Wednesday 30 December 2020

 Utusan Melayu: Kunjung penamat (7)

Sebuah lagi buku yang kita patut bersyukur kerana lahir di khalayak ialah Askar Melayu 50 Tahun oleh Tan Sri Datuk A. Samad Idris, 1983, cetakan pertama. Penerbitnya ialah Pustaka Budiman Sdn. Bhd. Pengarang Pustaka Budiman ialah Dharmala N.S. Pencetak buku ini ialah Utusan Printcorp Sdn. Bhd. manakala pengedar tunggalnya ialah Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Buku ini setebal 642 halaman (tidak termasuk halaman-halaman pendahuluan (xxxxxvi) dan iklan (18 halaman).
Dalam konteks mutakhir, aku fikir elok disalin kata-kata A. Samad Idris dalam buku ini: “Kerajaan Melayu tumbuh dengan banyaknya di seluruh kepulauan Melayu. Malangnya, mereka sering berperang sama sendiri seperti yang berlaku di kalangan negeri-negeri dalam Pulau Jawa antara Kerajaan Kediri dengan Mataram atau Lasim dan sebagainya. Hal ini berlaku juga di kalangan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu seperti peristiwa Melaka menyerang Inderapura (Pahang), dan ura-ura Megat Panji Alam Terengganu mahu menyerang Negeri Melaka./ Semua ini memperlihatkan bangsa Melayu senantiasa berpecah-belah sejak di zaman purbakala lagi sehingga penjajah barat berjaya menaklukinya. …” (muka surat 3).
Sebagai penggemar kesusasteraan Melayu, sebuah buku yang menarik ditulis oleh Abu Hassan Sham, Beberapa Aspek Dari Sejarah Melayu (Sulalatus-Salatin) (1977, cetakan pertama, Siri Bimbingan Peperiksaan STP/HSC) diterbitkan oleh Utusan Melayu. Reka bentuk kulit buku ini agak menarik. Depan dan belakang. Ia direka oleh Zainal Buang Husin. Daripada lima bab, satunya berjudul “Watak-watak Penting Dalam Sulalatus-Salatin”. Judul buku ini, apalagi bab berkenaan, tidak dapat dielakkan lagi mengingatkanku kepada buku kajian ilmiah ijazah sarjana muda di Universiti Malaya yang ikonik oleh Kassim Ahmad, Perwatakan Dalam Hikayat Hang Tuah (DBP, 1964).
Sebuah buku kecil tetapi bermakna diterbitkan Utusan Melayu pada tahun 1980, cetakan pertama. Ia adalah kumpulan rencana Zainuddin Maidin dalam Utusan Malaysia dalam tahun 1978. Judulnya ialah Pertama Dan Terakhir. Sepatah Kata untuk buku ini ditulis oleh Mazlan Nordin, Ketua Pengarang, Kumpulan Utusan Melayu ketika itu. Reka bentuk kulit buku ini direka oleh Mohamed Wan Dagang. Membaca isi kandungannya, aku kira reka bentuk itu membawa maksud mengelirukan. Buku ini lebih berkaitan pengalaman Zainuddin Maidin, sedangkan kulitnya memprojekkan tema buku seolah-olahnya sama ada mengenai Tunku Abdul Rahman atau P. Ramlee, walaupun memang terdapat rencana-rencana mengenai tokoh-tokoh itu.
Ketika suatu ketika aku hanyut dan tenggelam dengan Peraduan Teka Kata akhbar Berita Harian dalam tahun-tahun 1980-an, aku banyak sekali merujuk kamus. Kamus-kamus rujukan utama adalah Kamus Dewan, An Unabridged English-Malay Dictionary oleh Sir R.O. Winstedt, Marican & Sons (Malaysia) Ltd., Third Edition, 1963, dan Kamus Sinonim oleh Haji Zainal Abidin Safarwan, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1984, cetakan pertama. Malangnya, penglibatanku dalam peraduan itu tidak membuahkan hasil. Ternyata bukan mudah memperoleh pendapatan sampingan secara “meneka”.
Sehubungan ini, sebagai pengumpul kamus, sebuah kamus terbitan Utusan yang ada dalam koleksi ialah Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, Edisi Ekonomi, 2002, setebal 2196 halaman. Aku suka memberitahu, sedikit kesal tidak mengambil pemberian percuma seseorang yang ingin melupuskan kamus ini edisi tahun 1995 pada suatu hari awal bulan November yang lepas. Sebabnya kerana telah memiliki Edisi Ekonomi ini. Naskhah berkenaan (yang asal itu) biarlah menjadi rezeki orang lain, fikirku!
Sementelahan menyentuh kamus, elok juga disebut Kamus Peribahasa Lengkap Utusan susunan Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, 1993. Utusan Melayu mengulang cetak Kamus pada tahun 1994. Aku percaya para pembaca mendapat banyak faedah merujuk kamus ini kerana penyusunnya telah merujuk kamus-kamus seumpamanya yang lebih awal terbit seperti Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Kamus Simpulan Bahasa (oleh Abdullah Hussain), Tikaman Bahasa oleh Mohd. Adnan Mohd. Ariffin, Mestika Bahasa oleh Muhammad Yusof Mustafa, Kitab Kiliran Budi oleh W.G. Shellabear dan lain-lain.
Image may contain: 1 person, hat, text that says "TAN SRI DATUK SAMAD IDRIS ASKAR MELAYU 50TAHUN"
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 19 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Ya, lagi2 
    terbaik
     drp karya fb Dato' Ahmad Said .. terima kasih Dato'
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Dato...... masih ada naskah Askar Melayu ini yang di jual di Utusan Publication?
    Rasanya, kamus peribahasa di tulis oleh Abdullah Hussain dan Ainon Mohd.
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment