Wednesday, 30 December 2020

 Kuala Berang: Usah bermadu kalau beradu

“Pak, saya ni ibu tunggal. Saya ada tiga orang anak. Yang tua sekali sudah berusia 21 tahun, perempuan. Yang kedua, belasan tahun, masih bersekolah (?) dan yang kecil baru meninggal dunia kemalangan. Ditanduk kerbau. Sekarang ada seorang lelaki yang sudah beristeri berkenan dengan saya. Dia mahu mengahwini saya. Kami sudah sering berjumpa dari semasa ke semasa. Saya tahu lelaki ini teguh ekonominya. Dia tidak menghadapi masalah menyarakan saya dan keluarga. Tetapi perhubungan kami tidak diketahui isterinya. Dengan isteri itu dia ada beberapa orang anak. Hakikat ini mendesak saya berfikir banyak kali untuk mempersetujui hasratnya. Ayah saya sendiri telah ditanya pendapatnya. Dia menasihati saya berfikir panjang. Yang jelas ayah saya tidak bersetuju saya berkahwin dengan lelaki ini.
Saya pernah meminta supaya lelaki itu memberitahu dan meminta izin isterinya mengenai cadangan mengahwini saya. Itu tidak dilakukan. “Mana orang perempuan bersetuju. Tentulah dia tidak membenarkan jika diminta izin.” Itulah katanya.
“Saya telah pernah beberapa kali mendesak hubungan kami diputuskan. Saya tidak mahu lagi berjumpa dengannya. Tetapi lelaki itu tetap berkeras sebaliknya. Jadi kami meneruskan perhubungan. Sudah dua tahun perhubungan ini. Saya semakin tertekan untuk memberikan keputusan muktamad. Saya tidak tahu lagi bagaimana hendak elakkan diri supaya tidak dihubungi lagi.”
Sengaja saya biarkan wanita itu menjelaskan masalah. Dia dapat memerikan persoalan itu secara yang tenang. Pada ketika-ketikanya cerita itu hampir menyebakkan dirinya, tetapi dapat pula dikawal, tidak sampai meledakkan esakan. Hanya dapat pula kulihat genangan air di mata yang mudah meleleh ke pipinya yang licin, bersih tetapi sedikit cengkung itu.
Tahulah aku masalahnya. Terjawablah rasa kehairanan awalku tadi. Wanita ini sedang tertekan. Seseorang perlu mendengar luahan perasaannya. Dia sedang bergelut dengan dilema. Mengalah terhadap desakan lelaki yang dia tidaklah keberatan menjadikannya suami atau menolak ‘lamaran’ kerana dia akan bermadu bahkan boleh mencetuskan huru-hara rumah tangga lelaki itu.
“Puan. Saya memberi pandangan dari perspektif sendiri. Saya bayangkan isteri lelaki itu sebagai anak perempuan saya. Dalam alam berumah tangga sekarang pun tentu ada pahit manisnya dilalui. Tentulah dengan suaminya berkahwin lain, walaupun memadukannya, anak saya itu tetap tidak gembira lagi. Perasaannya akan terluka. Dia tentu kecewa diperlakukan begitu. Tentulah anak saya itu akan meminta tolong menyelesaikan masalah di luar jangkaan itu. Tidak teragak-agak lagi saya akan memihak kepadanya. Mungkin saya akan mendepani menantu saya, suaminya itu. Saya akan menasihati suaminya membatalkan hasrat berpoligami. Apa hak dia untuk berkahwin seorang lagi. Dengan anak saya itu, dia sudah pun mempunyai beberapa orang anak. Comel-comel lagi sangat tergantung masa depan mereka kepada ketenteraman rumah tangga. Ertinya, ada tanggungjawab besar yang terpikul di bahu suaminya. Keluarga yang dibina selama ini harus berterusan dikongsi bersama. Suami dan isteri hendaklah mendukung amanah yang masing-masing berjanji ketika diijabkabulkan dulu. Kasih sayang tidak boleh berbelah bahagi.” Terus-terang saya menyatakan pendirian peribadi.
Wanita itu mendengar dengan teliti. Dia memahami rasional pendirian itu. Dia tidak pula terkejut. Pandangan seakan begitu telah pernah didengar. Ibu bapanya sendiri keberatan. Nasihatku tidak berbeza benar kerana pada akhirnya perkahwinan tidak sewajarnya berlaku. Pun, air mata jernih meleleh lagi di pipinya.
“Begitulah pandangan saya. Tapi puan boleh juga dengar pandangan lain. Saya boleh panggil isteri saya datang. Puan ceritakan masalah yang dihadapi ini. Kita dengar bersama-sama. Boleh jadi pandangan isteri saya berbeza dengan pandangan saya .”
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 16 others
3 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Sebagai seorang wanita saya berpendapat pandangan tuan sangat bernas.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Lelaki di takdir kan sebagai pemimpin. Perempuan tidak mencari cinta lelaki tetapi mencari seorg pemimpin yg memandu ke Surga Allah.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Kisah menarik.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment