Wednesday 30 December 2020

 Utusan Melayu: Kunjung penamat (2)

Seperti kuberitahu kasyier wanita yang satu-satunya itu semalam, hari ini (29 November, Jumaat) aku muncul lagi di gudang Utusan Melayu. Datangku berbekal niat untuk memunggah sebahagian lagi isi gudang buku gergasi itu.
Namun, malulah hendak cerita, aku terlajak mengambil lorong yang salah ketika beralih laluan di lebuhraya, mengakibatkan tambahan jarak dan masa perjalanan memandu Kelisa menjadi seganda lebih jauh dan lama. Memang, kejahilan menggunakan wave menjadikan kesilapan yang menderakan itu berlaku. Beberapa kali telah dialami sebelum ini. Ketiadaan alternatif yang lebih baik, memaksaku secara sabar bergantung kepadanya untuk sampai ke destinasi. Demikianlah.
Akhirnya aku berada lagi di gudang percetakan itu. Kali ini, dengan troli pasar menemani. Troli pasar ini kutukar fungsinya demi keselesaan pemerolehan ini. Elok ia dibawakan untuk meringankan penerokaan gudang dan pembawaan buku-buku pilihan ke tempat membayar yang relatif jauh. Usiaku salah satu penentu strategi ini.
Kelmarin sebanyak 70 buah buku telah kubawa pulang. Hari ini sebahagian lagi bakal dipilih. Antaranya beberapa buku bacaan kanak-kanak. Malam tadi teringat cucu-cucu harus dimanfaatkan juga. Mungkin elok mereka dihadiahi buku-buku berkualiti. Yang luar biasa saiznya.
Dan siri “Bacalah Adik” sebanyak 13 naskhah (siri 2C hingga 18) kumasukkan dalam troli pasar berwarna biru itu. Kalau setakat harga lima ringgit sebuah, dengan ‘kebesaran’ saiz, lagi pewarnaan yang canggih dan mewah, selengkap sirinya sekalipun tiada masalah untuk diborong habis. Fikirkan sebentar, harga kertasnya sahaja pun tentu lebih mahal daripada harga buku siap yang ditawarkan. Ini kes menang membayar menang mengguna. Tidak waras mengetepikan tawaran ini.
Sebenarnya mencapai naskhah-naskhah ini tidaklah mengambil banyak masa pun. Ia terletak setempat. Sayang sedikit siri ini tidak 100 peratus lengkap. Beberapa bilangan yang tercicir, gagal pula dikesan. Ia tidaklah mencacatkan siri itu. Tetapi, jika ditemui bilangan 1, 2A, 2B, 5, 6, 8, dan 16, barangkali hati jadi betul-betul puas. Terbayang maknanya, aku bakal mendatangi lagi gudang ini!
Aku tidak beredar selepas itu. Yang menjadikan aku tertahan, tidak meninggalkan premis, berpunca suatu sebab lain. Seperti biasa, sebabnya tidak lain, iaitu bisikan di kalbu. “Terokailah lagi. Tambahlah koleksi belekanmu”. Maka aku pun akurlah. Dicarilah buku-buku yang lain-lain. Alang-alang sudah berada di situ.
Kucapailah; buku-buku ‘coffee-table’ para pemimpin, buku-buku lukisan yang berkualiti, buku-buku bidang-bidang kegemaran, buku mencukupkan koleksi karya pengarang-pengarang terpilih, buku-buku versi atau edisi baharu. Lalu melimpahlah troli pasar itu. Kenalah aku membawa lebihannya berkepit pula. Sekadar memberi gambaran, sebuah buku berharga asal RM150.00 merudum ke RM10 (Traditional Malaysian Jewellery oleh Mohd Kassim Ali); RM95.00 jatuh kepada RM10.00 (Segerak Yusof Ghani oleh Muliyadi Mahamood); RM60.00 menjadi RM10.00 (Hikayat oleh Ninotaziz). Dan baaanyak lagi! Dengan harga menjunam.
Demikianlah hari kedua itu. Disedari azan Jumaat bakal bergema sejam lagi. Untuk balik ke Kampung Tunku 30 minit diperlukan. Aku tidak mahu terlengah. Dan buku-buku yang telah dipilih kutarik ke kasyier. Penuh dalam troli pasar itu. Sedikit lagi di kepit di ketiak. Maka, terbelilah 40 buah lagi buku untuk diangkut pulang.
Kelisaku sampai di masjid kampungku seperti seharusnya. Ketika aku turun ke bilik wuduk, imam sedang membuat pengumuman aktiviti mingguan masjid. Sejenak kemudian, Azan masuk waktu Jumaat dilaungkan.
Zulkifli Salleh, Rismayanti Idris and 17 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Berselisih ketika keluar.... Sama2 keluar... Dato gate pintu depan..... saya dari gate pintu belakang.....
    Kira-kira 100 meter dari lampu merah.... terdapat sebuah surau yang ada sholat jumaat. Saya berlabuh sebentar di sana. 😁
    • Like
    • Reply
    • 1 y
    • Edited
  • Murah nya dato buku buku tu... Xstanding dgn isi ya... Ilmu dlm nya
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment