mempunyai lebih kebaikan termasuk mempunyai huruf vokal yang lebih lengkap; lebih mudah mengeja kata asing yang dipinjam, mampu menyatukan bahasa Melayu di Malaysia dan di Indonesia, dan lebih memudahkan bahasa Melayu dipelajari oleh orang asing.
    Cadangan ini telah dipersetujui.
    • Like
    • Reply
    • 5 d

No comments:

Post a Comment