Utusan Melayu: Kunjung penamat (9)
Barangkali ia sangat dianggap langka, kutemui Siri Kumpulan Cerpen Utusan Melayu, 10 Cerpen Masyarakat. Antologi ini mengandungi tiga siri sayangnya dalam koleksiku terdapat Bil. 2 dan Bil. 3 sahaja. Siri Pertama tercicir entah di mana.
Walau bagaimanapun, dalam “Pendahuluan Kata” Bil. 2 tertulis, “Sebenarnya kami tidak menyangka sekali-kali buku “10 Cerpen Masyarakat,” Siri Pertama Kumpulan Cerpen Utusan Melayu, telah begitu baik mendapat sambutan para pembaca, sehingga selama dua tiga bulan sahaja buku-buku itu berada di pasaran, sudah hampir habis terjual semuanya.”
Sehubungan ini, tercatat dalam naskhah koleksiku, Bil. 2 ini adalah cetakan kedua Disember 1963. Cetakan pertamanya ialah Mei 1963.
Penyusunnya ialah Tengku Abubakar Husny. Beliau juga menulis satu rencana yang menarik dalam antologi ini berjudul “Tinjauan Perkembangan Cerpen Dari Dahulu Sehingga Sekarang.” Antara lain, kata beliau, “Cerpen-cerpen Melayu mulai tersebar dalam tahun 1925 dalam Majalah Guru. Walaupun cerpen-cerpen sudah mulai tersiar semenjak tahun itu, akan tetapi baiklah diambil tahun tiga puluhan sebagai tahun-tahun permulaan cerpen Melayu, kerana dalam masa inilah Abdul Rahim Kajai., bapa cerpenis Melayu mulai menumpukan tenaganya dalam penulisan cerpen…” (muka surat 8)
“10 Cerpen Masyarakat”, Bil. 3, dicetak pertama kali pada September 1963, juga disusun oleh Tengku Abubakar Husny. Sebuah rencana berjudul “Kajian Tentang Pengertian dan Aliran-aliran dalam Cerpen” oleh KHADMI dimuatkan (muka surat 7-21). Sementara itu “Sepintas Lalu Sorotan Cerpen Siri Ketiga” oleh NORA melengkapkan antologi ini (muka surat 129-136).
Setiap buah antologi ini berharga $1.00.
Harus juga aku nyatakan bahawa Utusan mengiklankan buku “Wartawan Dalam Seribu Suasana”, oleh Ghazali Ismail, cetakan kedua, $2.50, pada kulit belakang (muka dalam) naskhah 10 Cerpen Masyarakat Bil. 3 ini.
Terlanjur memperkatakan cerpen, majalah MASTIKA yang terawal kumiliki iaitu keluaran November 1966, memuatkan ruangan cerpen pilihannya dengan Raja Ahmad Niza, “Masanya Sudah Senja”, muka surat 45-49. Cerpen ini berilustrasi (boleh jadi oleh Sulaiman Awang). Satu rencana bertajuk “Bertemasya ke Pulau Perhentian” dikarang oleh S.M. Hassan tersiar di muka surat 15-18 dengan gambar pulau itu mengiringi. Ingatanku bercampur-aduk, lantaran di situlah aku pernah singgah berteduh ketika menjadi nelayan sementara (awak amatur) setiap waktu cuti penggal sekolah pada tahun-tahun 1960-an.
Sempena Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1986, Utusan Publications & Distributors menerbitkan antologi “Penantian” (1987) yang mengandungi 16 cerpen yang terpilih memenangi hadiah. Ia disusun oleh Wahba dan Nooraizam Al-Jeffry. Hasil-hasil kreatif yang diadili ialah yang termuat dalam pelbagai penerbitan Utusan Melayu sepanjang tahun 1986 (majalah-majalah Mastika, Wanita, Utusan Kiblat, Al Islam dan akhbar-akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman).
Bilangan asal cerpen-cerpen ialah 176 buah manakala sajak-sajak pula berjumlah 436. Panel Hakim terdiri daripada Profesor Mohd. Taib Osman, Profesor Madya Hashim Awang, Profesor Madya Ramli Isin dan Habsah Hassan.
Kata Panel Hakim, “… sesebuah cerpen yang dapat dikategorikan ke dalam cerpen-cerpen yang baik dan bernilai sastera itu adalah cerpen yang dapat menonjolkan keharmonian dan keseimbangan di antara pengolahan tema dan persoalan serta pemikiran dengan penerapan unsur-unsur teknik [alur penceritaan, watak dan perwatakan, latar dan atmosfera dan juga gaya penerapan bahasa.] itu.” (muka surat 1-2)
Empat orang pemenang utama terdiri daripada Baharin Ramly (“Dunia Orang Tua”), Baharudin C.D. (“Duka Tidak Memanjang”), Mohd. Ishak Abdul Rahman (“Penantian”), dan Mohd. Salleh Rahmad (Ranjau”).
Sebuah lagi antologi cerpen Hadiah Sastera Utusan-Public Bank yang terawal dalam koleksiku ialah “Sumarni” iaitu untuk karya-karya tersiar dalam tahun 1988 (1989, terbitan pertama, terbitan kedua 1991). Sejumlah 17 cerpen dihakimi pemenang-pemenang. Panel Hakim tidak berubah seperti dalam tahun 1986 di atas. Para pemenang utama terdiri daripada empat orang ialah Othman Puteh (“Datuk Pom”), Siti Aisah Murad (“Jari-jemari”), Suriati Ghazali (“Sumarni”), dan Zahari Affandi (“Anak Gembala”).
Seharusnya aku menegaskan bahawa dengan hanya mengambil kedua-dua tahun penilaian yang dinyatakan itu (1986 dan 1988) sahaja sebagai asas menilik masa depan, maka, yang tidak boleh bersalahan lagi ialah kegelitaan gambaran nasib yang menunggu pasti. Hakikatnya, sebanyak 176+176=352 cerpen tersiar dan diadili pada tahun-tahun penilaian tersebut. Tentulah pada tahun-tahun selepas itu lebih banyak lagi hasil-hasil kreatif kerana pertambahan bahan-bahan penerbitan.
Bayangkanlah penangan buruk ke atas potensi bidang kesusasteraan tanah air apabila Utusan Melayu berkubur. Penerbitan manakah lagi yang menampung hasil-hasil kreatif? Saban minggu, saban bulan, saban tahun! Seseorang tidak sukar meramalkan sendiri hala tuju karyawan atau sasterawan atau bakal-bakalnya.
No comments:
Post a Comment