Tuesday, 29 December 2020

 Rapuh 3/2019: O.T. Dussek (1)

Dalam ucapan kepada murid-murid yang telah lulus di sekolah latihan Sultan Idris Tanjung Malim, O.T. Dussek, ketua sekolah itu, dilapor menyatakan (seperti diterjemahkan daripada surat khabar Inggeris):
“Sekiranya awak semua dan juga ketua-ketua kampung tiada boleh memandukan orang-orang kampung kepada kehidupan yang lebih senang, lebih sihat dan lebih makmur siapalah lagi yang boleh. Awaklah sahaja orang-orang Melayu yang berpelajaran dalam bahasa awak sendiri.
Saya memandang kepada awak semua supaya menolong dalam pekerjaan itu. Awak ketahui baik-baik iaitu orang-orang yang pergi ke bandar kerana pelajarannya tinggal di dalam bandar itu serta berfikir dan membuat semacam orang-orang bandar berserta mereka itu lupakan kampungya sekali.
Hanyalah awak semua yang tinggal di dalam kampung-kampung itu mengetahui keadaan kehidupan yang sebenarnya di dalam kampung-kampung itu dan tertanggunglah di atas awak menimbulkan keadaan itu dan dengan seberapa daya upaya mencuba membaikkan lagi keadaan-keadaan itu.
Adalah seperkara lagi yang saya hendak menguatkan kepada awak iaitu kelapangan masa.
Orang-orang kampung sama ada guru-guru sekolah atau siapa-siapa lain semuanya ada kelapangan masa. Apakah awak hendak membuat dengan masa yang lapang itu? Adakah awak hendak duduk dengan sia-sia sepanjang-panjang hari di kedai-kedai kopi atau adakah awak hendak mencuba membaikkan lagi keadaan itu? Adakah awak hendak bermain atau duduk-duduk sahaja? Seperti main catur, bridge, bunyi-bunyian, menyanyi dan main wayang atau membaca? Atau adakah awak hendak hilangkan apa yang telah dibelajar dan apa yang awak telah biasa membuat di sekolah ini? Saya hendaklah menyebut sedikit darihal benih Tanah Melayu iaitu berhutang. Nampaknya semua orang-orang kampung ada berhutang sungguhpun telah dijalankan berbagai-bagai ikhtiar bagi menolongnya.
Saya bukannya menyalahkan awak semua kerana keadaan yang ada pada masa ini tetapi tentang yang berkenaan dengan sekolah-sekolah maka saya berkehendak menolong awak semua. Patutlah awak semua masuk menjadi ahli di dalam sebuah persekutuan berhidup dengan lebih baik dan mengurangkan serba-serbi perbelanjaan awak.
Tiap-tiap seorang daripada awak semua ada menyimpan wang di dalam bank simpanan dan sungguhpun tiada banyak pada masa ini tetapi hendaklah awak cuba menambahkan jumlahnya. Pada fikiran saya tiap-tiap seorang guru sekolah itu patut dipaksakan menyimpan wang di dalam bank simpanan itu dan memasukkan 10 peratus daripada gajinya ke dalam bank itu pada tiap-tiap bulan.
Awak mesti juga kerja sama-sama. Rasa saya barang yang dikehendaki besar sekali di kampung-kampung itu ialah kedai-kedai di dalam hampir-hampir tiap-tiap kampung maka tuan kedai kecil itu memegang semua perniagaan iaitu maknanya memegang semua wang itu dan didapatinya keuntungan daripada kedainya itu serta pula berkuasa di atas orang-orang kampung dengan sebab mereka itu berhutang kepadanya.
Bilalah lagi orang-orang Melayu hendak membuat pekerjaan itu. Di Tanjung Malim ada sebuah sekolah kerjasama itu yang telah berjalan lebih daripada dua tahun lamanya dan belum jatuh lagi.
Apa sebab tiada boleh dibuat begitu di dalam tiap-tiap kampung dan apa sebab orang-orang Melayu tidak boleh membeli beras dan lain-lain makanan daripada orang-orang Melayu juga.
Berkenaan dengan ini saya ada dapat mengetahui iaitu ada sekurang-kurangnya tiga buah kedai Melayu di Tapah dan adalah lebih kurang 20 buah kedai-kedai Melayu di dalam negeri Selangor.”
(Lihat, “Nasihat Tuan O.T. Dussek”, Lembaga Malaya, keluaran yang kelima puluh satu, 25 November 1935=29 Syaaban 1354, muka 14).
Gambar O.T. Dussek bersumberkan buku, Awang Had Salleh, 1974. “Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama.
Image may contain: 1 person, close-up, text that says "Encik O.T. DUSSEK"
Zulkifli Salleh, Awang Sariyan Kembara Bahasa and 33 others
8 comments
11 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • Baik nasihatnya 1.jgn berhutang..2.beli d kedai2 melayu..3.wujudkan kedai2 /koperasi melayu .GURU2 D WAJIBKAN MENABUNG 10% gaji ke BANK..
    2
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Melintasi, “On the final page of the September 1935 issue of the Malaysia Message Paul Means, the missionary editor, printed excerpts from a message given by O.T. Dussek to a college reunion at the Sultan Idris Training College for Malays. In it Dussek warned the students and alumni that their people were in a crisis, and that if changers were not made “the Malay will be destitute and disinherited in his own country.” Dussek closed by saying, “Malays, Awake!” But the voices of those in the Mission interested in understanding and responding to Dussek’s call to the Malays, and the rising tide of Malay nationalism, were few, and were drowned out by the clamour for new church buildings, more teachers, and bigger English language schools” (Lihat, Robert Hunt, 1996. “William Shellabear A Biography”, University of Malaya Press, pp. 320-321).
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Orang Melayu kena bangkit semula bersatu maju dalam pendidikan, business, politik n pentadbiran negara. Ada kemajuan walau setapak baru akan hatga diri n jati diri, rasa yakin utk maju lagi
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Dalam “Perleteran Pak Pandai” Lembaga Malaya, 26 Ogos 1936, muka 4, Pak Pandai mereaksi ucapan O.T. Dussek di atas, seperti berikut: “Panjang nampaknya rungutan Tuan O.T. Dussek Pengetua Sultan Idris Tanjung Malim berkenaan dengan keadaan orang-orang Melayu terutama sekali yang di kampung-kampung./Aku tidak berani hendak campur dalam perkara itu sebabnya perkara-perkara yang semacam itu bahagian si pengarang aku tetapi apalah salahnya jikalau aku katakan di sini aku banyak ada bersetuju dengan banyak yang dicakapkan oleh pengetua itu terutama sekali fasal anak-anak Melayu belajar Inggeris./Fasal orang-orang Melayu berhutang itupun sangatlah benarnya bagaimana kata Tuan Dussek. Siapa-siapa tidak percaya cubalah periksa sendiri daripada orang-orang kampung dan tanyalah berapa orang tiada berhutang kepada Pak Gondol atau Pak Janggut./Perkara berhutang itu susah benar perkaranya hendak dihapuskan, boleh juga kalau berhati tetapi kalau berhati sahaja dan tidak berduit akhirnya timbul juga fikiran di hati hendak mencari duit dengan jalan berhutang. Tidakkah begitu? Apa fikir engkau?”
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Dalam satu berita berjudul “Bangkitlah Melayu”, (Perkhabaran Tanah Melayu), “Lembaga Malaya” keluaran yang ketiga puluh tujuh bertarikh 19 Ogos 1935=20 Jamadilawal 1354, muka 20 tersiar laporan tentang ucapan O.T. Dussek. Ucapan itu disampaikan sempena hari perkumpulan murid-murid tua Sekolah Latihan Tanjung Malim “lebih kurang seminggu dahulu” [yang bermakna pertengahan bulan Ogos]. Seramai 1,100 guru-guru Melayu hadir di majlis tersebut. Ketika itu O.T. Dussek sudah menjadi ketua sekolah itu 21 tahun. “Pada penghabisan cakapnya itu maka tuan Dussek telah berkata bagaimana tuan-tuan sedia maklum maka barangkali saya tidak dapat hadir lagi dalam kumpulan murid-murid tua oleh kerana tidak lama lagi saya akan bersara dan bagi menutup kata maka saya akan berseru semula bagaimana seruan saya 20 tahun dahulu iaitu bangkitlah orang-orang Melayu.”
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Untuk mendapat huraian pendirian O.T. Dussek tentang pendidikan dan bahasa Melayu bacalah Awang Azman Awang Pawi, “Bahasa, Kolonial dan Kemerdekaan” (Iktibar Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 16, Ogos 2016, muka surat 30-34. Dalam rencana ini pendirian R.O. Winstedt juga dijelaskan.
    • Like
    • Reply
    • 6 w

No comments:

Post a Comment