Utusan Melayu: Kunjung penamat (6)
Ketika sudah mulai bekerja sebagai Pegawai PTD pada tahun 1974, teringat sebuah buku menarik karangan Dr. Nordin Selat, Kelas Menengah Pentadbir Melayu, diterbitkan oleh Utusan Melayu pada tahun 1976 (Siri Buku Pengetahuan Utusan). Buku ini asalnya tesis Ph.D. pengarang di Universiti Malaya pada tahun 1975. Kandungannya mengenai perkembangan gaya hidup pentadbir MCS (sekarang dikenali PTD). Ia menjadi perhatian kerana membabitkan perkhidmatan yang aku termasuk salah seorang pernah mendukunginya. Namun, walaupun ada beberapa fikiran atau pandangan pengarang itu boleh diterima, keseluruhannya masih tidak menepati. Ketika itu, ada juga golongan dalam perkhidmatan PTD itu tidaklah kebaratan seperti yang dipaparkan oleh Nordin. Aku salah seorang daripadanya.
Dr. Nordin Selat menulis sebuah lagi buku, Renungan, (1978, cetakan pertama, Siri Bacaan Umum Utusan). Buku ini adalah kompilasi tulisan-tulisan beliau “sejak tahun 1970”. Ia merangkumi aspek-aspek yang dikategorikan sebagai pelajaran, kelas menengah Melayu, kemiskinan, politik, kepimpinan, penulis, belia, dan adat.
Dari segi kesusasteraan, salah sebuah buku yang baik diterbitkan berjudul Di Penjuru Matamu (1975, cetakan pertama, Siri Buku-buku Sekolah Utusan), sebuah antologi sajak. Termuat di dalamnya 60 sajak yang dikumpulkan oleh A. Wahab Ali, Kamaruzzaman Abdul Kadir, dan Yahya Hussin. Kata Pengantar yang menarik disediakan oleh Awang Had Salleh, Ph.D. Antologi ini boleh dikira popular. Naskhah dalam koleksiku adalah cetakan kesebelas, 1981.
Pada tahun 1978, Utusan Publications & Distributors menerbitkan sebuah kumpulan puisi karya Rahman Shaari berjudul Hamparan Kuning. Sebanyak 48 sajak termuat dalam kumpulan ini yang di bawah siri Kumpulan Sajak Utusan.
Sebuah lagi kumpulan puisi awal terbitan Utusan Melayu ialah Kamarul Ariffin, Nota Seorang Pengembara (1983). Pereka bentuk kulit kumpulan puisi ini ialah Syed Ahmad Jamal dan Kata Pengantarnya ditulis oleh Usman Awang. Sebanyak 117 puisi, sembilan lakaran yang menarik termuat di dalamnya. Tempoh ciptaan sajak-sajak itu meliputi tahun 1960 hingga 1981.
Dalam genre novel, buku terawal terbitan Utusan Melayu dalam koleksiku ialah Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Ia mulai terbit sebagai cetakan pertama pada tahun 1966. Aku menyimpan naskhah cetakan ketiga tahun 1971 (tercatat harganya $3.00). Naskhah ini memberi profil Shahnon Ahmad di kulit belakangnya. Aku juga menyimpan novel yang sama cetakan kelapan tahun 1976 (dicetak oleh Utusan Printcorp Sdn. Bhd.). Hiasan kulit direkabentuk oleh Abu Hassan Yusof, Pengarah Rekabentuk Utusan. Naskhah ini dinyatakan terbit di bawah Siri Novel Utusan.
Novel lain dalam koleksiku ialah Tamu 31 Ogos oleh Mustaffa Suhaimi (1967). Selain itu ialah A. Wahab Ali, Angin Hitam (1972, cetakan pertama 1968). Novel ini memenangi “Hadiah Penghargaan” dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1962. Sebuah yang lain, Ibrahim Omar, Patah Galah Haluan Perahu (1975, cetakan pertama 1973, Siri Novel Utusan). Pada tahun 1976 terbit novel kecil Abdullah Hussain, Noni. Novel setebal 133 halaman ini dicetak kali kedua pada tahun 1977. Gambar atau reka bentuk kulit dilukis oleh Zainal Buang Hussein.
Sebuah lagi hasil karya Ibrahim Omar terbitan Utusan Melayu dalam koleksi ialah Rembang Merah, (1985, cetakan pertama 1979, Siri Novel Utusan). Di bawah siri yang sama Utusan Melayu menerbitkan dua novel karya Baharudin C.D., Balada Orang Bercinta (1978), dan Arca Berdiri Senja (1978). Novel disebut kemudian ini memenangi hadiah pertama Sayembara Novel Hari Guru 1976.
Utusan juga menerbitkan novel Rahman Haji Yusof berjudul Tenang Tak Tenang (1979), 107 halaman. Novel Tenang Tak Tenang adalah novel kedua beliau. Novel ini “memusatkan persoalan bumiputera yang sedang dilanda wabak mahu jadi OKB dalam sekelip mata melalui kekayaan kayu-kayu balak. … Lalu diceritakan dengan gaya yang sinis…” Dalam profil di kulit belakang dinyatakan Rahman memenangi hadiah sagu hati Sayembara Novel Gapena 1976 dengan novel “Warna-warna”.
Satu inisiatif yang wajar dipuji dilakukan oleh Utusan Melayu ialah menerbitkan majalah kesusasteraan Karya ketika di bawah pimpinan Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Johan Jaaffar. Pengarangnya ialah Wan Hamzah Awang (Wahba). Majalah ini muncul mulai Oktober 1997. Dalam ruangan “Dari Ketua Pengarang”, Johan Jaaffar menulis, “Karya lahir dengan harapan setinggi gunung – untuk mengisi kekosongan sebuah penerbitan sastera untuk semua.” Kuperhatikan salah seorang penyumbang puisi dalam keluaran sulung itu ialah teman fbku, Hilmi Rindu, Kuala Terengganu, “Catatan Tentang Waktu”.
Dalam suatu hantaran dalam laman fbku beberapa tahun dahulu, tertulis, “Majalah “Karya” mengalu-alukan sumbangan karya kreatif para penulis muda. Mengenai ruangan, “…Luahan Rasa (sajak), janganlah tulis sajak yang terlalu panjang. Tulislah sajak yang ringkas dan pendek sahaja.” (Lihat, Karya, Bil. 03, Disember 1997, muka surat 57).
Dalam koleksi saya ada empat keluaran [Oktober, November, Disember 1997 dan Januari 1998]. Saya kurang pasti jumlah semuanya. Baru-baru ini saya ada bercakap-cakap dengan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan ketika itu (sekarang bergelar Tan Sri). Ada kami berbual pendek tentang Pelita Bahasa yang beliau pun terlibat utama tetapi tak sempat saya menyebut “Karya”. Mungkin pada kesempatan lain saya akan bangkitkan untuk mendengar reaksi beliau.”
Adakah kawan-kawan fbku mengetahui kenapakah Karya gagal bersaing dengan Dewan Sastera lalu berkubur ketika masih bayi?
(Bersambung).
No comments:
Post a Comment