Kuala Berang: Bermadu - Pandangan kedua
Dari meja tempat aku duduk, R kelihatan amat derita bergerak turun dari masjid. Setiap langkah sukar sekali dilakukan. Aku mendatanginya. Di sebalik rintangan jasmaninya pun, aku memberitahu R agar sudi mendengar masalah yang dihadapi wanita itu dan memberi pandangannya. Apabila wanita itu terpandang ke arah R, dia datang menghampiri. Dipegangnya lengan R dan memapahnya ke arah meja kami duduk-duduk tadi. R menggagahi juga melangkah hampir sejauh sepuluh meter. Aku mengalihkan kereta lebih berhampiran tempat kami akan duduk. Kelak apabila selesai sesi ‘kaunseling’ R tidak perlu berjalan jauh.
Apabila kami semua duduk semula di bangku yang tersedia aku meminta wanita itu menceritakan semula masalahnya. Nor, wanita itu kini memperkenalkan kependekan namanya, mengulang ceritanya seperti diperikan kepadaku tadi. R mendengar khusuk. Seharusnya begitu kerana sudahku nyatakan bahawa aku telah memberi pandangan mengenainya. Pandangan R kelak adalah pandangan lain yang aku kira bakal membuka lebih alternatif penyelesaian.
Setelah mendengarnya R bertanya, “Isterinya tahukah hubungan ini?”
“Tidak,” beritahu Nor.
“Kalau dia tak bagi tahu Acik fikir akan timbul masalah. Dia sepatutnya lebih bertanggungjawab. Berterus-terang. Tidak boleh terus menyembunyikan. Lambat laun, akan juga diketahui. Masalah besar tentu meledak nanti.”
“Jadi apa seharusnya saya buat?” Nor meminta panduan.
“Nor minta dia perkenalkan diri Nor dengan isterinya. Bersemuka. Kemudian berbincanglah. Kalau jelas tidak terdapat persetujuan atau ada tanda-tanda bakal timbul persengketaan kelak Nor wajar menarik diri.”
Air mata bergenang di mata Nor. Tentulah dia terbayang cabaran menghadapi situasi genting itu. Wanita itu terkedu.
“Acik fikir, dalam keadaan sekarang Nor patut tumpukan perhatian kepada anak-anak. Lebih baik jaga mereka baik-baik. Emosi mereka kena jaga. Kalau berkahwin lalu timbul masalah, pelajaran anak-anak akan terganggu. Sekarang Nor pun tidak ada berselisih dengan sesiapa. Nor pun boleh terus berkerja menyara hidup seharian. Kalau Nor berkahwin keadaan jadi berlainan. Besar kemungkinan tidak seperti sekarang. Sebelum kawin. Isteri dia akan bertindak. Dia pun ada anak-anak. Tentu dia tidak mahu masa depan anak-anaknya menjadi gelap. Acik bayangkan perbalahan akan meletus. Jadi heboh sekampung. Mungkin juga saudara mara isterinya pun tidak menyambut baik. Acik jangka Nor yang lebih menerima akibat buruk. Norlah yang dianggap menjadi punca. Dalam keadaan begitu rumah tangga tidak akan berkekalan. Acik bercakap berdasarkan pengalaman. Ada saudara mara rapat telah mengalami. Ia berakhir dengan keruntuhan. Jadi, lebih baik Nor putuskan hubungan.”
Wanita itu tidak mereaksi dengan kata-kata. Keharuan jelas di wajahnya. Sedih benar dia memahami situasi.
“Nor berdoalah supaya dipertemukan jodoh. Jangan sekali-kali putus asa. Boleh jadi Nor akan bertemu dengan orang yang lebih sesuai. Orang yang kematian isteri. Atau, orang yang telah bercerai. Kalau ada anak-anaknya, Nor mestilah sanggup menjaga anak tiri. Orang yang kematian isteri lebih perlu teman hidup. Tetapi dia sangat berhati-hati memilih ganti. Dalam kes Nor, pilihan ini yang lebih baik.”
Sudah jelas kepada Nor kami berpandangan serupa. Sedangkan pandangan kami adalah spontan. Sendiri-sendiri. Tiada perbincangan awal. Ya, kami berpendapat dia tidak seharusnya meneruskan hubungan dengan suami orang. Nor tiada pilihan selain itu.
“Tapi bagaimana saya hendak memberitahu dia?” Kelihatan sukar sekali untuk wanita itu melakukan nasihat kami.
“Nor beritahulah dia terus-terang.” kata R, serius.
Berlinangan air mata Nor. Memang perasaannya terlalu sedih.
Seseorang telah mulai datang ke masjid itu. Azan Asar bakal berkumandang sekejap lagi. Perjalanan kami masih jauh.
“Jadi, begitulah pandangan kami. Nampaknya sama sahaja. Kami bercakap berdasarkan pengalaman. Nor timbang-timbanglah sendiri. Kami perlu beredar sekarang.” Kataku seakan menamatkan sesi.
Aku bangun. R pun. Nor memapah R sampai ke pintu depan sebelah kiri kereta berdekatan. Sebaik duduk, tiba-tiba R membuka beg duitnya. Ditariknya sehelai wang RM50 lalu diunjuk kepada Nor. Nor terkejut dan seakan keberatan menerima. R mendesak dan aku menyokong. Nor mengambil wang itu dengan terharu. Matanya bergenang air lagi. Ketika mereka bersalam , dia mencium tangan R.
Kami meninggalkan premis masjid sebelum laungan azan Asar.
No comments:
Post a Comment