Tuesday, 29 December 2020

 Fragmen Memoir Tak Jadi: Skim Perkhidmatan (3)

Slaid-slaid dalam ‘power point’ yang kusediakan berisi bahan-bahan yang lebih daripada mencukupi. Daripada komputer riba ia telah dipindahkan ke dalam ‘pen drive’. Pun, urusetia seminar kuminta memperbaiki teknik-teknik persembahan ‘power point’ agar lebih canggih. Memang aspek ini upayaku hanya ‘cukup makan’. Sedangkan ia sangat penting. Tidak boleh sekali-kali diperlekeh.
Bahan-bahan ceramah yang berfaedah tidak dapat meninggalkan impak yang berkesan kalau gagal disampaikan dengan berstrategi. Kecanggihan IT seharusnya tidak dipersesiakan. Pengalaman mentaklimat yang dulu-dulu jangan tidak dimanfaatkan biarpun sekali-sekali seperti hari ini. Dan urusetia memahami aspek keperluanku. Slaid-slaidku dimekap tangkas ke tahap piawai bukan amatur lagi!
Kandungan ceramahku mengalir mudah dari minda. Aku mengembleng pengalaman sebenar dengan fakta-fakta lalu berkaitan penggubalan skim perkhidmatan dan sistem saraan gaji sektor awam. Tentang latar belakang bidang yang diberi tumpuan, aku sudah baca buku Imbasan KPPA (1995) tulisan Tan Sri Mahmud Taib dan Service Par Excellence (2005) tulisan Dato' Wan Mansor Abdullah. Mereka adalah tokoh-tokoh penjawat awam yang berjasa. Daripada buku masing-masing terbukti sumbangannya. Bak harimau, buku-buku itu adalah ‘belang-belang’ yang sejati dan berkekalan.
Aku merujuk laporan-laporan Gaji Suffian, Aziz, Harun, Jawatankuasa Kabinet (JKK) dan SSB. Tentang Sistem Saraan Malaysia tidaklah kritikal sangat merujuk sumbernya. Sejarahnya terpahat di sanubari. Aku tahu selok-belok kewujudannya. Ketika digubal dan dibentangkan untuk persetujuan kerajaan aku sendiri terlibat; secara langsung bersama-sama pasukan terbabit dari awal sampai akhir. Jerih perih, senang gembira sama-sama diharungi dan dihirupi sepasukan. Pengetahuanku adalah pengetahuan orang dalam. Bukan pemerhati!
Hakikatnya, aku sendiri pun, dilantik ke perkhidmatan awam di bawah sistem saraan yang dihasilkan oleh Laporan Suffian dan berganti pula dengan sistem-sistem hasil cadangan-cadangan Laporan-laporan JKK, SSB dan SSM. Panjang tempohnya melangkaui lebih daripada tiga dekad. Berdasarkan fakta ini aku tidaklah asing untuk membahaskan persoalan yang diberikan.
(Foto: Cabutan helaian taklimat Kit Kenit Skim Perkhidmatan suatu ketika dulu)
No photo description available.
Zulkifli Salleh, Rismayanti Idris and 7 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment