Thursday, 31 December 2020

 Utusan Melayu: Kunjung penamat (15) – Ilustrasi, komik & kartun

“Utusan Kiblat” adalah salah sebuah majalah terawal terbitan Utusan iaitu selepas terbitnya Mastika, yang jauh lebih mendahului, Wanita dan URTV. Tetapi tentulah pengalaman mengendalikan Mastika, dan majalah-majalah lain, serta tentunya akhbar-akhbar, menjadi panduan berguna untuk mengendalikan Utusan Kiblat.
Utusan Kiblat terbit pertama kali pada Ogos 1970. Pun, aku hanya memiliki naskhah-naskhahnya yang lain, mulai dengan Bilangan 2, Tahun 1, September 1970. Belekan selintas terhadap terbitan tahun 1970, 1971, 1972, 1973 dan 1974 majalah Utusan Kiblat menjadi asas pemerian berikut.
Salah satu aspek yang mahu kusorot ialah tentang penggunaan ilustrasi. Majalah Mastika, misalnya menghiasi ruangan cerpen dengan ilustrasi. Sebagai contoh, cerpen pilihan Yahaya Ismail, Jakarta, “Tua Semakin Tua…”, Mastika Oktober 1969. Sayangnya tiada diketahui ilustratornya kerana tidak bertandatangan. Bagaimanapun, ilustrasi bagi cerpen terjemahan “Pergulatan” karya Tan Kong Peng (alihbahasa Rusman Ali) mempunyai tandatangan A. Shukor Lin 69. Cerpen pilihan “Tumpang Kasih Suami Orang” oleh Salmiah Rahman dihiasi ilustrasi oleh A. Shukur Lin 70 (?), (berdasarkan tandatangannya yang boleh dilihat jelas). (Rujuk, Mastika, Mac 1970, muka surat 41).
Peminat kartun, komik atau ilustrasi tidaklah akan kecewa kalau membaca Utusan Kiblat. Seperti juga dalam Mastika, beberapa ruangan tetapnya dihiasi dengan ilustrasi yang menjadikan ruangan berkenaan lebih menarik lagi. Sebahagian pencipta ilustrasi itu boleh dikesan berdasarkan tandatangan masing-masing, sedangkan sebahagian lagi tidak diketahui kerana tidak dapat dikesan sebarang tandatangannya. Bagi ruangan kartun, semuanya dapat dikenali melalui nama-nama yang mereka gunakan yang terpampang jelas.
Seawalnya, Utusan Kiblat, September 1970, Bilangan 2, telah pun menggunakan ilustrasi (muka surat 32). Boleh jadi inilah ilustrasi sulung dalam Utusan Kiblat. Di samping itu yang menariknya, ada dua iklan dimuatkan dalam keluaran ini. Kedua-duanya menggunakan lukisan. Aku kurang pasti pelukisnya. Besar kemungkinannya Sulaiman Awang? Di sini dipamerkan juga salah sebuah iklan terawal yang dimaksudkan itu, Utusan Kiblat, November 1970, muka surat 44.
Gambar-gambar hiasan kulit biasanya berupa wajah-wajah tokoh atau personaliti dalam bentuk gambar foto. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kemudian Utusan Kiblat secara lebih sedar dan terarah menjadikan ilustrasi atau lukisan tokoh sebagai hiasan kulit depan majalah ini.
Dari segi penggunaan ilustrasi, Utusan Kiblat, November 1970 dianggap lebih menarik kerana hiasan kulit depannya adalah lukisan Allahyarham Jamal Abdul Naser dan Anwar Sadat. Sayangnya pelukisnya tidak dapat ditelah. Halaman-halaman dalaman keluaran ini, di muka surat 8 dan 21, termuat ilustrasi-ilustrasi, juga tanpa nama-nama ilustratornya.
Dalam Utusan Kiblat, ruangan-ruangan tetap yang memuatkan ilustrasi sebagai hiasan ialah Kisah Dari Al-Quran (susunan Mama Zizi), Pak Pandir Moden (oleh Ishak Haji Muhammad), Ungkapan Suci (sajak) dan ruangan selingan kartun. Pada umumnya terdapat empat ilustrasi/kartun yang dimuatkan dalam sesatu keluaran.
(Bersambung)
La Hami Bin Ahmad, M Jusoff Taib and 15 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Dulu sy bnyk menyimpan majalah Utusan Kiblat era awal 70an..malangnya semua rosak dimkn anai2..
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Contoh ilustrasi A. Shukur Lin dalam Mastika, Januari 1976.
    No photo description available.
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment