Tuesday, 29 December 2020

 Kembara Thailand (11): Malaysia Fest, buku dan ASEAN

Malam tadi aku melihat hantaran Ezri dalam Fbnya tentang status pavilion “Malaysia Street Food Lover 2019” yang dikendalikannya. Nampaknya belum lagi siap sedia. Para peserta pesta itu sudahpun kelihatan memainkan peranan. Tentulah Ezri perlu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan pavilion hingga ke saat-saat akhir. Implikasinya besar jika pavilion tidak bersedia untuk majlis perasmiannya. Ia bakal dilancarkan YAB Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Maka aku memutuskan untuk melihat pavilion itu hari ini, Khamis, 20 Jun 2019. Kami bersarapan, dengan mi goreng hasil tangan R. Ada juga sandwic berinti ikan sardin sebagai tambahan. Minuman pelengkapnya ialah Nescafe. Tiada kekurangan pun. Seakan bersarapan di rumah sendiri di Petaling Jaya. Ezri pun bersarapan sama. Dia kemudian ke pejabatnya. Tentulah banyak yang berlegar di mindanya. Tarikh akhir majlis pelancaran program kendalian mendekati titik noktah.
Lebih kurang pukul 9.30 pagi aku dan R meninggalkan Sathorn Gardens. Seperti kelmarin, kami berjalan kaki ke Stesen Sala Daeng. Pavilion yang sedang diselenggarakan Ezri adalah di Central World Plaza, Jalan Phloenchit. Stesen BTS yang terdekat plaza itu ialah Chitlom. Stesen ini telah kami gunakan ketika melawat Victory Monument kelmarin. Aku beratur membeli tiket di kaunter kerana tidak yakin membeli di mesin yang tersedia. Tiada masalah lagi mengambil platform laluan yang betul kerana pengalaman berLRT masuk hari ketiga.
Di dalam gerabak penumpang-penumpang hampir padat. Kami berdiri sejauh perjalanan: melintasi stesen-stesen Ratchadamri, Siam (stesen pertukaran), dan Chitlom. Selepas turun di situ, melalui walkway kami berjalan menuju bangunan Central World. Sepanjang walkway sentiasa ramai pejalan kaki di kedua-dua hala. Walaupun sedikit jauh, kemudahan laluan adalah sempurna – lebar, bersih, beratap, dilengkapi maklumat tunjuk arah, dan selamat kerana tidak langsung bertembung dengan trafik di jalanraya. Walkway dibina satu aras lebih tinggi daripada jalanraya.
Aku harus menyatakan perancangan walkway benar-benar mengambilkira keperluan pengguna dan kepentingan perniagaan. Bangunan-bangunan besar, kebanyakannya komersial dihubungkan berstrategik dengan stesen-stesen LRT/MRT, sekali gus yang bermakna atau termasuk juga pengguna-pengguna/orang-orang awam. Inilah conton pendekatan yang boleh dikatakan mesra pengguna. Sayangnya, pendekatan ini belum lagi dipentingkan di Kuala Lumpur.
Dalam 15-20 minit berjalan ternampaklah Central World Plaza. Di lapangan atau dataran kosong di depan bangunan itu kelihatan khemah panjang berwarna putih telah terbina. Aku menunjukkan pavilion dan memberitahu R tempat yang menjadi destinasi kami. Tidak tersalah lagi kerana itulah pavilion yang ditunjukkan oleh Ezri dalam akaun FB beliau. Lalu kami turun melalui tangga dan menyusuri bahu jalanraya terus mendekatinya.
Kami memasuki pavilion itu. Persiapan sedang berjalan. Pentas utama sudahpun siap, cumanya hiasan ditil perlu diamati. Ruang kosong di hadapan pentas itu sudah tersusun kerusi untuk dhif-dhif bakal menyaksikan pelancaran. Pekerja-pekerja peralatan siar raya menguji keberfungsiannya. Kami mendekati deretan gerai yang sudah terbina dengan tampalan nama-nama gerai masing-masing terpasang mengiklankan sekali jenis-jenis produk yang diniagakan. Ada dua deretan gerai, setiap deretan berada di kedua-dua tepi pavilion saling bersetentangan. Di antara kedua-dua deretan itu, di tengah-tengahnya, disusun meja/kerusi untuk pelanggan-pelanggan duduk apabila hendak makan.
Ketika itu belum pun ada orang awam di situ. Memang waktunya belum lagi tiba. Selain pemilik/pekerja gerai, pegawai-pegawai petugas atau urus setia pesta kulihat sibuk berbincang. Tentulah mengenai tindakan-tindakan perlu seharusnya dilakukan supaya pavilion itu bersedia dirasmikan. Kami singgah disatu dua gerai dan bercakap-cakap dengan pemilik-pemiliknya. Hasil perbualan itu kami mendapat kesan bahawa urusan menyiapkan gerai-gerai peserta tergendala oleh kelewatan tiba trak kontena yang membawa peralatan dan keperluan lain.
Para peserta sendiri datang dengan bas yang dibiayai oleh penganjur, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia. Kelewatan itu boleh menggugat kelancaran penyiapan keseluruhannya. Bagaimana pun mereka berharap kebimbangan itu tidak merealiti bahkan selesai sempurna mengikut yang dirancangkan.
Daripada deretan gerai yang kami tinjau, jenis-jenis makanan yang ditawarkan termasuk Roti Canai, Nasi Lemak, Roti Jala, Satay Malaysia, Laksa Utara, Keropok Lekor, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Asam Pedas, dan lain-lain. Difahamkan makanan itu dibawa siap ke situ. Maknanya ia dimasak di tempat lain. Namun, ketika itu kami perhatikan sudah ada di kalangan peserta memasak produk-produk masing-masing!
Di luar pavilion itu, ada sebuah lagi pavilion atau khemah yang menjadi sebahagian daripada program pelancaran pesta itu. Kami memasuki pavilion ini. Terdapat kaunter-kaunter syarikat-syarikat swasta Malaysia mempamerkan produk-produk asas tani keluaran masing-masing. Ada juga kaunter agensi-agensi kerajaan yang menyertai – khususnya untuk membekalkan maklumat perlu kepada para pengunjung. Ketika hampir ke pintu keluar, kami singgah di satu kaunter sebuah agensi dari Negeri Kedah. Petugas wanitanya bermurah hati menghidangkan kami secangkir mini jus tiin. Sedikit pun isiannya, terasa lazatnya, lagi membasahkan tekak yang kering oleh jauh sudah mengayuh langkah.
Di luar pavilion ini, berdekatan, ada kelompokan gerai makanan dan buah-buahan Thai. Dagangannya tidaklah jauh berbeza dengan gerai-gerai makanan Thai yang biasa menjelajah serata Malaysia – di Kota Bharu dan di Petaling Jaya, yang pernah aku sendiri kunjungi. Ada tanda ‘Halal’ di satu dua gerai berkenaan tetapi melihat pakaian petugas-petugas, mereka tidak jauh dengan majoriti rakyat Thai yang lain. Di kalangan perempuan yang mengendalikannya, tiada kelihatan yang bertudung! Sebahagian gerai-gerai itu, sudah berurus niaga – misalnya air kelapa dan jus buah-buah yang lain. Sebahagian masih membuat persiapan. Masa makan tengah hari sedang mendekati.
Central World Plaza mega saiznya. Dari dinding ke dinding dari sisi memanjang, aku agak jaraknya mencapai 100 meter (?) ataukah, lebih! Tentulah banyak dagangan di sini seperti juga kompleks beli-belah, pejabat dan kediaman yang lain seumpamanya. Kami memasuki dari satu pintu yang berdekatan dengan gerai-gerai makanan Thai tadi. Mencari-cari label direktori susun atur ruang niaga tidak mudah, bahkan gagal dijumpai. Seseorang yang kami tanyai, memberitahu arah letak kaunter penerangan kompleks. Ia berdekatan dengan pintu masuk utamanya, yang letaknya di tengah-tengah.
Kami mengarah ke situ. Seorang wanita muda bertudung bertugas di situ. Kami sebenarnya hendak ke kedai buku. Lalu petugas itu memberitahu ruang niaga kedai tersebut. Kami menaiki eskalator sampai ke Tingkat 3 dan dari situ ditunjukkan oleh seorang yang kami tanyai, kedai buku itu. Kami mengambil laluan lain pada tengah-tengah kompleks pada aras itu, menghala lebih ke dalam daripada ruangan niaga di deretan yang kami lalui asal itu.
Akhirnya tiba juga kami di kedai B2S, Books.Music.Stationery. Inilah kedai buku keempat yang kami kunjungi. Sahaja menyatakan semula, kedai-kedai buku lain ialah, pertama, Naiin Book, Kedua, Open House, dan ketiga, Asia Books – bukan berdekatan di antara satu sama lain. B2S adalah sebuah kedai buku yang besar. Semua jenis buku, termasuk dalam bahasa Inggeris, terpamer di rak-raknya. Pun, R menuju seksyen masakan Thai. Mudah sahaja mencarinya. Tetapi seperti juga pada kedai-kedai buku yang lain, dia hampa.
Kata R, memanglah ada buku-buku masakan Thai dalam bahasa Inggeris. Ia ditulis oleh orang-orang asing. Mungkin mereka sudah lama tinggal di Thailand, atau berkahwin dengan warganya, atau mengumpulkan maklumat daripada orang-orang tempatan lalu membukukannya. Buku-buku itu tentu dibeli oleh penggemar-penggemarnya. Sebahagian telahpun ada dalam koleksi masakan R di rumah.
Kata R, buku-buku masakan dalam bahasa Inggeris yang ditemui dalam kedai-kedai buku itu ada kekurangan. Bagi orang yang tahu memasak, teknik masakan yang dinyatakan diberi perhatian utama. R, mendapati ada kelemahan dalam aspek ini dalam buku-buku yang telah ditelitikannya. Orang yang biasa memasak sahaja boleh menilainya. Itu pandangan R. Aku tidak ada pandangan sendiri. Sebab, selama puluhan tahun aku makan masakan R. Ya, tiap-tiap hari – boleh disebut pagi, petang, siang dan malam. Semenjak kami berumah tangga.
Di B2S aku hanya membeli dua akhbar berbahasa Inggeris – The Nation (Bt30) dan Bangkok Post (30 Baht), Thursday, June 20, 2019. Dalam resit pembelian tertulis “VAT included”. The Nation memaparkan gambar “34th ASEAN SUMMIT” di Bangkok pada muka depannya. Judul utama kubaca: “No room for civil society groups at Asean Summit”. Bangkok Post juga mempamerkan logo “ASEAN Thailand 2019”. Di muka depannya, kupetik sebahagian yang menarik, iaitu Pusat-pusat ASEAN yang dibuka di Thailand: Asean Centre of Military Medicine (ACMM), Asean Satellite Warehouse, Asean-Japan Cybersecurity Capacity Building Centre (AJCCBC), Asean Centre for Active Ageing and Innovation (ACAI), Asean Cultural Centre, Asean Training Centre for Social Work and Social Welfare (ATCSW), dan Asean Centre for Sustainable Development Studies and Disalogue (ACSDSD). Sidang Puncak itu berlangsung pada 22-23 Jun 2019.
Pukul 11 pagi kami meninggalkan Central World Plaza, keluar melalui pintu utama yang hampir dengan pavilian “Malaysia Street Food Lover 2019”. Ketika memasuki semula pavilion pertama, untuk ke stesen LRT, dari jauh kami lihat Ezri sedang memberikan penjelasan kepada serombongan petugas/pelawat. Aku lihat mereka termasuk Duta Besar Malaysia di Bangkok. Tentulah mereka mendengar taklimat status mutakhir persiapan pesta sementara dilancarkan Malaysia Fest 2019 oleh Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir Mohamad, pada petang itu.
Sebaik keluar pavilion, kami berjalan santai ke Stesen BTS Chitlom. Tidak perlu bergegas kerana tiada pun sesuatu dikejar. Kami pula telah lama berdiri dan berjalan semenjak keluar dari kondo pagi tadi. Terasa kesan menggugat kecergasan. Umur dan tenaga tentulah salah satu faktornya.
LRT yang dinaiki menuju Stesen Sala Daeng tetap ramai penumpangnya. Kali ini pun kami tidak mendapat tempat duduk. Namun, seronok juga mendengar nama-nama stesen disebut bernada lembut oleh wanita pembacanya melalui sistem siaran dalam gerabak setiap menghampiri setiap stesen. Ada keunikan dan daya tarikan berbanding nada bunyi sebutan nama-nama yang sama keluar dari mulut orang asing, misalnya aku sendiri.
Seperti biasa, kami berjalan balik ke kondo melalui Jalan Sala Daeng. Ketika tiba waktu sudah 1 tengah hari. R masih ada tugas yang dipilihnya. Dia memasak ringkas. Kami makan tengah hari bersama-sama tanpa waswas.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 19 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment