Tuesday 29 December 2020

 Kembara Thailand (1): Menuju sempadan utara

Kami meninggalkan rumah di Kampung Tunku pada jam 12.45 tengah hari, Ahad 15 Jun 2019. Untuk memasuki Lebuhraya PLUS tidak mudah. Walaupun pada hari Ahad, jalanraya sesak di merata-rata tempat. Syawal masuk 11 haribulan. Kami terpaksa mencari laluan melalui Kayu Ara, Kota Damansara dan keluar di Sungai Buluh sebelum akhirnya memasuki lebuhraya PLUS.
Arus trafik menghala utara lancar. Lebih kurang 3.30 petang kami singgah di R&R Tapah untuk solat jamak taqdim. Di sini ramai orang singgah. Benar-benarlah suasana Hari Raya masih hidup. Orang berjalan ke destinasi masing-masing, lanjutan perayaan Aidilfitri. Pada lebih kurang 3.45 petang kereta kami meluncur lagi. Perjalanan lancar sungguhpun kenderaan banyak. Kuperhatikan trafik yang mengarah ke selatan berganda lebih banyak. Pada satu tempat berlaku kemalangan di laluan mengarah ke selatan dan kami lihat kenderaan terhenti bergerak untuk sepanjang 6-7 kilometer.
Selepas melepasi tol Juru, lebuhraya sesak semula. Tentulah banyak juga kenderaan yang menuju ke Jambatan Pulau Pinang. Pun kenderaan di lebuhraya di kawasan Seberang Jaya sebelum menghampiri plaza tol Sungai Dua tetap bersesakan. Perjalanan lancar semula selepas melepasi plaza ini.
Berkenderaan di lebuhraya bahagian Kedah sentiasa disenangi terutama kerana pemandangan sawah padi yang luas menyejukkan mata.
Ketika tiba di Napuh, berhampiran Changlun, aku teringat cendol pulut yang sentiasa kusinggahi setiap kali melintasi Restoran Haji Johari yang menjual makanan berkenaan. Dahulu, ketika berkhidmat di Pulau Pinang, bagi tempoh 1992-1996, restoran ini selalu kukunjungi setiap kali melintasi apabila bersiaran dengan famili atau menjalankan tugas-tugas rasmi di negeri Kedah, Perlis atau di Universiti Utara Malaysia, Satok.
Restoran itu ketika awalnya hanyalah sebuah gerai kecil tidak terpandang di tepi jalan yang mengkhususi Cendol Pulut. Beransur-ansur ia berkembang pesat, merobah status awalnya, muncul sebagai mercu tanda popular lebuhraya bahagian Kedah. Selepas lama kemudian restoran ini tetap kusinggahi lagi, dalam kesempatan berurusan rasmi walaupun dalam period persaraan. Ia kujelangi untuk menikmati sambil menilai semula cendol pulut itu dan juga kini, Laksa Kedah pula.
Kami singgah di Restoran Haji Johari lebih kurang pukul 6.50 petang. Ketika itu berkelompok-kelompok pelanggan lain dengan keluarga masing-masing sedang menikmati hidangan di tiga empat meja di restoran itu. Setelah mengambil tempat duduk tidak berjauhan dari kaunter kasyier, kami semua memesan makanan yang sama - Laksa Kedah dan Cendol Pulut. Dalam masa 10 atau belasan minit, pesanan kami tiba.
Kami pun menjamu selera. Ternyata masih tidak mengecewakan – Laksa Kedah terasa ‘kau’nya sedangkan Cendol Pulut tidaklah merosot kualitinya. Aku membayar kosnya – sekitar RM21.? sen. Kemudian, kami ke bilik air yang tersedia di bahagian belakang restoran. Penyenangan diri diberi keutamaan kerana kami akan berjalan jauh dalam keadaan hari semakin gelap. Ketika itu sudah masuk pukul 7.20 petang.
Kami mengisi petrol sampai penuh tangki di stesen Petron. Ini tindakan yang cerdik. Harga petrol di Thailand jauh lebih mahal. Tidak jauh di hadapan ialah pekan Changlun. Di sini di tepi lebuhraya kita boleh lihat terpampang iklan insuran kereta mempelawa mereka yang hendak memasuki Thailand dengan kenderaan sendiri membelinya.
Ketika tiba di Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam hari sudah mulai gelap. Deretan trailer bernombor plat Thailand kuanggarkan sepanjang suku kilometer. Mereka berengsut-engsut bergerak untuk melepasi sempadan sebelum memasuki Sadao.
Dengan kereta, kami melepasi sempadan Malaysia dan berhenti di bangunan Imigresen Thailand. Di situ kami memasuki Pejabat Pemeriksaan untuk mendapatkan borang untuk diisikan butir-butir peribadi. Sungguhpun kaunter borang itu tersedia di pintu masuk, petugas kaunter tiada di situ dan borang pun tiada diletakkan. Aku difahamkan borang percuma itu jika diletakkan tanpa kawalan akan segera habis – diambil orang yang tidak bertanggungjawab untuk diniagakan – kepada para pelancong dari Malaysia atau mereka yang memerlukannya untuk memasuki Thailand.
Borang itu perlu diambil di dalam pejabat – di belakang kaunter pegawai yang sedang bertugas. Borang itu perlu diisikan. Ramai juga pengunjung yang tiba tidak membawa pen sendiri. Mereka akan meminjam – dan pen isteriku telah dipinjam-pinjamkan. Kita memerlukan masa pula untuk menunggu pen itu dikembalikan iaitu selepas mereka selesai mengisikan maklumat mereka dalam borang-borang berkenaan.
Kami beratur bersama-sama para pelancong yang lain, hampir 95% memegang passport Malaysia di tangan mereka. Aku ternampak juga beberapa orang yang singgah makan di Restoran Haji Johari tadi beratur di lorong lain, dikhaskan untuk warganegara Thailand. Mereka jelas orang-orang Islam, tentunya berketurunan Melayu, menilik pakaian mereka, sama ada lelaki atau perempuan, saling tak tumpah seperti orang-orang Melayu di Malaysia juga.
Dalam kira-kira 15-20 minit kami sudah tampil di kaunter pemeriksaan. Passport dan borang peribadi yang diisikan tadi diserahkan kepada pegawai bertugas. Semuanya didapati teratur. Ia dicop sewajarnya.
Kami kembali ke kereta. Kembara kami melalui lebuhraya ke Bangkok, benar-benar bermula sekarang. Di lebuhraya Malaysia perjalanan kami telah mencapai lebih kurang 500 kilometer.
No photo description available.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 16 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment