Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Thailand (17): Kembali di rumah kosong

Jarak ICQS Rantau Panjang ke Kampung Pendek ialah 32 kilometer. Maknanya sudah dekat benar kami akan tiba di destinasi – rumah arwah ibu R. Tiada orang tinggal di rumah itu semenjak ibu mertuaku itu meninggal dunia pada hari pertama bulan Ramadan yang baru lalu. Din telah memberitahu akan menghantar kami sampai ke situ. Awal-awal lagi, semenjak kami disambutnya di lapangan terbang Narathiwat. Jadi tiada masalah langsung kami hadapi. Tidak perlu menyewa teksi. Kami tenang dan selesa. Betapa bertuah. Namun kami fikir perlu kami berhenti. Paling lajak pun di Pasir Mas. Untuk makan malam. Kalau tidak kami menghadapi kesukaran mencari tempat makan tanpa ada kenderaan apabila sampai di rumah.
Din tahu benar tempat-tempat makan di sekitar Pasir Mas. Dia membawa kami ke Restoran Seri Lemal berdekatan dengan bulatan besar di pangkal jambatan Pasir Mas-Salor. Di lokasi itu projek pembinaan raksasa jalan dan jejambat ke bandar Pasir Mas dari Lemal sedang dalam pembinaan. Peralatan dan bahan-bahan pembinaan dan suasana jelas menunjukkan status pelaksanaan projek – yang belum siap. Tentulah kalau siang hari habuk jalan boleh dilihat dengan jelas berpunca daripada aktiviti yang berkaitan. Din memasuki pekarangan restoran dan memberhentikan kereta di tempat parkir.
Kami memasuki restoran dan duduk di sebuah meja tepi berdekatan kaunter kasyier. Ramai juga pelanggan lain berada di situ menjamu selera. Din nampaknya mengenali staf restoran. Staf tertentu disapanya sambil bertanyakan sesuatu. Din memanggil seorang pembantu restoran dan kami diberikan menunya. Kami semua bersetuju memesan nasi goreng kampung. Khusus untukku ditambah semangkuk sup campur. R dan Din tidak ikut membuat ‘order’ tambahan kerana nasi goreng dikira memadai. Masing-masing memesan minuman. Aku seperti lazim, Nescafe Ais, R pula Lemon Ais. Lupa pula minuman Din.
Pembantu itu kemudian pergi. Tidak lama kami menunggu. Makanan yang dipesan dibawakan. Pembantu itu menghidangkannya di atas meja. Kami makan dalam bersantai. Aku mendahulukan nasi goreng. Supku yang dihirup menyusulinya terasa menyengat oleh panas dan pedasnya. Sukatannya dikira ‘super’ kerana diisikan dalam mangkuk saiz besar. Aku paling akhir selesai makan. Tentulah aku menjadi terlajak kenyang kerana paduan dua makanan itu. Hampir setengah jam juga kami di situ. Aku ke kaunter kasyier membayar. Makanan itu berharga, kalau tak silap ingatanku, RM34. Sup itu sendiri berharga RM7 atau RM8 (?).
Kami sudah dekat dengan Kampung Pendek, Batu 5 ½ Jalan Kota Bharu-Salor. Dari restoran Seri Lemal itu jaraknya kira-kira 9 kilometer. Kami meneruskan perjalanan. Beberapa ketika kemudian kami tiba. Kak Yah, kakak sulung R, yang berumah di sebelah rumah arwah mertuaku itu sudah menunggu. Dia yang memegang kunci rumah. R telah menghubunginya lebih awal. Jadi kami tidak perlu terkeloi-keloi untuk membuka pintu pagar yang lazimnya berkunci itu. Ketika itu waktu sedikit melepasi 10 malam.
Selama hampir 12 jam kami dibawa Din menjelajah wilayah Pattani dan Narathiwat. Perjalanan itu dikira ‘marathon’. Ia seakan berpergian di negara sendiri. Berpandu katakan! Tidak dapat dibayangkan sukarnya perjalanan kami tanpa Din menyedia, memandu kenderaan sekali gus mengiringi kunjungan ad hoc kami itu. Din orang yang berpengalaman di wilayah itu. Juga di Kelantan bahkan di Kuala Lumpur pun. Dia mengenali ramai orang, termasuk personaliti-personaliti berwibawa di selatan Siam dan Malaysia pun! Kami mengetahuinya kerana dalam sepanjang perjalanan kami tidak berhenti-henti berbual mengisi masa yang ada. Banyak maklumat terperingkat tercungkil.
Din menurunkan bagasi kami dari bonet kereta. Dia bermohon diri. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepadanya. Aku bersalam dengannya. Dia masuk ke kereta dan membuat pusingan U di situ langsung menuju ke Rantau Panjang melalui jalanraya yang sama dilalui tadi. Dalam hati kami, sudah terlintas kemungkinan bersama-sama Din semula dalam masa terdekat.
Kembara Thailand selama tujuh hari sudah berakhir. Tidak lagi kami bermalam di Thailand sebaliknya di Pendek, Kota Bharu. Aku dan R akan bermalam di rumah kosong tinggalan arwah ibu R sekali gus mertuaku. Berdua sahaja. Tiada orang lain. Bilik tidur kami adalah bilik yang sama ketika pertama kali aku bermalam 40 tahun dahulu!!!
M Jusoff Taib, Rismayanti Idris and 17 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment