Utusan Melayu: Kunjung penamat (10)
Shahnon Ahmad, bertugas di Universiti Sains Malaysia sebagai tutor pada tahun 1972 dan selama 2 tahun beliau mengendalikan kelas-kelas tutorial puisi. Bahan-bahan dan hasil-hasil perbincangan dalam kelas berkenaan telah diperkemas, ditulis semula dan dihantar untuk Dewan Bahasa dan Dewan Sastera. Bahan-bahan ini juga menjadi perbincangan para mahasiswa yang mengikuti Kursus Puisi Melayu Moden yang dikendalikan Shahnon Ahmad pada sesi akademik tahun 1974/1975. Kemudian rencana-rencana itu dikumpul dan hasilnya terbitlah buku Penglibatan Dalam Puisi (1978) oleh Utusan Publications & Distributors.
Dalam buku ini, tanpa sebab-sebab khusus pemilihan karyawan-karyawan, Shahnon Ahmad berbicara tentang puisi dan membincangkan juga sajak-sajak karya Latiff Mohidin, Zurinah Hassan, Noor S.I., M. Ghazali, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Kassim Ahmad dan Chairil Anwar. Aku ingat telah pernah membaca rencana-rencana asal di dalam majalah-majalah berkenaan ketika itu.
Untuk paparan ini, dengan lebih menjurus dan terpilih aku merujuk Bab 7, Shahnon Ahmad, “Zurinah Hassan Dengan Kehilangan Kemanusiaannya”, muka surat 69-88, membicarakan sajak-sajak Zurinah Hassan. Dalam bibliografi peribadi susunanku, tersenarai Shahnon Ahmad, “Penyair Kehilangan Kemanusiaan” (Sesayup Jalan oleh Zurinah Hassan), Dewan Sastera, November 1975, muka surat 14-19. Tentulah Zurinah telah membacanya.
Pengakuan Zurinah terhadap kepemuisian beliau oleh Shahnon dapat pula dibaca dalam Cikgu Shahnon Di Mata Kami, (ITBM/Pena, 2013), yang disusun oleh Rahimidin Zahari. Zurinah menulis, “…saya ingin khabarkan kepada dunia bahawa Shahnon Ahmad ialah orang yang pertama mengiktiraf saya sebagai seorang penyair.” (“Shahnon, Yang Pertama Mengiktiraf Saya”, muka surat 169).
Barangkali ada kaitan juga aku menyalin apa yang pernah kutulis tentang pembicaraan Shahnon itu dalam laman fbku sendiri beberapa tahun yang lalu, “ Buku ini [Sesayup Jalan] yang saya miliki masih ‘baru’. Tentang “Sesayup Jalan”, saya tidak lupa ulasan Shahnon Ahmad, “Penyair Kehilangan Kemanusiaan”, Dewan Sastera, November 1975, muka surat 14-19. Saya merujuk semula majalah itu dan menyalin dua ayat pertama perenggan terakhir, “Keseluruhannya ZH penyair wanita yang besar bakatnya. Bakat ini adalah batasnya kalau ZH sendiri sedar tentang skop imaginasinya. …. “ (muka surat 19). Hingga sekarang, tempoh 38 tahun telah membuktikan bakat itu, melalui kejayaan demi kejayaan. Syabas!”
Selanjutnya, dalam Bab 12, Shahnon membicarakan Kassim Ahmad berjudul, “Kassim Ahmad dan Kesonderannya”, muka surat 163-180. Walaupun tiada dinyatakan dalam bukunya ini, aku percaya bab ini adalah tulisan Shahnon Ahmad, “Kassim Ahmad Dengan Kesonderannya”, Dewan Sastera, April 1974, muka surat 46-50, 60. Mengikut bibliografi peribadi susunanku, rencana Shahnon itu adalah ulasan terhadap Kemarau Di Lembah Kassim Ahmad. Daripada beberapa petikan sajak Kassim dalam bab ini aku pilih menyiarkan sekelumit yang ini: “wahai kamu yang menyair/aku menyeru kepadamu mendengar kembali/segala lagu-lagu/yang senang dalam tafakur kau hamburkan/ke angin lalu/mengeluhkan lagu-lagu maut.” muka surat 171.
Yahya Ismail, ketika itupun ada menulis sebuah buku diterbitkan Utusan Melayu. Judulnya ialah Bimbingan Sastera Melayu Lama, (1975). Yahya sebenarnya lebih dikenali sebagai pengkritik yang banyak menyentuh bidang Kesusasteraan Melayu Moden. Dalam “Pendahuluan” Yahya menulis, buku “ini bukanlah satu kajian ilmiah… sebagai bimbingan kepada para peminat sastera, kepada para guru dan pelajar-pelajar di tingkatan lima dan enam dan sebagainya…”. Sementara itu, berdasarkan fail kajianku (peribadi), tulisan terawal mengenai Kesusasteraan Melayu Lama oleh Yahya Ismail berjudul “Sedikit Tentang Naskhah Lama Melayu”, Dewan Bahasa, September 1963, muka surat 407-418. Dalam rencana disebut ini disenaraikan naskhah-naskhah lama himpunan Farquhar, Raffles dan Perpustakaan Universiti Leiden.
Sebagai menghiasi rencana ini sukalah aku memetik sebuah puisi dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang dimuatkan Yahya Ismail dalam buku beliau itu (disalin tanpa diubah):
“Ayohai dara Zulaikha tingkap,
Bangun apalah engkau!
Asal mu orang terjunan pengiran,
Kerana engkau penghulu gondikku,
Bergelar Tun Derma Dikara
Bangun apalah engkau!
Tidakkah dengar bunyi
Genderang perang di Tukasan?
[Palu tabuh tabuhan?]
Palu tabuh tabuhan!
Hari dinihari, bulan pun terang.”
Aku merujuk sumber yang lain untuk mengesahkan “gurindam” ini dari segi ketepatan penyalinannya. Ia tidaklah berbeza kecuali dari segi kelainan ejaan dan tanda-tanda bacaan yang amat kecil serta tiada perulangan kalimat seperti yang kutandakan dalam [ ] itu. Sumber perbandingan itu, Muhd. Mansur Abdullah, 1988. Pengantar Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise, muka surat 258.
Pun, bagi sesiapa yang mahu petikan “bahasa berirama” ini, yang kukira meyakinkan dan lengkap, lihat Prof. Teuku Iskandar, “Puisi Dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional”, dalam Siti Hawa Haji Salleh (penyelenggara), 1987. Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, muka surat 88. Teuku Iskandar, sebagai contoh, menulis “… Dara Zulaikha Tingkap” (bukan “dara Zulaikha tingkap”), “peng(a)liran” (bukan “pengiran”).

No comments:
Post a Comment