Rapuh 2/2019: Lembaga Malaya (1)
Naskhah terawal akhbar mingguan Melayu, “Lembaga Malaya” dapat saya telitikan ialah keluaran yang kedua puluh dua, bertarikh 6 Mei 1935=3 Safar 1354, Isnin. Akhbar ini dicetak dan diterbitkan pada tiap-tiap hari Isnin oleh Onn bin Jaafar di Lembaga Malaya Press, 787 North Bridge Road Singapura.
Diperhatikan cogan katanya ialah “Kejayaan Bantuan”. Naskhah ini setebal 31 halaman bercetak dalam huruf Jawi. Harga senaskhah ialah 25 sen.
Untuk maksud langganan tersenarai “wakil-wakil dan penjual-penjual” meliputi semua negeri kecuali Sabah. Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, dan Pahang (di Raub) mempunyai seorang wakil, manakala negeri-negeri Kedah, Kelantan (Kota Bharu dan Kuala Krai), Terengganu (Kemaman dan Kuala Terengganu) dan Sarawak (Kuching dan Sibu) mempunyai dua wakil setiap satu. Negeri-negeri lain mempunyai wakil-wakil yang lebih ramai iaitu, 10 di Johor, 4 di Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Port Dickson), 7 di Selangor (Rawang, Kelang, Kajang) termasuk Kuala Lumpur (4 wakil), 5 di Negeri Perak (Batu Gajah, Ipoh (2), Kuala Kangsar, dan Parit).
Satu berita yang menarik dalam naskhah ini ialah pemberian sumbangan oleh kerajaan Johor kepada kerajaan British berjumlah £500,00 sempena menyambut ulang tahun kedua puluh lima “bagi hari kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King George Yang Kelima.” Sumbangan ini dikatakan “telah menjadi buah mulut di seluruh dunia pada hari ini oleh kerana kemurahan hati seorang Raja Melayu dan nama yang diperolehi Johor itu pada fikiran kita adalah murah didapati dengan perbelanjaan sebanyak £500,000.” (Baca, “Rencana Seminggu Sekali oleh Pengarang”, muka surat 3).
No comments:
Post a Comment