Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Thailand (15): Masjid empat abad

Lebuhraya yang sama diambil ketika menuju satu destinasi lain, destinasi terakhir. Kata Din, Masjid Wadi Hussein yang bersejarah, destinasi itu, terletak di Kampung Teluk Manuk, Narathiwat. Dari Bandar Pattani jaraknya 72 kilometer. Sedang kereta meluncur, aku tidak melepaskan peluang memperhatikan pemandangan sepanjang jalan. Sekurang-kurangnya ia pemerhatian yang kedua, pemerhatian ulangan, kerana perjalanan ke Muzium Tuan Guru Haji Sulong dianggap pemerhatian yang pertama.
Pada tempat-tempatnya aku perhatikan ada ‘pasar tani’ atau ‘pasar malam’ di tepi jalanraya. Nampak gerai-gerai dan penduduk berkunjung, kebanyakan menaiki motosikal. Petang masih cerah walaupun sudah boleh benar dipanggil senja. Terlintas di minda, “aman dan kampungan” di sini!
Din terus memandu. Tiba-tiba dia terasa telah melampaui destinasi. Pada satu kawasan perkampungan Din memberhentikan kereta dan bertanyakan kedudukan sebenar masjid terkenal itu. Orang itu memberitahu kedudukannya masih di hadapan. Kami bergerak terus. Pada satu kali pertanyaan dengan seorang lain di hadapan ternyata kami telah terlajak.
Kami berpatah balik melakukan pusingan U dan beberapa kilometer kemudian mengambil jalan kecil ke kiri menuju ke perkampungan berlatar belakangkan satu perbukitan (kemudian diketahui bernama Bukit Budur). Selepas empat atau lima kilometer ke dalam Din terasa tersalah masuk. Dia bertanya seorang perempuan yang berumah di situ, diberitahu kedudukan jalan sebenarnya, satu jalan lain dimasuki pada jalan lebih ke hadapan, dari lebuhraya tadi. Kata perempuan itu, jalan yang kami ikuti itu boleh juga menyampaikan kami ke destinasi tetapi dianggap lebih jauh dan sedikit berbelit.
Din berundur memasuki lebuhraya semula. Kenderaan dipandu ke hadapan. Lebih kurang satu kilometer. Dia membelok ke kiri, cuba hendak memasuki jalan itu tetapi sebelum meneruskan Din bertanya seorang wanita muda yang kebetulan ada di simpang itu. Kami diberitahu jalan sebenarnya satu jalan lagi di hadapan. Hampir satu kilometer di depan Din membelok masuk dan dia sendiri mengakui itulah jalan yang betul. “Jalan itu jalan bersimen”, Din teringat. Kata Din dia ingat-ingat lupa kerana agak lama tidak datang ke situ.
Kami menuju ke depan sekira-kira satu kilometer dan akhirnya tiba. Kelihatan sudah masjid itu. Betul-betul di luar pintu pagar masjid itu, di kiri kanan, ada rumah yang sekali gus dijadikan tempat memperagakan barangan jualan termasuk cenderamata-cenderamata tentang masjid dan pelancongan yang lain. Kami tidak singgah sebaliknya terus memasuki pekarangan masjid. Din memberhentikan kereta di tanah lapang pekarangan berhadapan sebuah bangunan ‘sekolah kanak-kanak’ tentulah milik masjid itu.
Selain masjid, berdekatan mengelilinginya, ada beberapa rumah. Waktu kami tiba jam sudah pukul 5 petang. Kami terus menaiki masjid melalui tangga batu yang besar di rusuk masjid. Tangga itu, tentunya binaan baru, terletak di tengah-tengah seakan menandakan sempadan bangunan lama dan tambahannya, menjadikan masjid itu lebih panjang daripada yang asal.
Kami melihat-lihat dalaman masjid – mimbar, geduk, tangga menaiki menara, tiang-tiang, pintu, jendela, atap dan lain-lain. Memanglah ia masjid kayu, boleh jadi cengal. Kemudian kami menuju ke belakang masjid, pada anjung atau serambinya. Ada tiga orang ahli kariah masjid sedang berbual-bual. Kami bersalaman memperkenalkan diri, menyatakan dari Kelantan. Tentulah lazim bagi mereka berjumpa orang-orang seperti kami. Kelantan dan Narathiwat bukannya jauh. Bersempadan lagi pula menggunakan bahasa percakapan harian yang sama. Kami tidak ada masalah berkomunikasi. Tidaklah banyak perkara yang kami perbualkan kerana mereka pun sudah mahu beredar. Mungkin hendak pulang ke rumah masing-masing.
Kami turun semula dari masjid itu. Berhampiran, di sebelah kiri masjid itu mengalir sebatang anak sungai. Beberapa orang kanak-kanak sedang bermandian dekat dengan ‘gertak’ yang dibina untuk menyeberang ke sebelah bertentangan. Di sana aku melihat budak-budak kampung sedang bermain bola sepak. Di sebelah padang bola itu terdapat perkuburan Islam yang agak besar juga. Sebahagian besar batu-batu nesan yang dapat kupandang dari jauh sudah ternyata berusia. Mungkin tidak jauh bersenggang daripada usia masjid.
Seperti pernah kutulis secara ringkas dalam fb sebelum ini, Masjid Teluk Manuk atau nama rasminya Masjid Wadi Al-Husein ini pernah kubaca ceritanya dalam rencana ditulis oleh Ahmad Fathy al Fathoni, “Masjid Wadi Hussein Narathiwat”, Pengasuh, Bilangan 486, April-Mei 1987, muka surat 38-41. Pada jalan masuk tadi, dan pada beberapa papan jalanraya yang kami lintasi diuaruarkan masjid ini sebagai “300 years Mosque”. Ia satu produk pelancongan wilayah itu.
Pada satu papan maklumat yang didirikan di pekarangan masjid tercatat sedikit keterangan yang semakin kabur, walaupun boleh dibaca, dengan susah payah. Diterangkan “Wadi Al-Husein Mosque”, telah dibina pada 1044 H (1624 A.D.) oleh Wan Hussein peneroka “Due Lok Mano Village”. Rencana Ahmad Fathy yang saya rujuki menyebut bahawa masjid dibina “sekitar 350 tahun”, bermakna sekarang (tahun 2019) berusia 382 tahun. Carian dalam internet menemukan saya dengan angka “385” bahkan “394” tahun! Dari satu sumber lain, ku petik; “Mengikut buku laporan ulang tahun 370 tahun Masjid Wadi Al-Hussin dibina pada 1624.” (Lihat, Salleh Mohd. Akib, “Masjid Tua Kampung Laut”, PMNK, Kota Bharu, 2003, muka surat 81). Wan Hussein Senawi, kata Ahmad Fathy, ialah seorang ulama dan hafiz dari kampung Sena, Fatoni. Beliau ialah nenek saudara Syeikh Daud Al-Fatoni.
Aku sendiri tidak meneliti hal ehwal masjid ini kerana kesuntukan masa. Tiada pula individu tempatan boleh dirujuk serta-merta. Elok kukira dipetik tulisan Ahmad Fathy, “Selain itu diceritakan juga bahan-bahan lama milik masjid; tujuh naskhah al-Quran tulisan tangan, kitab-kitab lama yang juga bertulis tangan, beliung, satu kawah besar yang boleh menanak nasi untuk 300 orang tamu dan lain-lain. Kecuali beliung, semua bahan milik masjid ini sudah rosak; al-Quran dan kitab-kitab jadi reput dimakan cuaca dan setengahya hilang, sementara kawah besar yang tersimpan di bawah masjid jadi tembus dan kemudiannya serpih menjadi kepingan-kepingan yang tidak boleh digunakan.”
Aku mengambil juga gambar papan kenyataan kutipan tabung masjid yang tergantung di dinding bahagian belakang masjid. Ternyata setiap minggu masjid memperoleh paling rendah, 1,480 Baht (RM123) dan paling tinggi, 3,649 Baht (RM304)! Ada juga catatan RM di papan itu, yang kutafsirkan sebagai wang ringgit Malaysia. Besar kemungkinan wang berkenaan didermakan oleh para pelawat dari Malaysia yang berkesempatan berkunjung di masjid itu.
Jam tetap mendetik tua. Kami pun berlalu meninggalkan pekarangan masjid kira-kira pukul 5.15 petang. Tidak pula kami singgah meninjau paparan barangan cenderamata di kedai-kedai di pintu pagar masjid. Sebelum kami sampai di lebuhraya, kenderaan kami ditahan oleh sekumpulan ‘soldadu’ bersenjata. Din memberhentikan kenderaan sambil mengucapkan “Sawatdi Khrap” dan “Assalamualaikum”. Aku dengar seorang daripada mereka menjawab salam Din. Din memberitahu mereka dia membawa kami dari Malaysia melawat masjid tua tadi. Mereka memperhatikan kami melalui cermin kereta dan kemudian mengisyaratkan kami meneruskan perjalanan. Kumpulan soldadu berpakaian seragam kelabu seperti ini dapat kulihat meronda di beberapa tempat lain di sepanjang perjalanan kami.
Sedang kami meluncur di lebuhraya , tiba-tiba aku terfikir; “Lima tahun lagi Masjid Wadi Al-Husein akan mencapai usia 400 tahun. Mereka yang bertanggungjawab mengendalikan masjid itu seharusnya merancang untuk menyambut genap empat abad pembinaannya. Satu majlis kesyukuran berisi acara bermanfaat kukira suatu fardhu kifayah yang sangat dihargai oleh masyarakat Islam sewilayah.
Aku mendahulukan ucapan, “Selamat Ulang Tahun Empat Abad Masjid Wadi Al-Husein”.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 20 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment